Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Veteran syukur lagu Raya lama ‘tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan’

Lagu Lebaran klasik kekal gamit nostalgia meski berdekad-dekad lama
Mar 23, 2025 | 5:30 AM
Rahimah Rahim bakal mempersembahkan lagu klasik ‘Selamat Berhari Raya’ di Pesta Raya 2025, anjuran Esplanade dalam satu konsert penghormatan bagi penulis lirik lagu itu, Datuk Habsah Hassan.
Rahimah Rahim bakal mempersembahkan lagu klasik ‘Selamat Berhari Raya’ di Pesta Raya 2025, anjuran Esplanade dalam satu konsert penghormatan bagi penulis lirik lagu itu, Datuk Habsah Hassan. - Foto ihsan RAHIMAH RAHIM

Antara lagu Raya yang pertama dirakamkan 89 tahun lalu, pada 1936, dinyanyikan oleh penyanyi asal Singapura.

Lagu yang berjudul Selamat Hari Raya itu dirakam ke piring hitam oleh syarikat rakaman HMV dan masih boleh didengar sehingga ke hari ini, dinyanyikan oleh seorang penyanyi Bangsawan, Aminah Raden Nani, atau lebih dikenali sebagai Miss Aminah.

Lebih banyak lagu Raya kemudian menyusul dari zaman 50-an hingga ke 70-an dan semakin rancak pada 80-an dengan kemunculan artis-artis baru waktu itu seperti Rahimah Rahim, Othman Hamzah, Halil Chik, Rafeah Buang, Junainah M. Amin dan ramai lagi.

Menurut penerima Pingat Budaya, Rahimah Rahim, 69 tahun, yang merupakan penyanyi lagu popular Selamat Berhari Raya, lirik lagu-lagu lama merangkumi perasaan dan suasana di Hari Raya.

“Lagu dulu menceritakan tentang sambutan yang merangkumi semua – kawan-kawan, keluarga, yang di luar negara juga, seni katanya membuat lagu itu meriah,” kata Rahimah.

Beliau bakal menyanyikan lagu itu di atas pentas bagi menghormati penulis lirik lagu itu, Habsah Hassan, di Pesta Raya anjuran Esplanade pada 2 Mei akan datang.

Walaupun sudah lebih 40 tahun lagunya diputarkan, Mahani Mohamad masih ingat masa beliau merakamkan lagu duet Ramwong yang dinyanyikan bersama Allahyarham Alias Kadir.

“Bahagian nyanyian saya hanya sedikit, tetapi sejujurnya, saya selalu menantikan lagu itu dimainkan sekitar dua minggu sebelum Raya, kerana saya berasa bangga dan gembira bila mendengarnya, kerana ia lain daripada yang lain,” katanya, sambil berkongsi rakaman beliau dan Alias dibuat pada hari berlainan.

Lagu Ramwong ditulis oleh penggubah lagu, Razzi M, daripada kumpulan Black Dog Bone.

Irama lagu Raya juga mengikut perubahan zaman dan merangkumi genre joget, nasyid, pop yeh yeh, jaz dan juga rok.

‘Papa Rok’ Singapura, Ramli Sarip, 72 tahun, berkata lagu yang dirakam Sweet Charity pada 1980, Seri Hari Raya dirakam dalam masa dua jam di Kinnetect studio di Singapura.

“Ketika kumpulan Sweet Charity merakamkan lagu Seri Hari Raya, ianya adalah lagu berentak rok bertema Raya yang pertama dalam industri dan mengikut selera kegemaran muzik rok ketika itu,” katanya, yang juga akan membuat persembahan dalam Sinar Lebaran 2025.

Jatt Ali daripada kumpulan Black Dog Bone juga akui lagu Cahaya Aidilfitri masih digemari sehingga hari ini, walaupun sudah hampir 50 tahun.

“Lirik sangat penting, harus kena dengan melodi dan gubahan lagu untuk bertahan lama,” kata Jatt.

Namun, berapa lamakah lagi lagu-lagu ini dapat bertahan, memandangkan banyak lagu baru yang menembusi pasaran dengan rentak yang lebih lucu, santai dan tempo berdansa?

Seorang lagi penyanyi veteran, Maria Bachok, 74 tahun, yang pernah merakamkan lagu Malam 7 Lekor bersama Allahyarham A. Ramlie, dan pernah berkongsi hidup dengannya sebagai suami, berkata lagu-lagu lama tidak akan hilang, asalkan pihak radio dan orang awam terus memainkannya.

“Ada juga penyanyi baru yang merakamkan semula lagu lama, tapi keunikannya tak sama dengan yang asal,” ujar penyanyi itu.

Lagu Malam 7 Lekor yang dirakamkan pada 1975 itu ditulis oleh penulis lirik veteran, Yusnor Ef, bersama komposer tersohor, Kassim Masdor, yang telah menghasilkan banyak lagu Raya.

Ini termasuk Bila Takbir Bergema, yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Lagu Pop Melayu Tempatan Terbilang oleh Anugerah Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) pada 2024.

Penyanyi Gembira Bersama di Hari Raya, Othman Hamzah, 64 tahun, pula percaya lagu-lagu lama masih ada tempat di hati pendengar walaupun akur lagu baru juga akan bertahan lama.

“Lagu baru sekarang juga akan menjadi lagu lama, 10 tahun akan datang.

“Ia tergantung pada wadah-wadah media yang memainkannya. Sama ada mereka akan teruskan memainkan lagu-lagu klasik, ataupun lebih kepada lagu berentak moden.

“Sekiranya masih ada ruang yang memperjuangkan lagu klasik, saya berkeyakinan lagu-lagu lama akan kekal dan diabadikan, kerana melodi dan seni katanya membawa kembali kenangan dari zaman itu.”

Berikut antara lagu Raya dendangan artis Singapura:

Cempaka Biru, Suzana Abu Bakar

Ramwong, Mahani dan Alias Kadir

Suara Takbir, Musafir di Aidilfitri, Ramli Sarip (Sweet Charity)

Cahaya di Aidilfitri, Jatt (Black Dog Bone)

Malam 7 lekor, Maria Bachok dan A Ramlie

Manusia Miskin Kaya, Eddienor Ali

Selamat Hari Raya, Kupohon Restu Ayah Bonda, Al Jawaher

Dendang Hari Raya, Halil Chik

Aidilfitri, Sanisah Huri

Selamat Berhari Raya, Rahimah Rahim

Selamat Berhari Raya, Al Mizan

Musafir di Hari Raya, S Jibeng

Suasana Riang di Hari Raya, Junainah M. Amin

Bersama di Hari raya, Segelas Air Sepinggan Nasi, Kumpulan Hidayah

Gembira Bersama di Hari Raya, Othman Hamzah

Di Pinggiran Aidilfitri, 2D/Dikir Temasek

Satu Hari di Hari Raya, M Nasir

Raya Raya, J Mizan

Kenangan di Hari Raya, Taufik Batisah / Hady Mirza

Hari Raya, Raya Raya, Iman Fandi

Gara-Gara Raya, Hyrul Anuar

Nur Lebaran, Fitrah Lebaran, Dansa Raya, Diana Nazyra

Joget Juadah Lebaran, Syawal Nan Mulia, Rudy Djoe dan Rahimah Rahim

Pat Ketupat Lepat, Danial Baharin, Mai Dhaniyah, Amir Mansor & Sarah Adriana

Gaya Raya, Sarah Syazlina

“Lagu dulu menceritakan tentang sambutan yang merangkumi semua – kawan-kawan, keluarga, yang di luar negara juga, seni katanya membuat lagu itu meriah.”
Rahimah Rahim.

“Ketika kumpulan Sweet Charity merakamkan lagu ‘Seri Hari Raya’, ianya adalah lagu berentak rok bertema Raya yang pertama dalam industri dan mengikut selera kegemaran muzik rok ketika itu.”
Ramli Sarip.

“Lirik sangat penting, harus kena dengan melodi dan gubahan lagu untuk bertahan lama.”
Jatt Ali.

“Lagu baru sekarang juga akan menjadi lagu lama, 10 tahun akan datang.  Ia tergantung pada wadah-wadah media yang memainkannya. Sama ada mereka akan teruskan memainkan lagu-lagu klasik, ataupun lebih kepada lagu berentak moden.  Sekiranya masih ada ruang yang memperjuangkan lagu klasik, saya berkeyakinan lagu-lagu lama akan kekal dan diabadikan, kerana melodi dan seni katanya membawa kembali kenangan dari zaman itu.”
Othman Hamzah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg