Tarikh 28 September 2022 kekal sebagai hari yang sukar dilupakan bagi Encik Mohamed Munir M T Mohamed Yusoff.

Walaupun pekerja ExxonMobil Asia Pacific Pte Ltd itu berasa letih dan kurang sihat apabila mendaftar masuk kerja pada pagi itu, beliau langsung tidak menyangka sesuatu yang serius bakal berlaku.

Secara tiba-tiba, beliau tersedar di katil hospital empat hari kemudian, lalu diberitahu beliau telah terselamat daripada insiden serangan jantung.

Encik Munir kemudian mendapat tahu bahawa rakan-rakan sekerjanya yang terlatih dalam kemahiran bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan penggunaan peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED), bertanggungjawab atas menyelamatkan nyawanya.

Itu kerana Exxonmobil, yang menjalankan operasi kilang dan pembuatan, memastikan pakar kesihatan sentiasa hadir di tapak pekerjaan.

Ia juga terletak dalam industri yang dikawal oleh undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang ketat.

Sehingga ke hari ini, Encik Munir, kini berusia 61 tahun, amat menghargai tindakan berani itu oleh rakan sekerjanya.

Tindakan itulah yang membenarkan Encik Munir kembali ke pangkuan isteri dan empat anak lelakinya.

Kini, kisah Juruteknik Operasi Kanan itu menjadi contoh peri pentingnya memastikan pekerja sedia bertindak dengan yakin, sekiranya berlaku kecemasan serangan jantung di tempat kerja.

Bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan ketika menangani kecemasan serangan jantung di tempat kerja di Singapura, Yayasan Jantung Singapura (SHF) telah merintis Tanda Keselamatan Jantung atau ‘Heart Safe Mark’.

Ia merupakan pensijilan tindak balas kecemasan jantung yang pertama di negara ini.

Pensijilan tersebut mengiktirafkan organisasi yang komited terhadap melengkapi pekerja dengan kemahiran menyelamatkan nyawa.

Ia juga memastikan pekerja berkenaan memahami proses bertindak dalam kecemasan serangan jantung serta memastikan terdapat peralatan AED di premis organisasi itu.

Setakat ini, hampir 20 organisasi telah menerima pensijilan tersebut dan SHF menetapkan sasaran 200 organisasi dalam tempoh lima tahun pertama selepas pelancarannya.

Pensijilan tersebut dilancarkan sempena acara latihan dan pensijilan tahunan CPR dan AED besar, Projek Heart, di Kolej Utara Institut Pendidikan Teknikal pada 17 Oktober.

Acara tersebut, yang dihadiri lebih 700 peserta, disanjung oleh Pemangku Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Jasmin Lau, selaku tetatu terhormat.

Dalam ucapannya, Cik Lau menekankan bahawa pembangunan masyarakat Singapura yang sedia menempuh kecemasan jantung bermakna memastikan ahli masyarakat, termasuk keluarga, mampu bertindak dalam situasi itu dengan yakin.

“Di luar hospital, kemungkinan besar orang yang bertindak dahulu bukanlah doktor atau paramedik, tetapi rakan sekerja, pegawai keselamatan, orang awam dan ahli keluarga kita,” kata Cik Lau.

Dalam menekankan situasi itu, Cik Lau mendedahkan dapatan laporan Unit Penjagaan Kecemasan Prahospital – unit di bawah naungan Kementerian Kesihatan (MOH) – yang dikeluarkan pada Julai lalu.

Menurut laporan itu, lebih 4,000 kes serangan jantung pada 2022 berlaku di luar hospital

Sebanyak 20 peratus daripada jumlah kes itu berlaku di luar tempat kediaman yang merangkumi tempat kerja.

Cik Lau (tengah) mencuba latihan CPR dan AED semasa acara Projek Heart 2026 di Kolej Utara Institut Pendidikan Teknikal pada 17 Oktober.
Cik Lau (tengah) mencuba latihan CPR dan AED semasa acara Projek Heart 2026 di Kolej Utara Institut Pendidikan Teknikal pada 17 Oktober. - Foto SHF

Sementara itu, dapatan daripada Tinjauan Pengetahuan, Sikap dan Amalan berkenaan CPR dan AED 2026 yang diterbitkan oleh SHF mendapati hanya 51 peratus responden menyatakan mereka akan melakukan CPR sekiranya menyaksikan kejadian serangan jantung.

Malah, hanya 46 peratus daripada mereka akan tampil menggunakan AED untuk menyelamatkan nyawa.

Oleh itu, SHF mempercayai pelancaran Tanda Keselamatan Jantung berpotensi membantu lebih ramai individu meningkatkan kemahiran serta keyakinan mereka untuk bertindak agar menyelamatkan nyawa di tempat kerja, sekali gus merapatkan jurang dalam kesediaan bertindak semasa kecemasan serangan jantung.

Sementara itu, Cik Lau berharap organisasi yang menerima pensijilan ini akan menganggapnya lebih daripada sekadar pengiktirafan.

“Ia melambangkan budaya masyarakat yang kukuh dan sedia menyelamatkan nyawa.

“Budaya inilah yang mampu memastikan seseorang mangsa diberikan peluang kedua untuk terus hidup dan pulang ke pangkuan keluarga mereka,” katanya.

Bagi memperoleh pensijilan tersebut, organisasi yang memohon perlu memenuhi syarat utama demikian:

  1. Latih sekurang-kurangnya lima pekerja atau 10 peratus daripada jumlah kakitangan keseluruhannya - berdasarkan jumlah mana yang lebih tinggi – dalam kemahiran CPR dan penggunaan AED.
  2. Pasti pekerja yang terlatih melalui program Tindak Balas Respons Kecemasan Hayat Jantung (CLEAR) anjuran SHF
  3. Pasti terdapat sekurang-kurangnya satu unit AED di dalam pejabat atau kawasan berdekatan yang terletak di dalam bangunan yang sama

Pensijilan tersebut sah untuk tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif SHF, Encik Geoffrey Ong, mempercayai rangka tersebut akan mengukuhkan tahap kesiapsiagaan syarikat untuk bertindak semasa kecemasan serangan jantung.

“Ramai dalam kalangan kita menghabiskan sebahagian besar masa dalam seminggu di tempat kerja bersama rakan-rakan sekerja. Oleh itu, adanya pihak yang terlatih berdekatan amat penting apabila terdapat dalam kalangan mereka yang mengalami serangan jantung.

“Sedar tentang apa yang perlu dilakukan, serta cara untuk melaksanakannya dengan pantas dan yakin menggunakan peralatan yang betul, menjadi kunci utama apabila situasi sedemikian berlaku,” katanya.

Ternyatalah, pelancaran pensijilan Tanda Keselamatan Jantung disambut baik oleh Encik Munir, yang secara peribadi meraih ‘peluang kedua’ hasil daripada tahap kesiapsiagaan sedemikian.

Beliau, bersama beberapa lagi mangsa terselamat daripada serangan jantung, berpeluang menyampaikan anugerah kepada penyelamat mereka semasa majlis Projek Heart itu.

“Sebagai seseorang mangsa yang diselematkan kerana wujudnya rakan sekerja yang terlatih, saya amat mengalu-alukan pelancaran inisiatif ini.

“Adanya rakan sekerja yang terlatih serta kemudahan akses kepada peranti AED boleh menyelamatkan nyawa.

“Pendidikan sedemikian mampu mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat, sekali gus memberi keyakinan kepada orang ramai untuk bertindak dengan pantas kerana setiap saat amat bermakna,” ujar Encik Munir.