Dalam kes pertama seumpamanya, sebuah kedai barang kemas didenda $35,000 kerana gagal melaksanakan pemeriksaan latar belakang pelanggan yang diperlukan untuk mencegah pengubahan wang haram.
Kim Heng Jewellers and Goldsmiths membuat pengakuan pada 19 November bahawa mereka telah menjual produk emas bernilai lebih $313,000 tanpa menjalankan pemeriksaan yang diperlukan, walaupun mengesyaki bahawa transaksi itu mungkin berkait dengan pengubahan wang haram.
Lebih $140,000 daripada urus niaga Kim Heng itu didapati datang daripada dua mangsa penipuan perisian hasad.
Kim Heng mengaku bersalah kerana gagal melaksanakan pemeriksaan latar belakang pelanggan, dengan dua tuduhan serupa diambil kira semasa hukuman.
Ini adalah pendakwaan pertama di bawah Seksyen 16 Akta Batu Permata dan Logam Berharga (Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan), yang diperkenalkan pada 2019.
Akta tersebut telah diperkukuh lagi dengan pindaan pada Februari, lapor Channel News Asia (CNA).
Pada 21 Oktober 2019, juruaudit sambilan Kim Heng telah menghadiri taklimat anjuran Kementerian Undang-Undang mengenai pencegahan pengubahan wang haram untuk peniaga barangan terkawal.
Beliau kemudian berkongsi maklumat itu dengan pemilik Kim Heng, Encik Henry Ho, serta kakitangan lain, untuk meningkatkan kesedaran akan tanggungjawab mereka.
Namun, Encik Ho tidak mengadakan sebarang latihan formal mengenai pemeriksaan latar belakang pelanggan buat kakitangannya, dan hanya mengarahkan mereka untuk merekodkan butiran pelanggan yang membuat urus niaga melebihi $20,000 secara tunai, menurut Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Thaddeus Tan.
Menurut peraturan ketika itu, peniaga barangan terkawal diwajibkan untuk merekod dan mengesahkan identiti pelanggan melalui dokumen seperti kad pengenalan atau pasport, disusuli langkah-langkah lain.
Pada 15 September 2023, seorang wanita tua telah mengunjungi Kim Heng untuk membeli rantai emas bernilai $28,000 buat anaknya, dan membayar melalui akaun PayNow korporat, Globe Eximport.
Susulan itu, mereka melakukan dua transaksi lain pada dua hari yang berbeza bernilai $285,627, diuruskan oleh pekerja Kim Heng.
Ketika menguruskan ketiga-tiga transaksi itu, pekerja Kim Heng mengesyaki sesuatu yang tidak kena disebabkan akaun pembayaran mereka, namun tidak melakukan sebarang pemeriksaan latar belakang ke atas pembeli.
Pada 3 Oktober 2023, apabila wanita itu datang lagi untuk membuat pembelian, Encik Ho meminta kad pengenalannya. Wanita itu kemudian memohon untuk ke tandas dan tidak kembali.
Identiti wanita dan “anaknya” masih belum dapat dipastikan.
Kes itu terdedah selepas polis menerima laporan mengenai penipuan perisian hasad.
Pihak pendakwaan meminta denda antara $38,500 dengan $45,500.
Hukuman bagi kegagalan melaksanakan pemeriksaan latar belakang pelanggan di bawah akta itu adalah denda sehingga $100,000.
Hakim menekankan bahawa peniaga barangan terkawal mesti mematuhi standard pemeriksaan latar belakang pelanggan untuk mengelakkan sektor itu daripada dieksploitasi.
Hakim memberi amaran agar peniaga tidak menjadi faktor penghalang dalam usaha negara untuk membanteras pengubahan wang haram. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg