Singapore Post (SingPost) telah melantik Cik Neo Su Yin sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) kumpulannya, berkuat kuasa pada 2 Januari.
Dalam peranan baru ini, Cik Neo akan memantau unit perniagaan dan hartanah SingPost di dalam dan luar negara.
Menurut kenyataan SingPost pada 2 Januari, Cik Neo akan menerima bimbingan daripada pengerusi lembaga pengarah kumpulan itu, Encik Simon Israel.
“Jawatan COO kumpulan adalah peranan penting dalam merealisasikan (projek) transformasi (syarikat), memastikan ia dilaksanakan dengan mutu tinggi, sambil memupuk budaya inovasi dan penambahbaikan yang berterusan,” tambah SingPost.
Cik Neo akan turut bekerjasama dengan lembaga pengarah dalam menyemak semula unit perniagaan antarabangsa (IBU) kumpulan tersebut, tambah kenyataan itu.
Cik Neo, 44 tahun, menyertai SingPost pada April 2019 sebagai Naib Presiden bagi Jabatan Pengalaman Pelanggan, lapor The Business Times (BT).
Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingPost Singapura dari November 2021 hingga April 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau mengetuai penambahbaikan dalam bidang operasi utama – termasuk penghantaran peringkat terakhir, transformasi digital dan pengoptimuman operasi pos.
Beliau kemudian menyertai penyedia perkhidmatan penerbangan dan pelancongan, dnata Singapore, pada Mei 2024 sebagai Pengarah Urusan, yang menyaksikan beliau mengawasi operasi pengendalian darat dan kargo di Lapangan Terbang Changi.
Pelantikan Cik Neo menyusuli pemecatan tiga eksekutif kanan SingPost, iaitu bekas CEO kumpulan, Encik Vincent Phang; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan, Encik Vincent Yik; dan CEO IBU syarikat, Encik Li Yu.
Menurut kenyataan SingPost pada 22 Disember, Encik Phang turut diminta meletakkan jawatan sebagai pengarah SingPost dan semua syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.
Pemecatan itu dilakukan selepas ketiga-tiga bekas eksekutif kanan itu didapati cuai dalam mengendalikan siasatan dalaman berhubung laporan pemberi maklumat yang diterima awal 2024.
Laporan tersebut berkaitan dengan perniagaan penghantaran logistik e-dagang antarabangsa yang tidak dikawal selia SingPost.
Siasatan syarikat itu mendapati bahawa tiga pengurus di IBU telah “melakukan pelanggaran serius terhadap kod etika syarikat” bagi penghantaran untuk “salah satu pelanggan terbesar” mereka.
Mereka telah meluluskan kemas kini manual pada kod status “kegagalan penghantaran” untuk bungkusan yang sepatutnya dihantar SingPost – tanpa menyediakan dokumen sokongan, meskipun tiada cubaan penghantaran dilakukan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg