Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penonton terharu, bangga dengan pertunjukan NDP

Aug 11, 2024 | 5:17 PM
Meskipun hujan lebat melanda, semangat patriotisme tidak luntur, malah rakyat Singapura segenap lapisan usia dan kaum berhimpun meraikan Hari Kebangsaan yang ke-59 tahun bersama.
Meskipun hujan lebat melanda, semangat patriotisme tidak luntur, malah rakyat Singapura segenap lapisan usia dan kaum berhimpun meraikan Hari Kebangsaan yang ke-59 tahun bersama. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Perasaan bangga menyelubungi hati rakyat Singapura serata negara sedang mereka menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini yang padat dengan kisah inspirasi pencapaian negara sepanjang 59 tahun lalu, bukan hanya dalam pembangunan fizikal, malah ‘jiwa’ negara sebagai sebuah masyarakat yang berbilang budaya, inklusif dan penyayang.

Meskipun hujan lebat mencurah di sebahagian kawasan pada 9 Ogos, ia tidak sedikit pun melunturkan semangat patriotisme Singapura, dengan rakyat segenap lapisan usia berhimpun bersama orang tersayang – sama ada di Padang, di rumah mahupun di tempat lain – untuk meraikan ulang tahun negara.

Kawasan Padang dibanjiri 27,000 penonton yang datang berduyun-duyun berpakaian serba merah untuk menyaksikan persembahan gah NDP yang bertemakan Bersama, Sebagai Sebuah Rakyat Bersatu.

NDP kali ini turut mencipta satu lagi sejarah kerana ini merupakan kali pertama Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong menghadiri NDP sejak menyandang jawatan baru masing-masing.

Sementara itu, kawasan sekitar Padang seperti pusat bandar serta Bendungan Marina juga menjadi tempat orang ramai berkumpul untuk sama-sama menikmati hari kemerdekaan Singapura.

Sajian persembahan NDP tahun ini menampilkan segmen yang memberikan penghargaan kepada generasi perintis yang telah berusaha gigih dalam membangunkan Singapura menjadi sebuah negara maju dan cemerlang hari ini.

NDP 2024 memberi penghargaan kepada generasi perintis yang telah bekerja keras dalam membangunkan Singapura menjadi sebuah negara maju dan cemerlang hari ini.
NDP 2024 memberi penghargaan kepada generasi perintis yang telah bekerja keras dalam membangunkan Singapura menjadi sebuah negara maju dan cemerlang hari ini. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ia turut menyoroti petikan kata-kata Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, yang dengan penuh azam percaya Singapura akan terus menjadi sebuah negara metropolis yang maju ke hadapan untuk tahun-tahun mendatang meskipun negara ini kecil dan mempunyai permulaan sederhana.

Menonton NDP dari rumah, Encik Shabirin Ariffin, ketua perniagaan baru di Stellar Ace berusia 47 tahun, berkata beliau amat bangga melihat bagaimana Singapura telah membangun menjadi sebuah bandar global yang berkembang maju hari ini, sambil mengekalkan semangat kemasyarakatan dan nilai bersama yang kukuh.

Ketua perniagaan baru di Stellar Ace, Encik Shabirin Ariffin.
Ketua perniagaan baru di Stellar Ace, Encik Shabirin Ariffin. - Foto ihsan SHABIRIN ARIFFIN

“Kemajuan kita dari permulaan yang sederhana adalah peringatan kuat tentang apa yang boleh dicapai melalui kerja keras, keazaman dan perpaduan. Sambil kita melihat ke masa hadapan, saya berharap Singapura terus memupuk masyarakat yang bukan sahaja berjaya tetapi juga memiliki sifat belas kasihan dan inklusif,” kata beliau, yang juga pemimpin akar umbi di divisyen Limbang, GRC Marsiling-Yew Tee.

Cik Ilyana Insyirah Ibrahim, penerbit kandungan digital berusia 23 tahun, yang berada di Padang, pula berkata segmen ini menimbulkan rasa emosi dalam diri beliau.

“Saya emosi melihat montaj bagaimana Singapura menjadi bandar yang kita lihat hari ini, dan keazaman mendiang Encik Lee Kuan Yew dalam membina Singapura menjadi negara yang kita ada hari ini.

“Sungguh menakjubkan melihat bagaimana sebuah negara kecil, yang sering tidak dipandang pada ketika itu, kini dikenali seluruh dunia sebagai antara negara paling selamat, kaya dan maju di dunia,” kata beliau.

Kepelbagain budaya Singapura diraikan melalui warisan makanan dalam NDP 2024, di mana penonton dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu yang popular semasa tahun-tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an serta pertunjukan pasar malam dan penari yang memakai kostum makanan seperti kuih lapis.
Kepelbagain budaya Singapura diraikan melalui warisan makanan dalam NDP 2024, di mana penonton dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu yang popular semasa tahun-tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an serta pertunjukan pasar malam dan penari yang memakai kostum makanan seperti kuih lapis. - Foto ST

NDP kali ini turut meraikan kepelbagaian budaya melalui warisan makanan, dengan penonton dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu yang popular semasa tahun-tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an dan pertunjukan pasar malam serta penari yang memakai kostum makanan seperti kuih lapis.

Bagi pendidik prasekolah, Cik Sanesa Salleh, 59 tahun, segmen ini menyentuh kenangan silam yang pernah beliau lalui suatu masa dahulu.

Pendidik prasekolah, Cik Sanesa Salleh.
Pendidik prasekolah, Cik Sanesa Salleh. - Foto ihsan SANESA SALLEH

“Persembahan nyanyian dan tarian yang disertakan dengan pakaian santai masa dahulu dan prop-prop yang menarik seperti gerai-gerai makanan beroda memberi saya peluang untuk mengimbau masa muda saya semasa berjalan-jalan di kawasan Capitol, Geylang, Orchard dan lain-lain.

“Kini, tempat-tempat itu semua sudah berubah wajah. Lebih cantik, lebih meriah dan lebih gah,” kata beliau.

Peguam, Encik Abdul Rohim Sarip, 61 tahun, pula berkata warisan makanan yang dipaparkan itu penuh nostalgia dan membawa kenangan.

“Bahagian yang memaparkan kepelbagaian budaya amat jelas dan sesuai, dan mesejnya diterima dengan baik,” kata beliau.

Pelajar diploma, Cik Liyana Amirul Haque, 20 tahun, berkata beliau amat bangga dengan keharmonian budaya Singapura, dengan anggota kumpulan etnik yang berbeza hidup, bekerja dan belajar bersama setiap hari.

Pelajar diploma, Cik Liyana Amirul Haque.
Pelajar diploma, Cik Liyana Amirul Haque. - Foto ihsan LIYANA AMIRUL HAQUE

“Meskipun terdapat perbezaan budaya atau agama, Singapura sejak beberapa tahun lalu telah membina sebuah masyarakat yang berasaskan rasa saling memahami dan menghormati. Saya berharap Singapura terus mengekalkan keharmonian ini, terutamanya dalam generasi akan datang.

“Sedang kita menjadi lebih global, saya berharap kita terus berpegang teguh kepada nilai-nilai bersatu padu, inklusif dan pelbagai,” kata beliau.

Pertunjukan bunga api gah dan berwarna-warni menyemarakkan suasana dan keseronokan di Padang dan kawasan sekitarnya, menandakan kemuncak Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).
Pertunjukan bunga api gah dan berwarna-warni menyemarakkan suasana dan keseronokan di Padang dan kawasan sekitarnya, menandakan kemuncak Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP). - Foto ST

NDP 2024 turut meraikan masyarakat Singapura yang berbelas kasihan dan penyayang, dengan satu filem pendek yang mengetengahkan rakyat Singapura berusaha gigih membantu mempertingkat masyarakat dan orang di sekeliling mereka ditayangkan.

Cik Tohfah Jumadi, 21 tahun, berkata segmen ini menyentuh hati beliau kerana ia menampilkan koir – yang mempersembahkan rendisi lagu berjudul Fix You oleh Coldplay, band rok British – yang terdiri daripada anggota daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman hidup yang berbeza.

“Dengan mengetengahkan koir terdiri daripada individu pelbagai lapisan masyarakat, ia menunjukkan, sekurang-kurangnya kepada saya, rasa perpaduan dalam masyarakat kita, di mana meskipun kita melalui pengalaman berbeza, kita boleh bersatu untuk memperkukuh dan menyokong satu sama lain,” kata penuntut universiti itu.

Segmen terakhir pula meraikan sumbangan rakyat sambil membayangkan masa depan yang lebih baik untuk negara ini bersama.

Ia turut memaparkan petikan kata-kata mantan Perdana Menteri, Encik Goh Chok Tong dan Encik Lee Hsien Loong, serta Perdana Menteri sekarang, Encik Wong, tentang visi mereka untuk membina Singapura yang lebih baik dan cerah untuk masa depan.

Melahirkan harapan untuk negara, pengurus kanan di Singtel, Encik Raziff Hamid, 55 tahun, berkata kepelbagaian budaya adalah kunci kejayaan Singapura dan beliau berharap golongan minoriti baru yang juga telah menyumbang kepada pembangunan negara, seperti pekerja migran, akan turut disertakan pada masa depan.

Cik Tohfah pula ingin melihat lebih banyak perkembangan dalam bidang kesihatan mental dan industri yang berkaitan, seperti penjagaan kesihatan dan kaunseling.

“Saya berharap Singapura menyediakan aksesibiliti lebih mudah kepada rawatan dan sesi kaunseling untuk individu yang susah dan mengalami cabaran kewangan,” kata beliau.

Cik Sanesa pula berkata harapan beliau adalah untuk semua rakyat, termasuk anak-anak muda, turut serta membangun dan terus memajukan negara yang disayangi ini, dengan keupayaan dan cara yang dimampui.

“Masa depan negara kita adalah masa depan kita. Jadi, kita juga bertanggungjawab untuk merancang langkah-langkah yang ingin kita tuju dan mencapai cita-cita yang kita impikan,” kata beliau.

Sambutan Hari Kebangsaan berterusan pada hujung minggu, dengan pelbagai acara di kawasan kejiranan diadakan serata negara.

Antaranya termasuk acara NDP 2024 Heartland Celebrations pada 10 Ogos di Yishun, Punggol, Bishan, Buona Vista dan Paya Lebar.

Menulis di Facebook, Encik Lee Hsien Loong yang menyertai acara di Bishan, melahirkan rasa gembira melihat penduduk segenap lapisan usia dan bangsa bersatu padu untuk menyambut ulang tahun Singapura.

“Saya berharap dengan mendekatkan perayaan kepada penduduk, semua orang seronok dan dapat merasakan semangat Hari Kebangsaan. Semoga kita terus kekal selamat dan stabil, supaya kita boleh maju dan menjadikan Singapura istimewa!,” kata beliau.

“Kemajuan kita dari permulaan yang sederhana adalah peringatan kuat tentang apa yang boleh dicapai melalui kerja keras, keazaman, dan perpaduan. Sambil kita melihat ke masa hadapan, saya berharap Singapura terus memupuk masyarakat yang bukan sahaja berjaya tetapi juga memiliki sifat belas kasihan dan inklusif.”
Ketua perniagaan baru di Stellar Ace, Encik Shabirin Ariffin.

“Harapan saya adalah untuk kita semua – termasuk anak-anak muda masa kini untuk turut serta membangun dan terus memajukan negara yang kita sayangi ini – dengan keupayaan dan cara yang kita mampui. Masa depan negara kita adalah masa depan kita. Jadi, kita juga bertanggungjawab untuk merancang langkah-langkah yang ingin kita tuju dan mencapai cita-cita yang kita impikan.”
Pendidik prasekolah, Cik Sanesa Salleh.

“Meskipun terdapat perbezaan budaya atau agama, Singapura sejak beberapa tahun lalu telah membina sebuah masyarakat yang berasaskan rasa saling memahami dan menghormati. Saya berharap Singapura terus mengekalkan keharmonian ini, terutamanya dalam generasi akan datang. Sedang kita menjadi lebih global, saya berharap kita terus berpegang teguh kepada nilai-nilai bersatu padu, inklusif dan pelbagai.”
Pelajar diploma, Cik Liyana Amirul Haque.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg