Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjawat awam S’pura dapat bonus pertengahan tahun 0.45 bulan

Kakitangan gred rendah dapat bayaran tambahan sehingga $250
Jun 20, 2024 | 7:37 PM
Semua penjawat perkhidmatan awam akan menerima bonus pertengahan tahun 0.45 bulan, dengan kakitangan gred rendah mendapat bayaran tambahan sehingga $250.
Semua penjawat perkhidmatan awam akan menerima bonus pertengahan tahun 0.45 bulan, dengan kakitangan gred rendah mendapat bayaran tambahan sehingga $250. - Foto fail

Semua penjawat perkhidmatan awam akan menerima bonus pertengahan tahun 0.45 bulan, dengan kakitangan gred rendah mendapat bayaran tambahan sehingga $250.

Ini lebih tinggi daripada bonus pertengahan tahun 0.3 bulan yang diberikan kepada penjawat awam pada 2023.

Dalam satu kenyataan pada 20 Jun, Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) berkata: “Bayaran pertengahan tahun ini mengambil kira prospek ekonomi yang lebih baik dan risiko penurunan yang kekal dalam ekonomi global.”

Bayaran sekali sahaja untuk kakitangan gred lebih rendah adalah lebih rendah sedikit berbanding pada 2023 iaitu $200 hingga $400.

Sebagai tambahan kepada bonus, penjawat awam dalam gred bersamaan MX13(I) dan MX14 akan menerima bayaran tambahan sekali sebanyak $150.

Mereka yang berada dalam gred bersamaan dengan MX15 dan MX16, dan mereka yang berada dalam Skim Sokongan Operasi Gred III hingga V, akan mendapat bayaran sekali lebih tinggi sebanyak $250.

Timbalan Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Cham Hui Fong, berkata kesatuan-kesatuan sektor awam sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan pemerintah untuk mengiktiraf kerja keras penjawat awam.

“Pembayaran AVC (Bonus Berubah-Ubah Tahunan) pertengahan tahun pemerintah sebanyak 0.45 bulan mencerminkan prestasi ekonomi dan mengiktiraf usaha mereka. Jumlah sekali gus tambahan juga menunjukkan sokongan progresif pemerintah untuk pegawai gred rendah kami.

“Kesatuan-kesatuan juga menyampaikan penghargaan yang mendalam kepada semua penjawat awam atas profesionalisme dan dedikasi mereka dalam berkhidmat kepada rakyat Singapura dan orang ramai.

“Melangkah ke hadapan, NTUC menggalak penjawat awam untuk terus meningkatkan kemahiran dan menaik taraf, untuk kekal relevan, berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan,” kata Cik Cham.

Setiausaha Agung, Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE), Encik Sanjeev Kumar Tiwari, berkata kesatuannya menerima baik pengumuman itu kerana kadarnya melepasi pembayaran pertengahan tahun pada 2023.

Beliau menambah pembayaran itu juga meningkatkan semangat penjawat awam dan mengiktiraf usaha mereka sambil memastikan pegawai berpendapatan rendah dapat menghadapi inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

“AUPE mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam atas kerja keras dan komitmen mereka dalam berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Kami akan terus memantau keadaan ekonomi dengan teliti dan berharap penjawat awam kami akan terus fokus untuk melakukan yang baik dan melakukan kebaikan.

“Bagi pihak kami, kami akan terus bekerjasama dengan pemerintah untuk memberikan pengiktirafan yang lebih besar kepada pegawai kami,” kata Encik Sanjeev.

PSD berkata ekonomi Singapura berkembang 2.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024, melanjutkan pengembangan 2.2 peratus pada suku sebelumnya.

Setelah disesuaikan mengikut musim, ekonomi berkembang sebanyak 0.1 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 1.2 peratus pada suku sebelumnya.

PSD berkata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengekalkan ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dalam lingkungan 1 peratus hingga 3 peratus bagi 2024.

Ia menambah penilaian itu mengambil kira persekitaran ekonomi luaran kekal berdaya tahan pada suku pertama 2024 walaupun terdapat risiko penurunan dalam ekonomi global.

PSD berkata jumlah pekerjaan terus berkembang walaupun pada kadar yang sederhana. Kadar pengangguran juga kekal rendah dan dalam julat yang diperhatikan semasa tempoh bukan kemelesetan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg