Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 pemandu saling ‘berlumba’, pandu hingga 192kmj didakwa bunuh tanpa niat

Oct 28, 2025 | 5:02 PM
Kes mahkamah,  pemandu, didakwa bunuh tanpa niat
Tiga pemandu dalam dua kes berasingan yang didakwa memecut sehingga menyebabkan kematian, telah didakwa di mahkamah. - Foto fail

Dua pemandu yang memotong antara satu sama lain di Ekpreswe Central (CTE) pada kelajuan sehingga 192 kilometer sejam sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal, telah didakwa di mahkamah.

Pada 28 Oktober, Cassidy Tan Ting Hwee, 33 tahun, dan Rayson Loo Sian Hao, 35 tahun, didakwa atas pembunuhan tanpa niat, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Menurut dokumen mahkamah, Tan dan Loo didakwa memandu secara berbahaya kerana mengetahui ia berkemungkinan boleh menyebabkan kematian.

Tan juga dikatakan telah membelok secara tiba-tiba dari lorong empat ke lorong dua CTE.

Dia dituduh melanggar seorang penunggang motosikal dan menyebabkannya tercampak ke jalan raya, dengan kereta Loo didakwa melanggarnya hingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal itu.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar 2 pagi pada 14 Januari 2024 itu polis dimaklumkan tentang kemalangan maut melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal.

Penunggang motosikal lelaki berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan mendedahkan Tan didakwa memandu sehingga 192 kilometer sejam (kmj), manakala Loo memandu pada kelajuan 170kmj, jauh melebihi had laju 90kmj yang ditetapkan.

Kedua-duanya telah ditangkap dan lesen mereka digantung serta-merta, kata polis.

Kes mereka akan dibicarakan semula pada 2 Disember.

Pada 28 Oktober, seorang lagi pemandu didakwa dengan kesalahan membunuh tanpa niat dalam kemalangan berasingan.

Tan Yong Ren, 35 tahun, didakwa berlanggar dengan seorang penunggang basikal di Nicoll Highway menuju Guillemard Road sekitar 5 pagi pada 19 Disember 2023.

Dia dituduh mengambil minuman keras, memandu menentang arus lalu lintas dan berlanggar dengan penunggang basikal tersebut.

Tan didakwa melarikan diri dari tempat kejadian tanpa membantu penunggang basikal itu.

Namun, dia dikenal pasti dan ditangkap dalam masa 16 jam, dan lesen memandunya digantung.

Polis berkata pada 27 Oktober bahawa Tan pada mulanya didakwa memandu secara berbahaya menyebabkan kematian.

Tetapi pertuduhan itu disemak semula kepada pembunuhan tanpa niat dan tidak tergolong sebagai pembunuhan selepas semakan.

Persidangan praperbicaraan melibatkan Tan dijadual pada 24 November.

Jika disabit dengan pembunuhan tanpa niat yang tidak membawa kepada pembunuhan, pesalah boleh dipenjara sehingga 15 tahun, didenda, disebat, atau menghadapi gabungan hukuman tersebut.

Polis berkata mereka memandang serius perbuatan memandu secara berbahaya, sambil menambah bahawa “tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian boleh membawa akibat yang dahsyat dan membawa maut”.

“Pemandu yang terlibat dalam tingkah laku yang keterlaluan akan didakwa sepenuhnya mengikut undang-undang,” kata polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg