Jangan berat sebelah dan kekal di luar politik, demikian nasihat Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (gambar sisipan), kepada penjawat awam ketika berucap di Majlis Kepimpinan Perkhidmatan Awam tahunan pada 17 September.
Sedang perkhidmatan awam perbaharui hubungannya dengan generasi baru pemimpin politik, ia harus sedar akan konteks politik di mana pemerintah berfungsi, tetapi tidak boleh terlibat dalam bahas politik, kata beliau.
“Perkhidmatan awam perlu jauhkan diri daripada politik. Pegawai awam tidak boleh terlibat dalam bahas politik, atau politik parti. Anda perlu kekal tidak berat sebelah.
“Untuk berfungsi secara berkesan, anda mesti fahami konteks politik di mana pemerintah berfungsi. Anda mesti fahami persekitaran luaran, strategik di mana kita wujud, cabaran nasional yang kita hadapi, harapan dan keprihatinan rakyat, dan objektif nasional menyeluruh yang kita berusaha capai,” jelas Encik Lee.
Beliau melakarkan peranan perkhidmatan awam Singapura, pemimpin politiknya, serta hubungan antara mereka.
Beliau berkata negara ini perlu punyai perkhidmatan awam yang dipacu oleh nilai-nilai dan etos yang betul, dengan keupayaan dan pengetahuan operasi untuk mereka dan laksanakan dasar-dasar yang betul, serta pertingkat dan berinovasi secara berterusan.
Penjawat awam juga mesti bekerjasama dengan kepimpinan politik yang mempunyai keberanian politik, keyakinan dan sentuhan untuk meyakinkan dan memberi inspirasi kepada rakyat serta menangi mandat mereka.
Sementara perkhidmatan awam pada asasnya prihatin tentang penggubalan dan pelaksanaan dasar, pihak kepimpinan politik pula pada asasnya prihatin dengan aspek politik.
Para menteri perlu menetapkan hala tuju keseluruhan bagi negara dengan utamakan kepentingan terbaik Singapura dan rakyat.
Mereka juga, kata Encik Lee, perlu buat pilihan politik tentang cara bagi negara untuk terus maju ke hadapan, dan bertahan dalam pertandingan politik.
Namun, para menteri tidak boleh mengehadkan diri mereka secara sempit kepada politik.
“Menteri yang hanya pengerusikan kementerian mereka secara rasmi, menetapkan objektif besar dan kemudian membiarkan kerja keras untuk melaksanakan tugas kepada pegawai awam mereka, tidak memberi tambah nilai.
“Untuk menjadi berkesan, para menteri mesti menguasai dasar-dasar juga,” kata Encik Lee.
Dengan itu, mereka boleh beri bimbingan dan hala tuju jelas, membuat keputusan politik yang baik dan mengemudi keseimbangan yang tidak dapat dielakkan, serta memberi keyakinan apabila mengemukakan dasar-dasar mereka kepada orang ramai.
“Kita telah berpegang teguh kepada standard ini selama bertahun-tahun lamanya.
“Ia adalah sebab penting mengapa kita dapat melakar dan melaksanakan dasar-dasar baik untuk negara,” kata beliau.
Encik Lee berkata bagi sistem berfungsi dengan baik, perlu ada garis yang dilakarkan dengan betul antara perkhidmatan awam dengan kepimpinan politik, dengan tanggungjawab masing-masing sentiasa jelas.
“Tetapi pada masa yang sama, kedua-dua pihak mesti bekerjasama rapat, dengan saling mempercayai, menghormati dan memahami, untuk mencapai gabungan ideal dasar dan politik, untuk memberikan hasil kepada negara,” tambah beliau.
Dalam ucapannya itu, Encik Lee turut menyentuh tentang mandat politik, sambil berkata sekiranya margin pilihan raya semakin tipis, pemerintah akan mempunyai ruang politik lebih kecil untuk melakukan perkara yang betul.
“Akan menjadi lebih mencabar untuk mengabaikan pertimbangan jangka pendek dalam membuat keputusan. Dinamik politik akan menjadi amat berbeza.
“Rakyat Singapura mesti memahami bahaya yang akan diwujudkan oleh perkara ini, dan begitu juga perkhidmatan awam,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg