Tarikh 28 September 2022 kekal sebagai hari yang sukar dilupakan bagi Encik Mohamed Munir M T Mohamed Yusoff.

Walaupun pekerja ExxonMobil Asia Pacific Pte Ltd itu berasa letih dan kurang sihat apabila mendaftar masuk kerja pada pagi itu, beliau langsung tidak menyangka sesuatu yang serius bakal berlaku – jantungnya tiba-tiba terhenti.

Empat hari kemudian, beliau terjaga di katil hospital dan mendapat tahu rakan-rakan sekerjanya yang terlatih dalam kemahiran bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan penggunaan peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED), bertanggungjawab menyelamatkan nyawanya.

ExxonMobil yang menjalankan operasi kilang memastikan pakar kesihatan sentiasa berada di tapak kerja.

Ia juga tertakluk di bawah piawaian undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang ketat.

Sehingga ke hari ini, Encik Munir, kini 61 tahun, amat menghargai tindakan berani rakan sekerjanya.

Tindakan itulah yang membolehkan Encik Munir kembali ke pangkuan isteri dan empat anak lelakinya.

Kini, kisah Teknisyen Operasi Kanan itu menjadi contoh peri pentingnya memastikan pekerja sedia bertindak dengan yakin, sekiranya berlaku kecemasan melibatkan jantung di tempat kerja.

Bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan ketika menangani kecemasan melibatkan jantung di tempat kerja di Singapura, Yayasan Jantung Singapura (SHF) telah merintis Tanda Keselamatan Jantung atau ‘Heart Safe Mark’.

Ia merupakan pensijilan tindak balas kecemasan jantung yang pertama di negara ini.

Pensijilan tersebut mengiktiraf organisasi yang komited dalam melengkapi pekerja dengan kemahiran menyelamatkan nyawa.

Ia turut mengasah kemahiran pekerja agar memahami proses tindak balas dalam menghadapi kecemasan melibatkan jantung serta memastikan terdapat peralatan AED di premis organisasi itu.

Setakat ini, hampir 20 organisasi telah menerima pensijilan tersebut dan SHF menetapkan sasaran 200 organisasi dalam tempoh lima tahun pertama selepas pelancarannya.

Pensijilan tersebut dilancarkan sempena acara latihan dan pensijilan tahunan CPR dan AED besar, Projek Heart, di Kolej Utara Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 17 Oktober.

Acara tersebut, yang dihadiri lebih 700 peserta, dialu-alukan oleh Pemangku Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Jasmin Lau, selaku tetamu terhormat.

Dalam ucapannya, Cik Lau menekankan bahawa kesiagaan Singapura dalam menghadapi kecemasan jantung bergantung pada keupayaan dan keyakinan setiap individu – termasuk anggota keluarga – untuk segera bertindak.

“Di luar hospital, kemungkinan besar orang yang bertindak dahulu bukanlah doktor atau paramedik, tetapi rakan sekerja, pegawai keselamatan, orang awam dan anggota keluarga kita,” ujar Cik Lau.

Menurut Cik Lau, laporan Unit Penjagaan Kecemasan Prahospital – unit di bawah naungan Kementerian Kesihatan (MOH) – yang dikeluarkan pada Julai lalu, mendapati lebih 4,000 kes jantung terhenti pada 2022 berlaku di luar hospital

Sebanyak 20 peratus daripada jumlah kes itu berlaku di luar tempat kediaman yang merangkumi tempat kerja.

Cik Lau (tengah) mencuba latihan CPR dan AED semasa acara Projek Heart 2026 di Kolej Utara, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 17 Oktober.
Cik Lau (tengah) mencuba latihan CPR dan AED semasa acara Projek Heart 2026 di Kolej Utara, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 17 Oktober. - Foto SHF

Sementara itu, dapatan daripada Tinjauan Pengetahuan, Sikap dan Amalan berkenaan CPR dan AED 2026 yang diterbitkan oleh SHF mendapati hanya 51 peratus responden menyatakan mereka akan melakukan CPR sekiranya menyaksikan kejadian jantung terhenti.

Malah, hanya 46 peratus daripada mereka akan tampil menggunakan AED untuk menyelamatkan nyawa.

Oleh itu, SHF percaya pelancaran Tanda Keselamat Jantung mampu melahirkan lebih ramai individu yang mahir dan yakin untuk menyelamatkan nyawa, sekali gus merapatkan jurang kesediaan dalam menghadapi kecemasan di tempat kerja.

Sementara itu, Cik Lau berharap organisasi yang menerima pensijilan itu akan menganggapnya lebih daripada sekadar pengiktirafan.

“Ia melambangkan budaya masyarakat yang kukuh dan sedia menyelamatkan nyawa.

“Budaya inilah yang mampu memastikan seseorang mangsa diberikan peluang kedua untuk terus hidup dan pulang ke pangkuan keluarga mereka,” tambahnya.

Bagi memperoleh pensijilan tersebut, organisasi yang memohon perlu memenuhi syarat utama:

  1. Latih sekurang-kurangnya lima pekerja atau 10 peratus daripada jumlah kakitangan keseluruhannya – berdasarkan jumlah manakah yang lebih tinggi – dalam kemahiran CPR dan penggunaan AED.
  2. Pastikan pekerja yang terlatih melalui program Tindak Balas Respons Kecemasan Hayat Jantung (CLEAR) anjuran SHF.
  3. Pastikan terdapat sekurang-kurangnya satu unit AED di dalam pejabat atau kawasan berdekatan yang terletak di dalam bangunan yang sama

Pensijilan tersebut sah untuk tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif SHF, Encik Geoffrey Ong, percaya rangka tersebut akan mengukuhkan tahap kesiapsiagaan syarikat untuk bertindak semasa kecemasan melibatkan jantung.

“Ramai dalam kalangan kita meluangkan sebahagian besar masa dalam seminggu di tempat kerja bersama rakan-rakan sekerja.

“Oleh itu, adanya pihak yang terlatih berdekatan amat penting apabila terdapat dalam kalangan mereka yang mengalami jantung terhenti.

“Sedar tentang apa yang perlu dilakukan, serta cara untuk melaksanakannya dengan pantas dan yakin menggunakan peralatan yang betul, menjadi kunci utama apabila keadaan sedemikian berlaku,” katanya.

Pelancaran pensijilan Tanda Keselamatan Jantung disambut baik oleh Encik Munir, yang secara peribadi meraih ‘peluang kedua’ hasil tahap kesiapsiagaan sedemikian.

Beliau, bersama beberapa lagi mangsa yang terselamat susulan jantung terhenti, berpeluang menyampaikan anugerah kepada penyelamat mereka semasa majlis Projek Heart itu.

“Sebagai seseorang mangsa yang diselamatkan kerana wujudnya rakan sekerja yang terlatih, saya amat mengalu-alukan pelancaran inisiatif ini.

“Adanya rakan sekerja yang terlatih serta kemudahan akses kepada peranti AED boleh menyelamatkan nyawa.

“Pendidikan sedemikian mampu mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat, sekali gus memberi keyakinan kepada orang ramai untuk bertindak dengan pantas kerana setiap saat amat bermakna,” ujar Encik Munir.