Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peningkatan kegiatan jenayah, penipuan di Telegram membimbangkan

Xueling: Kes penipuan di Telegram naik 137% pada separuh pertama 2024 berbanding 2023
Oct 21, 2024 | 4:20 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, berkata aktiviti jenayah di Telegram tidak terhad kepada penipuan.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, berkata aktiviti jenayah di Telegram tidak terhad kepada penipuan. - Foto ST

Penipuan dan kegiatan jenayah lain di aplikasi mesej Telegram sangat membimbangkan, dengan penipu ‘memasukkan’ mangsa tanpa disedari ke dalam kumpulan sembang untuk memperdaya mereka.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, berkata demikian di Sidang Puncak Antipenipuan Global Asia 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 21 Oktober.

Penipu telah beralih ke platform dalam talian, dengan Telegram muncul sebagai platform yang membimbangkan, kata beliau.

Cik Sun berkata: “Secara khusus, kami telah memerhatikan bahawa penipu mencipta dan memasukkan mangsa yang tidak menyedari ke dalam saluran dan kumpulan sembang di Telegram, dan memperdaya mereka untuk menyerahkan wang.”

Pada separuh pertama 2024, jumlah kes penipuan yang dilaporkan di Telegram meningkat sebanyak 137 peratus, berbanding tempoh yang sama pada 2023. 

Jenis penipuan yang biasa dilakukan di Telegram termasuk penipuan pelaburan dan penipuan pekerjaan.

Cik Sun menambah bahawa kegiatan jenayah di Telegram tidak terhad kepada penipuan.

Laporan baru-baru ini oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati bahawa rangkaian jenayah dan sindiket menggunakan Telegram secara meluas untuk menjalankan kegiatan haram berskala besar.

Cik Sun berkata: “Ini termasuk penjualan data yang digodam termasuk butiran kad kredit dan kata laluan, serta perisian hasad yang mencuri data di saluran Telegram. Ini amat membimbangkan.” 

Laporan PBB itu merupakan antara dakwaan terbaru terhadap aplikasi berkenaan sejak Perancis mendakwa ketua aplikasi mesej tersebut, Encik Pavel Durov, kerana membenarkan kegiatan jenayah di platform itu.

Sidang puncak itu dianjurkan oleh Perikatan Antipenipuan Global (Gasa) dan berakhir pada 22 Oktober.

Acara itu menghimpunkan penguat kuasa undang-undang, wakil pemerintah dan mereka daripada sektor perbankan dan swasta untuk membincangkan cara menangani trend penipuan terkini.

Dalam ucapannya, Cik Sun mendedahkan bahawa talian bantuan antipenipuan (1799) yang dilancarkan baru-baru ini telah menerima purata 250 panggilan setiap hari.

Talian bantuan itu adalah sebahagian daripada Scamshield Suite, saluran menyatukan langkah antipenipuan yang dilancarkan pada September.

Aplikasi ScamShield, yang pertama kali dilancarkan pada November 2020, turut dipertingkatkan dan mempunyai lebih 1.1 juta muat turun setakat ini, kata Cik Sun.

Aplikasi ini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti dan memberi amaran kepada pengguna tentang kemungkinan ancaman penipuan di WhatsApp, Telegram dan pautan web.

Menurut Cik Sun, Telegram baru-baru ini mengumumkan ia akan mengemas kini dasar privasinya untuk berkongsi alamat protokol Internet (IP) dan nombor telefon pengguna yang ingkar dengan pihak berkuasa apabila perintah undang-undang dikeluarkan.

Beliau menjelaskan bahawa meskipun demikian adalah satu usaha yang baik, penguatkuasaan sering terlewat kerana mangsa mungkin sudah kehilangan wang kepada penipu pada masa Telegram berkongsi maklumat ini dengan pihak berkuasa.

Cik Sun menggesa Telegram untuk mengukuhkan langkah pengesahan penggunanya dan mengetatkan penggunaan kumpulan sembang dan saluran untuk mengelakkan pengguna daripada menjadi sasaran penipu.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Meta atas langkah antipenipuan mereka.

Beliau berkata pemerintah Singapura bekerjasama dengan mereka untuk melaksanakan proses pengesahan pengguna terhadap rekod yang dikeluarkan oleh pemerintah.

Meta juga telah melaksanakan proses pengesahan untuk pengguna Facebook terpilih dan sedang meneroka langkah di WhatsApp untuk menghentikan hubungan yang tidak diingini jika boleh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg