Selepas perang antara Russia dengan Ukraine mencetus lonjakan inflasi sejagat, pihak berkuasa di Singapura menangani kesannya dengan menyokong firma yang menjalankan usaha penstrukturan semula, serta penduduk berpendapatan rendah dan sederhana, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Adalah penting “melakukan perkara yang betul” dan bukannya mengambil langkah populis (kelompok yang berjuang untuk orang kebanyakan) dan jangka pendek, kata Encik Chee, yang juga Menteri Kedua Kewangan.
Bercakap semasa majlis makan malam tahunan Persatuan Ekonomi Singapura di Orchard Hotel pada 28 Ogos, beliau menyatakan bahawa pemerintah mungkin boleh mengambil pendekatan lebih mudah dan lebih populis untuk menetapkan harga dan memberikan subsidi meluas, dan bukannya memahami keperluan dan proses pengeluaran setiap sektor.
Sebaliknya, ia berusaha memastikan firma lebih produktif, pekerja menjadi lebih mahir dan boleh menyesuaikan diri, dan pendapatan sebenar boleh terus meningkat secara mampan.
Ini akan memastikan Singapura berada di landasan yang betul agar dapat muncul lebih kukuh dalam jangka panjang apabila kejutan itu berlalu, tambah Encik Chee.
“Ini juga cara kita mengurus sumber kita secara bertanggungjawab, dan bukannya terikut-ikut dalam ‘fantasi fiskal’ – bahawa kita boleh terus-menerus berbelanja, dan mencari cukai atau pinjaman untuk membiayai perbelanjaan yang semakin bertambah ini, tanpa perlu menilai dengan teliti akibatnya awal-awal lagi,” katanya, lapor The Straits Times.
“Bagi sesetengah pihak untuk mencadangkan supaya berbelanja lebih, kemudian mengkritik pemerintah pula kerana menaikkan cukai bagi memastikan perbelanjaan tambahan itu dapat dikekalkan dalam jangka panjang, adalah tidak bertanggungjawab dari segi politik mahupun ekonomi,” katanya.
“Kita perlu jujur dengan penduduk dan memberitahu mereka bahawa perbelanjaan berterusan yang lebih tinggi hanya boleh disokong jika kita bersedia bersama menanggung kesannya sebagai satu masyarakat.
“Kita tidak harus mengikut kepercayaan politik populis atau fantasi fiskal dengan berpura-pura bahawa perbelanjaan tambahan boleh berlaku secara ajaib.”
Encik Chee berkata adalah juga tidak jujur mencadangkan bahawa pengeluaran daripada rizab masa lalu tidak akan mengambil sumber daripada generasi akan datang, namun mendakwa bahawa langkah sedemikian tidak meragut rizab masa lalu.
Selain menyokong rakyat Singapura dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai kejutan yang disebabkan peristiwa sejagat, Encik Chee melakarkan dua lagi bidang utama yang pemerintah percaya ia boleh memainkan peranan.
Ini bagi memastikan perkhidmatan penting seperti pengangkutan awam mencukupi, selain merancang dan membina prasarana lebih awal daripada permintaan untuk membuka jalan bagi pelaburan selanjutnya.
Mengenai sokongan yang diberikan oleh pemerintah bagi mengurangkan kebimbangan kos sara hidup berikutan perang Russia-Ukraine, menteri itu menambah bahawa ini dilakukan untuk mengelakkan isyarat harga yang diputarbelitkan dan mengekalkan insentif ekonomi yang sesuai untuk penggunaan.
Bantuan yang ditawarkan termasuk memberi lebih banyak sokongan kepada syarikat yang berusaha menyusun semula dan berubah, melalui Geran Kecekapan Tenaga yang menggalak firma melabur dalam teknologi cekap tenaga, dan Kredit Perusahaan SkillsFuture, yang mengimbangi yuran kursus untuk pekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg