Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Penthouse’ dalam kes ubah wang haram $3b dilelong pada harga panduan $25.3j
‘Penthouse’ empat bilik tidur adalah hartanah termahal daripada 26 hartanah yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram $3b
‘Penthouse’ dalam kes ubah wang haram $3b dilelong pada harga panduan $25.3j
Sebuah ‘penthouse’ atau megapuri di tingkat 42 South Beach Residences yang pernah dimiliki oleh suspek kes pengubahan wang haram, Su Yongcan, dilelong pada 2.30 petang, 23 September, dengan harga panduan $25.3 juta.
Apartmen di kondominium rekaan arkitek Inggeris, Norman Foster, itu adalah antara 18 unit mewah dan satu ruang kilang yang dilelong menerusi firma pembrokeran ETC dan SRI.
‘Penthouse’ empat bilik tidur seluas 6,727 kaki persegi itu merupakan hartanah termahal daripada 26 hartanah yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram $3 bilion yang ditawarkan untuk jualan dalam fasa pertama lelongan tersebut.
Su, yang melarikan diri dari Singapura sebelum operasi polis dimulakan pada Ogos 2023, adalah antara 15 suspek yang dikaitkan dengan kes berkenaan yang bersetuju untuk menyerahkan aset mereka.
Penyerahan aset bernilai kira-kira $1.85 bilion secara keseluruhan itu dibuat sebagai pertukaran bagi penarikan balik notis Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap mereka.
Lelongan sebelum ini oleh syarikat perkhidmatan hartanah global Knight Frank pada 17 September menyaksikan ejen berkenaan menarik balik tujuh hartanah kerana gagal mencapai harga rizab (panduan) yang ditetapkan.
Hartanah berkenaan merangkumi enam apartmen mewah di Tanglin, iaitu Gramercy Park dan Sloane Residences, serta sebuah pejabat di Suntec Tower One.
Rundingan perjanjian persendirian kini sedang dijalankan bagi tujuh hartanah berkenaan, kata Pengarah Lelongan dan Jualan Knight Frank, Cik Tricia Tan, kepada The Straits Times (ST).
‘Penthouse’ di South Beach yang pernah dimiliki oleh Su itu dilengkapi kemasan lantai marmar kelabu, lampu candelier bentuk titisan hujan, serta balkoni terbuka dengan pemandangan menghadap Esplanade dan Marina Bay.
Lelongan di pejabat ETC yang terletak di Bangunan UIC di Shenton Way itu turut merangkumi tujuh lagi apartmen mewah di South Beach Residences, 8 Saint Thomas, dan Paterson Suites, serta sebuah ruang kilang seluas 8,800 kaki persegi di Kaki Bukit.
Sementara itu, sebanyak 10 apartmen di Wallich Residence dan Martin Modern akan dilelong di pejabat SRI yang terletak di Great World City.
Enam unit Martin Modern yang terletak di River Valley ditawarkan pada harga panduan antara $2.238 juta dengan $4.98 juta.
Empat apartmen Wallich Residence yang terletak di dalam Kawasan Pusat Bandar (CBD) pula mempunyai harga panduan antara $4.4 juta dengan $6.8 juta.
Unit terbesar antara hartanah berkenaan ialah sebuah apartmen empat bilik tidur yang terletak di tingkat 61 Wallich Residence.
Ia terletak betul-betul di bawah apartmen ‘super penthouse’ yang pernah dimiliki oleh jutawan, Sir James Dyson.
Unit seluas 1,991 kaki persegi itu, yang menampilkan siling tinggi serta pemandangan indah kawasan Greater Southern Waterfront akan datang, sebelum ini dimiliki oleh warga asing Zhang Ruijin, yang telah disabitkan kesalahan dan kemudiannya diusir keluar Singapura pada 2024.
Apartmen dan ruang kilang berkenaan adalah antara kumpulan pertama daripada lebih 80 hartanah yang akan dilelong dalam usaha pemerintah untuk mencairkan aset yang dirampas semasa siasatan ke atas kes pengubahan wang haram terbesar di negara ini.
Hartanah tersebut akan ditawarkan untuk jualan secara berperingkat dari September 2026 hingga pertengahan 2027 dan akan dibuka kepada orang ramai untuk bidaan.
Kesemua hasil daripada jualan aset berkenaan akan dimasukkan ke dalam Dana Yang Disatukan (Consolidated Fund), seumpama akaun bank yang dipegang oleh pemerintah.