Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyakit jantung bukan halangan raih GPA sempurna
Penyakit jantung bukan halangan raih GPA sempurna
Pada usia 17 tahun, Cik Nur Sabrina Herwan disahkan menghidap penyakit jantung reumatik dan terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka.
Keadaan kesihatannya menyebabkan beliau kerap keluar masuk hospital sehingga terlepas beberapa minggu pembelajaran, kegiatan sekolah dan peluang menyertai pertandingan.
Namun, kunjungan rakan-rakan yang melawatnya di hospital selepas mengikuti lawatan sekolah menjadi antara pendorong untuk beliau terus berjuang demi menamatkan pengajian bersama mereka.
Meskipun berdepan cabaran tersebut, Cik Sabrina, kini 19 tahun, berjaya menamatkan pengajian Nitec dalam bidang Kehijauan Bandar dan Lanskap di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur dengan purata nilai gred (GPA) sempurna 4.0.
Beliau turut meraih Pingat Emas Kursus dan kini melanjutkan pengajian di Politeknik Ngee Ann.
Atas kecemerlangan akademiknya, beliau menerima Anugerah Pencapaian Akademik di Anugerah MENDAKI 2026 pada 17 Oktober.
Mengimbas kembali pengalaman tersebut, Cik Sabrina berkata masalah kesihatannya mula dikesan pada Jun 2024 selepas ibunya menyedari beliau semakin tidak sihat dan mengalami penurunan berat badan yang ketara.
Pemeriksaan lanjut mendapati jantungnya membesar akibat masalah injap jantung, sekali gus memerlukan pembedahan.
Selepas menjalani pembedahan dan menerima injap jantung mekanikal, Cik Sabrina masih perlu mendapatkan rawatan susulan, termasuk pemantauan ubat pencair darah.
Keadaan itu adakalanya memerlukan beliau dimasukkan semula ke hospital, sekali gus menjejas kehadirannya ke kelas.
“Saya kerap keluar masuk hospital dan terlepas banyak perkara di sekolah. Sukar untuk mengikuti pelajaran apabila tidak dapat hadir secara fizikal kerana banyak topik dipelajari dalam sehari,” katanya.
Bagi Cik Sabrina, cabaran terbesar bukan sahaja mengejar pelajaran yang tertinggal, malah menerima hakikat bahawa beliau tidak dapat menyertai beberapa kegiatan yang diminatinya, termasuk pertandingan dan lawatan luar negara.
Memandangkan kursusnya banyak melibatkan pembelajaran amali, ketidakhadiran selama beberapa minggu menyukarkan beliau mengikuti perkembangan rakan sekelas.
Namun, bantuan pensyarah dan rakan-rakan yang berkongsi nota serta membantunya mengejar pelajaran menjadi sumber kekuatan.
Beliau turut tersentuh apabila rakan-rakannya meluangkan masa melawatnya di hospital selepas mengikuti lawatan pembelajaran.
Menurutnya, beliau tidak mahu mensia-siakan usaha mereka dan berazam menamatkan pengajian bersama rakan-rakan tersebut.
Di luar bilik darjah, Cik Sabrina aktif sebagai Naib Presiden Kelab Green Ambassador, yang disifatkannya sebagai rumah kedua kerana hubungan rapat dengan ahli-ahli kelab.
Walaupun tidak dapat melaksanakan sepenuhnya peranannya dalam sebuah projek taman bunga bersama Lembaga Taman Negara (NParks) akibat dimasukkan ke hospital, beliau tetap berbesar hati melihat peluang itu diteruskan oleh rakannya.
Kini, setelah melalui pelbagai cabaran, Cik Sabrina berharap pengalamannya dapat memberi semangat kepada pelajar lain.
“Jangan mudah berputus asa dan sentiasa percaya pada diri sendiri. Walaupun melalui banyak cabaran, orang yang berada di sekeliling kita juga memainkan peranan penting untuk membantu kita terus berusaha,” katanya.
