Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) akan menambah daya usaha bagi meningkatkan kehidupan bukan banduan sahaja, bahkan keluarga dan anak mereka untuk mencegah kesalahan rentas generasi.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, berkata walaupun daya usaha yang dilaksanakan dalam Pemulihan 2025 dapat menurunkan secara berperingkat kadar bentan, atau residivisme, selama dua tahun, Rangka Tindakan Pemulihan 2030 akan membina di atas asas ini.
Pelan ini akan menumpukan pada pembinaan modal ekonomi, sosial dan masyarakat melalui tiga modal berbeza.
Cik Teo membentangkan matlamat mencegah jenayah rentas generasi dalam ucapannya di perasmian Persidangan Persatuan Pemulihan dan Penjara Antarabangsa 2024 (ICPA) pada 2 September, yang diadakan di Hotel Grand Copthorne Waterfront.
“Dalam kajian oleh SPS pada 2019, kami mendapati kadar jenayah generasi kedua tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang menyalah guna dadah, iaitu sebanyak 22 peratus,” dedah beliau.
Cik Teo menambah bahawa kajian oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga pada 2020 mendapati kebimbangan sama.
Kanak-kanak yang ibu bapanya terlibat dalam jenayah “tiga kali lebih berkemungkinan terlibat dengan sistem keadilan jenayah pada masa hadapan, berbanding kanak-kanak lain”, kata beliau.
ICPA 2024, yang bertema, ‘Mendayakan Rintangan: Melebihi Residivisme’, berlangsung dari 1 hingga 6 September 2024.
Persidangan itu menghimpunkan karyawan bidang pemulihan untuk mengongsikan langkah terbaik dan mempelajari daripada satu sama lain bagi memajukan piawaian pemulihan.
Lebih 800 pengamal pemulihan dan rakan kongsi masyarakat daripada lebih 70 bidang kuasa menyertai persidangan itu.
Berkongsi mengenai Pemulihan 2030, Cik Teo menggariskan tiga modal berbeza.
Menjelaskan mengenai modal ekonomi, Cik Teo berkata “pekerjaan adalah kunci” dalam membantu bekas pesalah mengurangkan kadar bentan, memulihkan harga diri, dan menyara keluarga.
Menurut data yang dikongsinya, jika bekas pesalah dapat bekerja enam bulan berturut-turut, kadar bentan akan berkurang kepada 13.9 peratus, berbanding yang menganggur, iaitu 19.2 peratus.
Cik Teo berkata berdasarkan data bentan dua tahun itu, jika individu tersebut dapat bekerja selama 18 bulan, kadar residivisme akan berkurang kepada 7 peratus.
Reben Kuning Singapura memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan kemahiran, memudahkan penempatan kerja, dan sokongan pengekalan kerjaya kepada bekas pesalah, dengan sokongan tambahan dari badan bukan pemerintah (NGO) melalui inisiatif seperti dermasiswa STAR.
Bagi modal sosial, Cik Teo berkata “hubungan sosial dan rangkaian yang menyokong membantu bekas pesalah mengekalkan komitmen mereka untuk menjalani kehidupan bebas jenayah”.
SPS telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang melibatkan keluarga banduan, dari fasa dalam penjagaan hingga selepas penjagaan, dengan sokongan lebih 20 NGO.
Lebih 4,500 sukarelawan dan 60 NGO turut membantu dalam pelbagai program pemulihan, termasuk sokongan rohani dan pembangunan peribadi, serta membantu dalam fasa selepas penjagaan.
Modal masyarakat pula memberi tumpuan dalam memberi inspirasi kepada bekas pesalah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Rangkaian ‘Desistor’ yang ditubuhkan pada 2023 terdiri daripada bekas pesalah yang berjaya kembali kepada masyarakat.
Melalui pengalaman mereka, ia bertujuan memberi bimbingan dan sokongan kepada bekas pesalah lain yang sedang berusaha membina kehidupan baru.
Cik Teo menyifatkan perjalanan individu dalam pemulihan dan penyepaduan semula mempunyai turun naik, dan menyamakannya dengan Larian Penjara Reben Kuning pada 1 September.
“Masyarakat boleh membantu dengan memberi mereka peluang kedua, dan menyokong mereka melalui perjalanan yang sangat sukar ini.
“Peluang untuk berjaya pasti lebih tinggi jika ada orang di sekeliling bekas pesalah yang mengambil berat, yang sudi menghulurkan tangan, atau sekadar memberi kata-kata semangat dan sokongan seperti yang dilakukan oleh semua yang hadir untuk larian semalam,” ujar Cik Teo.
Lebih 100 peserta persidangan antarabangsa itu mengambil bahagian dalam larian tersebut.
Jumlah penyertaan itu menunjukkan sokongan mereka untuk peluang kedua bagi banduan dan bekas pesalah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg