Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panel 5 anggota bebas dilantik bantu tingkat keandalan MRT, LRT

Oct 6, 2025 | 7:49 PM
MRT, LRT, keandalan, 5 anggota
Penubuhan pasukan petugas baru itu diumumkan pada 19 September menyusuli sekurang-kurangnya 15 gangguan di rangkaian MRT dan LRT dalam tempoh tiga bulan. - Foto fail

Sebuah panel penasihat bebas yang terdiri daripada lima pakar kereta api dari pelbagai negara telah dilantik menyokong pasukan petugas baru dalam usaha meningkatkan keandalan rangkaian MRT dan LRT di Singapura.

Panel tersebut terdiri daripada pemimpin berpengalaman yang pernah memegang jawatan penting dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan sektor kereta api di serata dunia, menurut kenyataan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) serta pengendali pengangkutan awam SMRT dan SBS Transit pada 6 Oktober.

Kepakaran para panel merangkumi bidang penting seperti operasi, pengurusan, dan penyelenggaraan sistem teras kereta api – sebuah kepakaran yang “penting bagi memastikan rangkaian kereta api yang selamat, cekap dan boleh dipercayai”, tambah kenyataan tersebut.

Para anggota panel tersebut ialah:

  1. Dr Tony Lee Kar Yun, mantan pengarah operasi dan inovasi di pengendali pengangkutan awam Hong Kong, MTR Corporation.
  2. Encik Patrick Bauchart, mantan naib presiden bagi pengisyaratan kereta api bandar Asia, di penyedia sistem pengisyaratan Perancis, Thales.
  3. Dr Cai Chang Jun, mantan Timbalan Pengurus Besar Guangzhou Metro Group dengan pengalaman lebih 41 tahun dalam bidang kejuruteraan kereta api, operasi dan penyelenggaraan.
  4. Profesor Tsay Huel-Sheng, mantan Pengerusi dan Presiden Taipei Rapid Transit Corporation, yang mengendalikan Taipei Metro, rangkaian kereta api yang diiktiraf sebagai antara sistem terbaik di dunia.
  5. Encik Kon Shinichiro, Pegawai Eksekutif Pengurusan Meidensha Corporation Japan, yang membekalkan sistem bekalan kuasa untuk kereta api laju dan sistem metro di Jepun, serta sistem MRT di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Penubuhan pasukan petugas baru itu diumumkan pada 19 September menyusuli sekurang-kurangnya 15 gangguan di rangkaian MRT dan LRT dalam tempoh tiga bulan.

Pasukan petugas itu terdiri daripada pemimpin kanan dari LTA, SMRT dan SBS Transit, lapor The Straits Times (ST).

Hasil penemuan pasukan petugas itu akan dilaporkan secara berkala kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, manakala usulan akhir dijangka diserahkan menjelang akhir 2025.

Anggota panel tersebut akan meneliti penemuan, memberi nasihat dan pandangan, serta bekerjasama rapat dengan anggota pasukan petugas untuk merangka langkah-langkah bagi meningkatkan keandalan rangkaian kereta api, jelas LTA.

Pasukan petugas itu – yang dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif LTA, Encik Ng Lang – turut terdiri daripada Ketua Eksekutif kumpulan SMRT, Encik Ngien Hoon Ping, dan Ketua Eksekutif kumpulan SBS Transit, Encik Jeffrey Sim.

Antara lain, pasukan petugas ini akan meneliti gangguan perkhidmatan baru-baru ini bagi mengenal pasti komponen yang mungkin perlu diganti, ditingkatkan atau diselenggara dengan lebih kerap.

Pasukan petugas juga akan menjalankan audit teknikal menyeluruh terhadap penyelenggaraan dan operasi sistem penting.

Proses membuat keputusan semasa gangguan, turut akan disemak, dan pasukan petugas akan meneliti cara mengurangkan kesan gangguan perkhidmatan terhadap penumpang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg