Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesanan arwah ayah bakar semangat pelari para harum nama negara
Pesanan arwah ayah bakar semangat pelari para harum nama negara
Pungut pingat di temasya sukan antarabangsa, dinobat Olahragawati Muda Terbaik S’pura bagi kurang upaya pada 2022
Pesanan arwah ayah bakar semangat pelari para harum nama negara
Pemergian ayahnya hanya beberapa minggu sebelum kejohanan penting merupakan antara detik paling getir dalam hidup atlet para, Siti Nurhayati Ali Aksar Khan.
Ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada 2021, sebelum Siti beraksi di Sukan Para Belia Asia (AYPG) di Bahrain pada Disember tahun yang sama.
Meskipun masih diselubungi duka, beliau berjaya merangkul pingat perak dalam acara lari pecut 400 meter T20 wanita, dan kemudiannya dinobatkan sebagai Olahragawati Muda Terbaik di Anugerah Sukan Orang Kurang Upaya Singapura 2022.
T20 ialah klasifikasi dalam sukan para olahraga bagi atlet kurang upaya intelektual yang bertanding dalam acara trek dan lompat.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) Siti, 24 tahun, berkata meskipun sudah lima tahun ayahnya meninggal dunia, kata-kata dan dorongan arwah ayah masih menjadi sumber kekuatan baginya.
Tekad beliau untuk terus cemerlang semakin membara, seiring dengan rasa bangga dapat mewakili negara sebagai seorang atlet para.
“Ayah saya selalu berpesan supaya terus berusaha dalam mengejar impian.
“Kadangkala, saya tak dapat menahan sebak apabila mengenang jasanya, tetapi kata-katanya itu terus membakar semangat saya sehingga hari ini,” luah Siti.
Beliau juga terharu melihat sebuah kontinjen yang dianggotai sepenuhnya oleh golongan kurang upaya (PWD), buat kali pertama dalam sejarah Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).
Mereka terlibat menerusi penyertaan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC), dengan 17 peserta akan mengambil bahagian dalam kontinjen berkenaan.
Siti mula berjinak-jinak sebagai pelari pecut ketika menuntut di Sekolah Grace Orchard pada 2013, ketika beliau berusia 11 tahun.
Sejak itu, beliau mengumpul pengalaman mewakili Singapura di peringkat antarabangsa.
Beliau pernah beraksi di Sukan Para Asia (APG) Indonesia pada 2018 dan pada 2023 di China, selain bersaing di temasya sukan para Asean pada 2025 di Thailand.
Setakat ini, Siti sudah meraih dua pingat perak, masing-masing di AYPG 2017 Dubai dan AYPG 2021 Bahrain.
Malah, azam beliau untuk memburu lebih banyak pingat semakin berkobar-kobar.
Kini, Siti sedang memberikan tumpuan sepenuhnya untuk peringkat kelayakan ke Sukan Para Asia ketiganya, yang dijadualkan berlangsung di Jepun pada Oktober nanti.
Siti turut mengaitkan semangat itu juga kepada sokongan padu daripada ibu dan tiga adik-beradiknya.
“Ibu saya tak selalu berpeluang turun padang untuk menyokong saya, tetapi doanya lebih daripada mencukupi untuk mendorong saya lakukan yang terbaik,” kongsi Siti, yang merupakan anak ketiga.
Lantas, sokongan berterusan keluarganya menjadi sumber kekuatan Siti untuk cekal, walaupun terpaksa membahagikan masa antara tuntutan komitmen sukan dengan kerjaya, demi menyara ibunya, 61 tahun, yang telah bersara.
Dari 8 pagi hingga 4 petang, beliau bekerja di cawangan Tenderfresh di Woodlands sebelum bergegas ke Pusat Sukan Yio Chu Kang atau Kallang untuk latihan yang bermula pada sekitar 5.30 petang.
Dengan hanya satu hari rehat dalam seminggu, Siti mengakui rutin padat itu memerlukan daya ketahanan mental dan fizikal yang kuat.
“Walaupun rasa letih, saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya semasa latihan.
Di samping itu, saya juga perlu disiplin dalam menjaga kesihatan diri dan mendapatkan rehat secukupnya,” kata Siti.
“Apabila saya tiba di trek larian, segalanya berubah.
“Saya serta-merta mendapat tenaga,” tambahnya.
Disiplin yang ditanamkan dalam diri Siti akhirnya membuahkan hasil.
Pada Jun, Siti berjaya mencatatkan rekod peribadi iaitu 1 minit 9.16 saat, di Grand Prix Atletik Para Dunia 2026 di Tunis, Tunisia.
“Ketika itu, saya dapat berlari tanpa sebarang gangguan dan memberikan sepenuh tenaga.
“Itulah prestasi terbaik saya setakat ini,” katanya.
Pencapaian itu meletakkan Siti di landasan terbaik untuk terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama negara.
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan Singapura ke-61, Siti turut berkongsi harapannya untuk melihat masyarakat sukan para terus berkembang maju.
“Kami mungkin kurang upaya, tetapi kami tidak pernah memandang rendah keupayaan diri sendiri.
“Atlet para sentiasa gigih, tidak pernah menyerah kalah, dan sentiasa mahu membuktikan kekuatan yang kami miliki.
“Saya harap masyarakat atlet para akan terus bertambah pada masa depan, dan saya benar-benar ingin melihat lebih ramai menyertai sukan para.
“Perjalanan sebagai atlet para berdasarkan pengalaman saya amat bermakna dan mengujakan,” kata Siti.
“
Ayah saya selalu berpesan supaya terus berusaha dalam mengejar impian. Kadangkala, saya tak dapat menahan sebak apabila mengenang jasanya, tetapi kata-katanya itu terus membakar semangat saya sehingga hari ini,”