Pendekatan terhadap penjagaan kencing manis adalah dengan memperkasakan individu mengurus kesihatan mereka dan menangani risiko berkaitan berat badan dan gaya hidup pada peringkat awal.

Ini di samping menyokong keredaan penyakit (remission) jika mampu dan memastikan pesakit yang mempunyai keperluan lebih rumit mendapat akses kepada penjagaan pakar yang diselaraskan, kata Pengerusi NHG Health, Encik Tan Tee How.

Beliau berkata: “Matlamat lebih luas bukan sekadar kawalan kencing manis yang lebih baik. Ia bertujuan membantu penduduk mengelakkan komplikasi, kekal sihat dan berdikari untuk tempoh lebih lama, serta menambah bilangan tahun kehidupan yang sihat.”

Dalam hal ini, beliau menyatakan program pengurusan kencing manis di bawah NHG Health berjaya membuahkan hasil dalam beberapa aspek seperti penurunan berat badan dan pengurangan kencing manis dalam kalangan mereka yang penghidap penyakit kronik.

Menurut NHG Health, program seperti ‘Lighter Life’ – bertujuan menyokong pesakit yang mengalami berat badan berlebihan dan menghidap penyakit kronik mencapai berat badan lebih sihat – melihat penanda yang memberangsangkan.

Dalam kalangan 167 pesakit yang diperiksa antara Ogos 2021 dengan Julai 2024, lebih 4 dalam 5 pesakit (85 peratus) mencatatkan penurunan berat badan manakala dalam kalangan mereka yang menghidap kencing manis, 64 peratus mencatatkan kadar HbA1c yang lebih rendah.

HbA1c adalah ujian darah untuk mengetahui purata paras gula dalam darah seseorang sepanjang dua hingga tiga bulan yang lalu.

Bacaan bawah 5.7 peratus adalah tahap biasa manakala bacaan 6.5 peratus dan ke atas menunjukkan kemungkinan seseorang menghidap kencing manis.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti