Lautan merah memenuhi Padang dan kawasan sekitarnya tatkala orang ramai berduyun-duyun ke pusat bandar serta Bendungan Marina untuk meraikan hari kemerdekaan Singapura ke-59 pada 9 Ogos.
Tatkala titisan hujan mula jatuh ke bumi sekitar 4 petang di beberapa kawasan, termasuk di pusat bandar, semangat patriotisme tetap kukuh dalam kalangan ribuan warga Singapura yang teruja menyambut Hari Kebangsaan.
Seramai 27,000 penonton yang berjaya mendapatkan tiket untuk menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Padang menjadi saksi kepada detik bersejarah negara ini di lokasi yang pernah menjadi ruang NDP pertama diadakan pada 1966.
Kali ini, satu lagi sejarah tercipta kerana ini merupakan kali pertama Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong menghadiri NDP sejak menyandang jawatan baru masing-masing.
Mereka disertai barisan menteri kabinet, Anggota Parlimen (AP) dan Menteri Kanan yang berpakaian merah putih di pentas khas sektor merah.
Turut hadir ialah dua mantan Presiden, Puan Halimah Yacob dan Dr Tony Tan.
Presiden Tharman menerima sorakan dan tepukan gemuruh tatkala kenderaan tentera membawanya melewati tempat duduk penonton di Padang.
Beliau menjalankan amanahnya memeriksa Kawalan Kehormatan dan kontinjen pembawa panji-panji.
Sorakan serupa turut diterima Encik Wong apabila beliau melangkah keluar dari kenderaan yang membawanya setibanya di pentas khas berhadapan Galeri Nasional Singapura.
Namun sorakan paling gemuruh diberikan buat Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong apabila beliau melangkah masuk ke galeri tempat duduk.
Sebuah video montaj khas bagi merakam penghargaan kepada Encik Lee dipertontonkan di layar utama selepas beliau mengambil tempat duduk sebagai penghormatan kepadanya tatkala beliau menyandang jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2004 hingga Mei 2024.
Orang ramai dilihat memasuki kawasan Padang seawal 2 petang, lebih enam jam sebelum acara perbarisan bermula pada 6 petang.
Bertemakan ‘Bersama, Sebagai Sebuah Rakyat Bersatu’, NDP kali ini menyaksikan penglibatan lebih 5,500 peserta merentasi tujuh segmen – meliputi pra-perbarisan, Perbarisan dan Upacara (P&C) dan Pertunjukan Pertahanan Dinamik (D3) ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak (TD40).
Acara pembuka tirai NDP di Padang bermula dengan acara praperbarisan yang dipacu oleh persembahan memukau.
Ia hasil gabungan sekolah rendah, sekolah menengah, Pusat Latihan Kebangsaan Gimnastik Singapura dan akademi sepatu roda dan luncur ais, Swift Skating Academy.
Ini termasuk acara kegemaran ramai seperti tahun-tahun yang sudah iaitu aksi pasukan payung terjun Red Lions – yang buat kali pertamanya, menampilkan dua penerjun wanita terdiri daripada Pegawai Waran Kedua (2WO) Shirley Ng dan 2WO Sandy Wong.
Ini disusuli segmen P&C, yang terdiri daripada 35 kontinjen, termasuk 24 kontinjen sokongan daripada sektor ekonomi, sosial dan belia.
Bedilan Hormat Presiden atau ‘Presidential Gun Salute’ (PGS) mengambil tempat di lokasi pelancaran bedilan setelah menjalani laluan sepanjang 5.87 kilometer dari Kallang Basin – ini merupakan laluan pelayaran terpanjang PGS dalam NDP.
Dengan tema ‘Bersama, Kita Kekal Memperteguhkan Singapura’, segmen TD40 D3 berlangsung di Padang juga buat kali pertama.
Ia menghimpunkan 40 aset dan lebih 400 kakitangan merentasi pelbagai agensi untuk “menyerlahkan spektrum menyeluruh bagi keupayaan kecemasan dan pertahanan Singapura”, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada Jun.
Antara agensi terlibat dalam segmen itu termasuk termasuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Pasukan Polis Singapura (SPF), Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) serta agensi pemerintah dan bukan pemerintah.
Buat julung-julung kalinya, senjata Mesingan Ringan (LMG) jenis Senapang Automatik Colt Infantry (IAR) 6940E-SG turut diketengahkan dalam segmen tersebut.
Helikopter penggempur jenis Apache juga membuat penampilan sulung dengan penerbangan di kawasan Padang dalam TD40 D3.
Segmen-segmen susulan mengetengahkan sajian persembahan yang diserikan oleh lebih 3,000 penghibur dan 12 artis – seperti penyanyi tanah air dan pemenang Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2023, Shazza, yang mendendangkan lagu You’re The Boy, lagu nostalgia dari era 1960-an oleh Shirley Nair & The Silver Strings.
Amni Musfirah dan Siti K juga merupakan anak seni Melayu yang menyemarakkan NDP kali ini dengan suara buluh perindu mereka.
Kemuncak yang dinanti-nanti – pertunjukan bunga api – menyemarakkan keseronokan dan keasyikan penonton.
Langit malam bermandi cahaya sambil penonton di Padang dan kawasan di sekitarnya termasuk Taman Merlion, Esplanade dan The Promontory di Marina Bay menikmati pertunjukan bunga api yang pastinya menjadi santapan mata terindah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg