Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjara bagi pekerja kuil gelapkan wang derma, yuran ahli lebih $38,000

Aug 13, 2024 | 7:05 PM
Tham Lai Ying, 44 tahun, adalah pekerja kuil Seu Teck Sean Tong Toa Payoh ketika dia menggelapkan wang derma dan yuran ahli, berjumlah lebih $38 ribu.
Tham Lai Ying, 44 tahun, adalah pekerja kuil Seu Teck Sean Tong Toa Payoh ketika dia menggelapkan wang derma dan yuran ahli, berjumlah lebih $38 ribu. - Foto Fail ST

Seorang pekerja kuil yang gelapkan lebih $38,000 wang dana rumah berhala itu, untuk membeli barangan runcit dan menjamu selera di restoran setiap hari, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan dua minggu.

Tham Lai Ying, 44 tahun, yang merupakan pembantu tadbir kuil Seu Teck Sean Tong Toa Payoh pada masa kesalahan, dijatuhkan hukuman itu pada 13 Ogos.

Timbalan Pendakwa Raya, Encik Lim Li Ting, berkata kesalahan Tham menyebabkan potensi bahaya kepada kepercayaan dan keyakinan orang ramai, kerana wang itu diberikan orang ramai untuk tujuan kebajikan.

Tham mengaku bersalah pada Julai atas satu pertuduhan jenayah pecah amanah, sebagai pekerja.

Pertuduhan yang tidak berkaitan, di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan pertuduhan kecurian, telah diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Tham telah dipenjara pada 2018, atas kesalahan mencuri, tetapi butiran kes sebelum ini tidak didedahkan.

Tham mula bekerja untuk kuil itu pada Februari 2022.

Dia bertanggungjawab mengutip derma daripada orang ramai dan yuran ahli, serta menerima gaji bulanan $1,600.

Selepas dia mengeluarkan resit untuk wang itu, dia akan menyimpan jumlah wang tersebut dalam laci berkunci.

Sebaik sahaja semua resit dalam buku resit dikeluarkan, dia sepatutnya menyerahkan buku dan wang tunai itu kepada eksekutif kewangan kuil.

Kira-kira sebulan selepas bekerja, Tham mula menyalahgunakan wang kuil. Dia mengambil $38,799 secara keseluruhan - $37,799 dalam bentuk derma dan $1,000 adalah yuran keahlian.

DPP Lim berkata Tham mencuri wang itu kerana tamak, apabila melihat sejumlah besar wang tunai dikutip.

Dalam usaha menutup jenayah itu, Tham menyimpan beberapa buku resit daripada eksekutif kewangan.

Pada Mei 2022, eksekutif kewangan menyedari buku yang hilang dan memaklumkan kepada setiausaha agung kuil. Audit dalaman telah dijalankan pada bulan berikutnya.

Ketika berhadapan dengan setiausaha agung, Tham mengakui salah lakunya dan digantung tugas.

DPP Lim berkata Tham bersetuju membayar balik wang yang dicuri secara ansuran, tetapi tidak berbuat demikian sehingga kini.

Bagi jenayah pecah amanah sebagai pekerja, Tham boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg