Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penumpang berkerusi roda ‘terperangkap’ di Lapangan Terbang Changi setelah mendarat dari penerbangan Cathay Pacific

Jan 3, 2025 | 9:53 AM
Seorang pekerja sedang membantu penumpang yang terperangkap antara jampatan pelepasan dengan pintu keluar ke ruang transit, setelah mendarat dari penerbangan Cathay Pacific.
Seorang pekerja sedang membantu penumpang yang terperangkap antara jampatan pelepasan dengan pintu keluar ke ruang transit, setelah mendarat dari penerbangan Cathay Pacific. - Foto TANGKAP LAYAR @MICHELE 9966/INSTAGRAM

Seorang wanita warga emas yang berkerusi roda kelihatan terperangkap di Lapangan Terbang Changi selama 30 minit, akibat pintu yang terkunci setelah mendarat dari penerbangan CX657 Cathay Pacific. 

Anak perempuannya, Cik Michele Yap, berkongsi pengalaman itu melalui catatan di akaun Instagramnya @michele9966 pada 31 Disember yang menunjukkan video ibunya di kerusi roda dan tidak dapat ditolak keluar kerana pintu ketibaan – antara jambatan pelepasan dengan ruang transit – didapati terkunci.

Mereka dipercayai bertiga dan ditemani seorang pekerja lapangan terbang yang turut terkunci di salah satu pintu di Terminal Empat. 

“Anda memalukan! (Kenapa) Tidak periksa ada lagi penumpang dan mengunci pintu keluar! Ibu saya yang berumur 81 tahun dalam keadaan trauma! Kami tidak dapat menghubungi polis lapangan terbang, talian kecemasan perubatan berkata ia bukan kecemasan, kakitangan SAS panik, ambil masa setengah jam dan akhirnya dapat menghubungi bosnya untuk meminta seseorang membantu kami keluar! Kelalaian yang tidak masuk akal dan penyeliaan protokol yang tidak betul!” kata catatan IG itu.

Pekerja itu telah cuba menghubungi pihak berkuasa namun video itu menunjukkan beliau tidak berhasil berbuat demikian. 

Dalam ruang komen video yang telah ditonton sejuta kali, Cathay Pacific memohon maaf atas kesilapan yang tidak dijangka itu. 

“Kami memohon maaf atas pengalaman yang anda alami. Kami faham betapa mengecewakannya perkara ini, terutamanya buat ibu anda. Kami sedang menyiasat perkara itu dan akan membuat susulan dengan anda tidak lama lagi. Terima kasih kerana membawa perkara ini kepada perhatian kami.” kata syarikat penerbangan itu.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), jurucakap Cathay Pacific berkata penyiasatan awal menunjukkan seorang kakitangan dari ejen pengendalian darat tidak melakukan pemeriksaan menyeluruh sebelum menutup pintu pagar ketibaan.

“Kami mengakui insiden melibatkan seorang penumpang dan ibunya yang tidak dapat keluar dari jambatan pelepasan kerana pintu ketibaan dikunci. Berdasarkan penyiasatan awal kami, seorang kakitangan dari ejen pengendalian darat tidak melakukan pemeriksaan menyeluruh sebelum menutup pintu pagar ketibaan.

Kami sedang menyemak prosedur dengan ejen pengendalian darat kami untuk memastikan insiden sedemikian tidak berlaku pada masa hadapan,” kata jurucakap itu sambil menambah penumpang tersebut telah menaiki pesawat CX657 pada 29 Disember.

Jurucakap itu berkata mereka telah berhubung dengan penumpang untuk menangani kebimbangannya.

Menurutnya: 

“Kami amat menyesali kesilapan ini dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh penumpang.”

Syarikat pengendali utama di Lapangan Terbang Changi ialah SATS dan DNATA.

Pemeriksaan BH mendapati syarikat DNATA yang berpangkalan di Dubai bertanggungjawab mengendalikan penerbangan Cathay Pacific di Lapangan Terbang Changi. 

Pihak DNATA belum dapat dihubungi ketika laporan ini dibuat.

Lebih 500 komen ditinggalkan di catatan tersebut dengan ramai yang rasa terkejut di atas kecuaian yang berlaku.

Salah satu komen oleh @hilmanludwig berkata sebahagian dari protokol penerbangan ialah memastikan penumpang yang berkeperluan khas diserahkan kepada kakitangan darat.

“Kalau mereka belum sampai, kru penerbangan perlu menunggu sehingga mereka tiba untuk beri bantuan. Dari pengalaman saya sendiri, kami pernah menunggu hampir 30 minit untuk kakitangan darat mengambil alih. Bagi insiden ini, saya pasti ada salah faham antara kru penerbangan dengan pihak pengendali.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg