Pemilik The Casuarina Curry yang terletak di Upper Thomson Road, Encik Subramanian Ramanan, tidak pernah menyangka bahawa roti perata nanas dan roti perata keju nanas akan menjadi fenomena besar setelah mereka menawarkannya dengan potongan harga sebanyak 50 peratus sehingga 9 September.

Promosi istimewa itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan merayakan kemenangan Encik Tharman Shanmugaratnam dalam Pilihan Raya Presiden yang berlangsung baru-baru ini.

“Dahulu, restoran ini hanya menerima kira-kira 10 pesanan perata nanas setiap hari tetapi sejak promosi istimewa ini diperkenalkan, permintaan terhadap hidangan ini meningkat hingga 100 pesanan dalam sehari,” ujar Encik Subramanian, 57 tahun.

“Keluarga saya sangat menghargai dan menyokong Encik Tharman. Beberapa ahli keluarga saya adalah penduduk GRC Jurong dan mereka sering berkata beliau adalah seorang yang berjiwa rakyat. Oleh itu, kami ingin menunjukkan penghargaan kepada rakyat Singapura dan mahu mereka meraikan kemenangan Encik Tharman menerusi hidangan perata.”

Lambang kempen mantan menteri kanan itu adalah nanas dan beliau sering diberi nanas dan disambut dengan sorakan “Ong lai” dan “Huat ah” semasa pilihan raya.

Istilah “Ong lai” bermaksud nanas dalam bahasa Hokkien dan dianggap sebagai lambang kemakmuran dan keberuntungan yang baik.

Setelah Encik Elango Subramaniam, 52 tahun, yang juga pemilik kedai itu, mempromosikan potongan harga hidangan tersebut di Facebook, lebih ramai orang yang ingin meraikan kemenangan Encik Tharman datang ke kedainya untuk mencubanya.

“Apabila satu meja memesan perata nanas, meja-meja yang lain melihat dan turut ingin mencuba. Di kalangan pelanggan, hidangan ini menjadi begitu terkenal sehingga mereka merujuknya sebagai ‘Perata Presiden’,” ujar Encik Subramanian Ramanan.

Menurut Encik Subramanian Ramanan, ramai pelanggan, yang sebelum itu belum pernah mencuba perata nanas, memberikan ulasan yang sangat positif.

“Beberapa pelanggan yang kini menjadi peminat setia menganggap perata nanas sebagai hidangan wajib di restoran ini. Kemanisan perata nanas ini sangat digemari terutamanya antara anak-anak kecil,” tambahnya.

Seorang pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Lina berkata: “Pada mulanya, saya berpendapat bahawa penggunaan nanas sebagai bahan dalam perata pelik kerana perata biasanya dimakan bersama hidangan berkuah atau daging.

“Saya tidak sangka pula yang saya akan suka rasa perata nanas ini. Penggabungan nanas yang manis dengan tekstur garing perata mencipta kombinasi rasa yang unik dan berbeza. Hidangan ini enak dimakan sebagai pencuci mulut.”

Encik Subramanian Ramanan mengumumkan bahawa tawaran promosi itu mungkin diteruskan hingga 14 September ketika Encik Tharman diisytiharkan sebagai Presiden dalam pilihan raya serta memandangkan permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti