Penyanyi rap tempatan, Subhas Nair, mula menjalani hukuman penjara enam minggu pada 5 Februari selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya atas empat pertuduhan cuba menggalak rasa tidak senang antara kumpulan kaum dan agama yang berbeza di Singapura.
Adiknya, Cik Preeti Nair, pencipta kandungan YouTube yang lebih dikenali sebagai Preetipls, adalah antara segelintir penyokong yang berada di mahkamah mengikuti keputusan itu.
Pemuzik itu, yang nama penuhnya Subhas Govin Prabhakar Nair, 32 tahun, minta dibicarakan atas empat pertuduhan itu pada Mac 2023, lapor The Straits Times.
Dia disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah daerah pada akhir tahun itu.
Tuduhan pertama tertumpu pada satu video oleh pengasas Gereja City Revival, Cik Jaime Wong, dan pempengaruh media sosial, Cik Joanna Theng.
Kedua-dua wanita itu telah membuat kenyataan yang mengaitkan gerakan gay dengan syaitan.
Nair membalas video itu dengan hantaran di Instagram pada 25 Julai 2020, menyatakan: “Jika dua orang Melayu Islam membuat video mempromosikan Islam dan mengucapkan kebencian seperti dikatakan orang Cina Kristian ini, ISD (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri) akan berada di depan pintu sebelum mereka sempat menekan ‘muat naik’.”
Dia menurunkan hantaran itu pada 2 November 2020.
Pertuduhan kedua Nair melibatkan satu lagi hantaran Instagram sebagai jawapannya kepada satu artikel mengenai Encik Chan Jia Xing, ketika itu berusia 27 tahun.
Encik Chan pada mulanya didakwa membunuh mendiang Satheesh Noel Gobidass, 31 tahun, di Orchard Towers pada Julai 2019.
Tuduhan pembunuhan itu kemudian dikurangkan kepada tuduhan bergaul dengan seseorang yang membawa senjata serangan di tempat awam. Dia diberi amaran bersyarat pada Oktober 2020.
Antara lain, Nair menyatakan dalam hantaran Instagramnya: “Menyebut perkauman dan keistimewaan Cina, amaran bersyarat dua tahun dan kempen fitnah di media.”
Lelaki yang sebenarnya membunuh mendiang Satheesh, Tan Sen Yang, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan kerana membunuh, pada April 2024.
Pertuduhan ketiga membabitkan drama pentas yang dipersembahkan Nair di Substation, dengan dia mempamerkan satu replika hantaran berkaitan Encik Chan itu.
Pertuduhan keempat pula berhubung video rap Nair yang disiarkan di YouTube pada 29 Julai 2019, yang mengandungi lirik yang dianggap menyinggung perasaan orang Cina.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg