Singapura kehilangan seorang tokoh seni yang disegani, penulis lirik tersohor, Yusnor Ef – atau nama sebenarnya Mohamed Noor Mohamed Yusofe – yang meninggal dunia awal pagi 16 April di Hospital Besar Sengkang pada usia 87 tahun.
Pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Cik Noreeta Mohamed Noor, 47 tahun.
Menurut beliau, bapanya mengalami kesukaran bernafas sehari sebelum itu dan menghidap penyakit jantung kronik sejak lebih dua dekad lalu.
Setakat 7.30 pagi 16 April, jenazah masih berada di hospital.
Suami Cik Noreeta, Encik Rahmad Basir, turut berkongsi berita duka itu di Facebook, memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di 99 Saraca Terrace.
Maklumat lanjut tentang solat jenazah dan pengebumian akan diumumkan kemudian.
Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Yusnor, dikenang sebagai penulis lirik prolifik yang mencorak landskap muzik Melayu sejak lebih 50 tahun lalu.
Karya beliau mengiringi melodi komposer tersohor seperti Allahyarham P. Ramlee, Zubir Said dan Kassim Masdor, serta dinyanyikan oleh bintang-bintang ternama seperti Anita Sarawak, Ahmad Jais dan Sanisah Huri.
Di samping itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Bintang Bakti Masyarakat dan Pingat Budaya – penghargaan tertinggi negara dalam bidang seni.
Encik Suhaimi Jais, Mantan Pengerusi Kanan Mediacorp Suria dan Mediacorp Eaglevision, turut berdukacita dengan berita ini dan dan mengatakan Allahyarham merupakan karyawan seni yang banyak berjasa menyemarakkan kesenian dan dunia hiburan.
“Penulis lagu yang tidak pernah lupa peradaban Melayu dalam sentuhan liriknya.
“Sumbangannya dalam penulisan drama, komedi dan lagu-lagu Melayu akan tetap dikenang oleh masyarakat Melayu dan generasi akan datang,” kata Encik Suhaimi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg