Mengkaji kebolehlaksanaan tenaga nuklear di Singapura memerlukan pemahaman yang mendalam mengenai pertimbangan keselamatan dan penggubalan dasarnya, di samping membina keupayaan teknikal yang diperlukan.

Ini antara peranan Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI), yang menyokong pemerintah dalam menilai teknologi nuklear untuk negara.

Sebagai zamil penyelidikan bersama kumpulan penyelidikan dasar nuklear di SNRSI, Dr Nur Azha Putra Abdul Azim, membina pemahaman serta meneliti keperluan asas bagi membolehkan Singapura menilai pelaksanaan tenaga nuklear secara selamat dan bertanggungjawab.

“Asas peranan saya adalah mengemukakan soalan yang tepat, memahami peluang dan risiko, serta membantu membina pengetahuan yang diperlukan Singapura bagi membuat keputusan yang bijak berasaskan maklumat demi masa depan tenaganya,” kata penyelidik berusia 51 tahun itu.

Berbekalkan pengalaman sekitar 15 tahun dalam sektor tenaga, Dr Azha pernah berkhidmat di Institut Pengajian Tenaga (ESI) sebelum menyertai SNRSI.

Sebahagian penting peranan Dr Azha di SNRSI adalah meneliti pendekatan oleh pelbagai negara terhadap tenaga nuklear, tatakelolanya serta cabaran yang dihadapi.

Mengulas lanjut, pengalaman pihak antarabangsa tersebut boleh dijadikan iktibar dan pengajaran buat perjalanan mengkaji tenaga nuklear di Singapura.

Di SNRSI, penyelidikan beliau juga merangkumi tatakelola keselamatan nuklear di peringkat sejagat, rangka kerja tatakelola peringkat sejagat dan rantauan, rantaian bekalan bahan api nuklear serta pilihan dasar bagi pengurusan sisa radioaktif.

Selain rakan seperjuangan SNRSI, beliau bekerjasama dengan pemerintah, konsultan luaran, pihak akademia serta pihak dalam sektor nuklear untuk saling bertukar pandangan dan menyumbang kepada perbincangan dasar.

Dr Azha bersama rakan sekerjanya di bangunan SNRSI.
Dr Azha bersama rakan sekerjanya di bangunan SNRSI. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Setakat ini, Singapura belum membuat keputusan terhadap pengerahan tenaga nuklear, tetapi telah mengukuhkan keupayaan untuk mengkaji sumber tenaga itu lebih sedekad lalu.

Antara usaha untuk membina keupayaan mengkaji tenaga nuklear ialah penubuhan institut khas seperti SNRSI.

SNRSI pertama kali ditubuhkan pada 2014 sebagai inisiatif, kemudian dirasmikan sebagai institut sepenuhnya pada 2025.

Kini, terdapat lebih 50 penyelidik yang menabur kepakaran dalam aspek teknikal serta dasar berkaitan tenaga nuklear.

Teknologi tenaga nuklear utama yang dikaji ialah reaktor modular kecil (SMR).

Ciri keselamatan yang dipertingkatkan serta saiznya yang kompak merupakan beberapa kelebihan utama SMR yang menjadikannya sesuai buat Singapura yang berdepan kekangan tanah dan kepadatan penduduk, kata Dr Azha.

Selain mengukuhkan jaminan tenaga Singapura, Dr Azha percaya pelaksanaan tenaga nuklear mampu membuka banyak peranan jawatan baharu.

“Ekosistem nuklear bukan sahaja memerlukan jurutera dan saintis, malah pakar dalam bidang kawal selia, pengurusan risiko, undang-undang, kewangan dan kerjasama antarabangsa.”

Malah, warga Singapura berpotensi meraih manfaat daripada jawatan di peringkat rantau Asia Tenggara, kerana teknologi nuklear turut dikaji di rantau ini. Ini membuka pintu untuk teroka kerjaya seperti menyokong rantaian bekalan.

“Sekalipun Singapura akhirnya memutuskan untuk tidak melaksanakan tenaga nuklear, kepakaran yang dibangunkan tetap mampu memperkukuh keupayaan negara dalam keterjaminan tenaga, prasaranan kritikal serta tatakelola teknologi maju… Ini berpotensi membuka peluang buat rakyat Singapura menyumbang di peringkat serantau,” kongsi Dr Azha.

Namun, beliau mengakui masih wujudnya salah faham mengenai reaktor tenaga nuklear semua sekali sama.

Malah, kemalangan di loji tenaga nuklear seperti Chernobyl (Ukraine) dan Fukushima (Jepun) turut mempengaruhi persepsi masyarakat awam terhadap teknologi tersebut, tambah Dr Azha.

“Realitinya adalah teknologi nuklear telah berkembang pesat, terutama sekali dalam aspek keselamatan,” kongsi Dr Azha.

Yang penting, kata beliau, adalah Singapura memahami kelebihan, risiko dan meneliti reka bentuk SMR yang benar-benar sesuai untuk pengerahan di sini.