Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah mengeluarkan data mengenai tiga penunjuk keandalan rel baru, di mana salah satunya menunjukkan bahawa lebih 99 peratus kereta api tiba tepat pada masanya pada September.
Diterbitkan dalam laporan keandalan rel terkini pada 14 November, penunjuk baru itu merangkumi ketepatan masa kereta api, impak gangguan kereta api terhadap penumpang, serta kadar perkhidmatan kereta api yang beroperasi mengikut jadual.
Metrik ini dipantau sebagai sebahagian daripada piawaian kawal selia dalaman yang digunakan pihak berkuasa untuk menilai prestasi pengendali rel.
Keandalan rel biasanya dinilai berdasarkan Jarak Purata Antara Gangguan (MKBF), iaitu jarak yang dilalui oleh kereta api sebelum mengalami kelewatan lebih daripada lima minit.
Namun, MKBF tidak mencerminkan kesan sebenar terhadap penumpang, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Penunjuk pertama, yang menilai ketepatan masa kereta api, melengkapkan MKBF dengan menjejaki kesinambungan operasi rel serta kebolehramalan perjalanan dan masa menunggu, kata LTA.
Ia mengukur peratusan perjalanan yang diselesaikan dalam tempoh dua minit daripada jadual perjalanan.
Ini bermakna ia dapat merekod kesan gangguan operasi, seperti kerusi roda yang tersekat di antara pintu kereta api.
Data terkini LTA menunjukkan bahawa pada September, 99.16 peratus kereta api menyelesaikan perjalanan dalam tempoh dua minit daripada jadual, meningkat daripada 98.91 peratus pada Ogos.
Angka ini setanding dengan prestasi metro utama di luar negara, seperti Taipei Metro, yang mencatat ketepatan masa kereta api setinggi 99.41 peratus pada 2023.
Satu lagi penunjuk baru menjejak kadar jarak sebenar yang dilalui kereta api berbanding jadual perjalanan.
Nilai lebih tinggi menunjukkan keandalan rel lebih baik, dan lebih banyak kereta api beroperasi mengikut jadual.
Penunjuk ini mencerminkan tahap gangguan perkhidmatan, kerana masa gangguan lebih lama akan mengurangkan jumlah jarak yang dilalui, menurut LTA.
Namun, pihak berkuasa menekankan bahawa gangguan biasanya hanya menjejaskan sebahagian laluan untuk beberapa jam tertentu, dengan operasi diteruskan seperti biasa di bahagian lain.
Penunjuk ini dijangka tinggi bagi sistem metro yang beroperasi dengan baik.
Pada September, kereta api di kesemua lima laluan mencatat 99.83 peratus daripada jarak perjalanan yang dijadualkan, meningkat daripada 99.65 peratus pada Ogos.
LTA menekankan bahawa angka ini setanding dengan prestasi metro di peringkat global, seperti Hong Kong MTR, yang mencatat skor 99.9 peratus bagi tempoh Julai hingga September 2025.
Mengenai sebab kedua-dua penunjuk ini kekal melebihi 99 peratus meskipun berlaku beberapa gangguan, LTA menjelaskan bahawa insiden terpencil biasanya memberi kesan agak kecil terhadap ketepatan masa dan kadar jarak perjalanan sebenar yang dilalui kereta api.
Ini kerana sebilangan besar perjalanan kekal tidak terjejas, memandangkan rangkaian MRT yang luas dengan kereta api beroperasi antara 18 dengan 19 jam setiap hari.
Penunjuk ketiga menganggarkan bilangan dan kadar penumpang yang terjejas oleh kelewatan melebihi 30 minit, berdasarkan purata bilangan penumpang bagi laluan terjejas.
Menurut LTA, data bilangan penumpang semasa gangguan sebenar mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan kesan gangguan, kerana sebahagian penumpang mungkin menggunakan laluan alternatif untuk mengelak insiden tersebut.
Bagi tempoh Oktober 2024 hingga September 2025, terdapat tujuh gangguan kereta api yang menyebabkan kelewatan perkhidmatan melebihi 30 minit.
Penambahan ketiga-tiga penunjuk baru ini menyusuli kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, di Parlimen pada 22 September bahawa beliau telah meminta LTA menyediakan lebih banyak data kepada orang ramai bagi memberikan gambaran lebih lengkap mengenai prestasi rel.
LTA sebelum ini berkata ia akan mempertimbangkan penerbitan lebih banyak penunjuk, termasuk yang dapat mencerminkan kesan gangguan terhadap penumpang dengan lebih tepat.
Pihak berkuasa menambah bahawa penunjuk ini membolehkan perbandingan lebih luas dengan metro antarabangsa utama yang menggunakan ukuran keandalan serupa selain MKBF.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg