Seorang pesalah berulang yang sebelum ini telah dua kali diperintahkan menjalani latihan pemulihan kerana kesalahan merusuh, kembali dipenjarakan kerana terlibat dalam pergaduhan yang membawa maut di Orchard Road pada Ogos 2023.
Pada 4 Disember, Muhammad Shahrulnizam Osman, 31 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua tahun sembilan bulan dan 12 sebatan.
Shahrulnizam mengaku bersalah pada November atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja menggunakan senjata berbahaya, dan satu tuduhan bersubahat dengan rakannya, Mohammad Isrrat Mohd Ismail, 29 tahun, untuk memiliki senjata berbahaya.
Mahkamah mendengar bahawa dia adalah individu yang menyerahkan pisau kecil kepada Isrrat sebelum pergaduhan di Orchard Road, dan senjata itu kemudian digunakan individu lain untuk membunuh Isrrat.
Asvain Pachan Pillai Sukumaran, 30 tahun, didakwa pada Ogos 2023 atas tuduhan membunuh Isrrat, dan kesnya masih dalam perbicaraan, lapor The Straits Times (ST).
Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Brian Tan, memberitahu mahkamah bahawa Shahrulnizam dan Isrrat datang dari kumpulan kongsi gelap yang sama.
Sekitar 4.30 pagi, 20 Ogos 2023, Shahrulnizam bertemu Isrrat di Club Rumours di Concorde Hotel, Orchard Road , tempat Shahrulnizam pernah bekerja sebagai seorang ‘bouncer’.
Sekitar 4.50 pagi, Shahrulnizam melihat sekumpulan anggota kumpulan lawan sedang dihalang ‘bouncer’ daripada memasuki kelab itu kerana telah mencederakan pemiliknya pada 2019.
Shahrulnizam sempat memperoleh sebilah pisau roti daripada bekas rakan kerjanya, dan sebilah pisau kecil yang lain diberikan kepada Isrrat.
Pergaduhan antara dua kumpulan itu tercetus apabila Isrrat menjerit kata makian kepada kumpulan lawan itu.
Ketika Shahrulnizam and Isrrat meninggalkan hotel itu, Sharvin Jay Nair, 25 tahun, and Visnu Suriamurthi, 28 tahun, menurut dokumen mahkamah telah menyerang Isrrat bertubi-tubi.
Dengan menggunakan pisau roti, Shahrulnizam mencederakan Sharvin, Visnu, dan individu lain, Abdul Rahman Gani Abdul Azeez, 34 tahun.
Ketika berlari semula ke Hotel Concorde, Isrrat terjatuh dari tangga bergerak dan pisaunya turut jatuh lalu diambil Asvain dan digunakan untuk menikamnya beberapa kali.
Isrrat dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia kemudian.
Shahrulnizam menyerah diri kepada polis pada 21 Ogos 2023.
Sharvin dijatuhi hukuman penjara setahun lapan minggu dan denda $2,000 pada Jun, manakala kes Visnu dan Abdul Rahman masih dalam perbicaraan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg