Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undang-undang baru lindungi, perkukuh harmoni kaum S’pura

Bolehkan Menteri Ehwal Dalam Negeri keluar perintah sekatan, perkenal pendekatan berasas masyarakat dalam tangani insiden perkauman
Feb 4, 2025 | 9:05 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam. - Foto MDDI

Sebuah undang-undang baru yang bertujuan melindungi dan memperkukuh keharmonian kaum Singapura, dengan mengambil rujukan daripada undang-undang sedia ada seperti Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA), diluluskan Parlimen pada 4 Februari.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Mengekalkan Keharmonian Kaum itu di Parlimen, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata Singapura telah membuat kemajuan besar dalam memelihara keharmonian kaum dan agama.

Namun, rangka kerja undang-undang yang kukuh dan dasar serta platform diperlukan untuk mengekalkan keharmonian itu dan memperkukuh perpaduan negara.

“Rang undang-undang ini bukanlah penawar bagi semua isu perkauman. Anda tidak boleh, mengikut undang-undang, memaksa orang daripada pelbagai kaum bergaul antara satu sama lain. 

“Anda juga tidak boleh menghalang sikap tidak sensitif, atau sikap perkauman, daripada berlaku dalam interaksi harian, dengan meluluskan undang-undang – yang kami cuba tangani, perbaiki tingkah laku, dan cuba satukan orang ramai melalui pelbagai dasar dan platform yang menggalak perpaduan sosial, keharmonian kaum – itu sebahagian besar daripadanya. 

“Undang-undang boleh menetapkan rangka kerja tentang perkara yang anda tidak boleh lakukan,” kata beliau.

Encik Shanmugam dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, membentangkan butiran rang itu di Parlimen.

Rang itu, antara lain, membolehkan Menteri Ehwal Dalam Negeri mengeluarkan perintah sekatan dan memperkenalkan pendekatan berasaskan masyarakat dalam menangani kejadian perkauman.

Ia juga akan mewujudkan sebuah Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH) baru, yang akan menggantikan Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama sedia ada.

Majlis baru itu akan mempertimbangkan dan melaporkan kepada menteri atau Parlimen hal yang menjejas keharmonian kaum dan agama di Singapura, serta membuat saranan mengenai perintah sekatan kepada presiden.

Dalam konteks itu, Perlembagaan Singapura turut dipinda bagi membolehkan presiden bertindak mengikut budi bicaranya dalam menentukan sama ada harus bertindak mengikut nasihat Majlis Presiden bagi Hak Minoriti bagi pelantikan PCRRH.

Ini selain mengesahkan, membatalkan atau mengubah perintah sekatan dalam kes apabila nasihat Kabinet berbeza daripada saranan PCRRH.

Seramai 78 Anggota Parlimen (AP) mengundi menyokong pindaan Perlembagaan itu, manakala tujuh tidak menyokongnya.

Di bawah rang itu, sebuah persatuan kaum dan perniagaan yang dikaitkan dengan masyarakat Cina, Melayu dan India boleh ditetapkan sebagai “entiti berasaskan kaum” jika dianggap perlu untuk mencegah atau mengurangkan sebarang pengaruh asing yang boleh menjejas keharmonian kaum.

Mengulas lanjut, Cik Sun berkata beliau faham mungkin ada kebimbangan dalam kalangan persatuan perniagaan tentang apakah mereka akan ditetapkan sebagai entiti berasaskan kaum.

Namun, beliau menjelaskan bahawa penetapan itu tidak mencerminkan sebarang salah laku oleh entiti itu dan tidak harus dianggap sedemikian.

“Persatuan perniagaan dan pertubuhan yang matlamatnya, tujuannya atau kegiatannya tidak berkaitan dengan sebarang kaum, tidak akan ditetapkan.

“Setiap keputusan penetapan akan dibuat secara menyeluruh dan atas meritnya sendiri. Senarai entiti yang ditetapkan akan didedahkan kepada umum bagi menggalak ketelusan,” kata beliau.

Sekitar 15 AP menyertai perbahasan mengenai rang itu.

Seorang daripada mereka, Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) dari Parti Pekerja (WP), mempersoalkan proses perundingan rang itu, dengan berkata ia tidak melalui tahap penelitian Parlimen yang sama kerana tidak menerusi sebuah Jawatankuasa Pilihan, dan sebaliknya melalui unit maklum balas pemerintah, Reach.

“Jawatankuasa Pilihan menyediakan proses lebih telus dan ketat, membolehkan penelitian mendalam, pelibatan awam dan pandangan pakar, terutama daripada masyarakat minoriti yang paling terjejas oleh perundangan sedemikian,” kata beliau.

Memberi respon, Encik Shanmugam berkata meskipun terdapat beberapa peruntukan baru – seperti PCRRH dan pendekatan berasaskan masyarakat dalam menangani kejadian perkauman – di bawah rang itu, ia lebih berkaitan dengan soal proses.

“Justeru, undang-undang substantif kekal dengan tambahan beberapa proses. Saya rasa anda boleh memahami mengapa kita tidak memerlukan sebuah Jawatankuasa Pilihan, terutamanya kerana peruntukan tambahan itu... mengambil model MRHA,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg