Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peraduan podcast BH galak guna wadah kreatif demi lestari bahasa Melayu

Oct 31, 2025 | 8:19 PM
podcast BH, wadah kreatif, lestari bahasa Melayu, pelajar sekolah
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi (depan, tengah) dan Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar (depan, kanan) bergambar dengan pemenang Pertandingan Podcast Gen G anjuran BH. Kategori sekolah rendah dimenangi Aaric Nur Zander Norazlan (depan, kiri); Nadya Raessa Mohamad Rusly (belakang, kiri) dan Muhammad Afif Shidqy Muhammad Sufian (tiada dalam gambar) dari Sekolah Rendah West Spring. Kategori sekolah menengah dimenangi (baris belakang, dari dua dari kiri) Elys Nyla Mohamad Helyano, Nur Syaza Farisah Mohd Sulaiman, Siti Khadijah Mohamad Shahril Aman dan Mulhim Mahmud dari Sekolah Menengah Bukit Batok. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Golongan muda perlu memanfaatkan platform kreatif seperti podcast dan media digital lain untuk melestarikan bahasa Melayu.

Ini dapat dilakukan dengan menghasilkan kandungan, berdebat dan menyampaikan kisah menarik dalam bahasa ibunda, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya kepada para peserta Pertandingan Podcast Gen G anjuran Berita Harian (BH) semasa majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Auditorium SPH pada 31 Oktober.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 100 pelajar, guru dan ibu bapa.

Pertandingan yang diadakan buat julung kalinya itu disertai 28 pasukan dan lebih 100 pelajar dari 21 sekolah rendah dan menengah.

Setiap pasukan telah menghasilkan podcast berdasarkan tema ‘Singapura SG100: Impian Hebat Saya!’ atau ‘Bahasa Kita, Masa Hadapan Kita’.

Dr Syed Harun berkata: “Pertandingan podcast Gen G membuka ruang yang sangat penting untuk anak-anak muda kita mencintai bahasa Melayu dalam bentuk yang lebih menyeronokkan, bersikap kreatif dan juga menggunakan wadah yang relevan kepada kehidupan mereka.”

“Saya juga menyeru kepada pendidik, ibu bapa dan juga para pemimpin masyarakat untuk terus menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam bentuk yang bermakna lagi bermanfaat.”

“Hidupnya bahasa Melayu bukan hanya di kertas peperiksaan atau di akhbar semata, tetapi di hati dan dalam kehidupan harian kita bersama,” tambah Dr Syed Harun.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, turut menekankan podcast sebagai platform audio digital yang dinamik dan kreatif untuk mengupas isu semasa, sambil memastikan bahasa Melayu terus berkembang maju.

“Dalam era digital ini, podcast telah menjadi satu wadah audio yang semakin popular. Kita lihat ramai yang perkenalkan podcast sendiri untuk luahkan pandangan mereka,” ujarnya.

Beliau memuji pelajar yang “amat lancar dan bersahaja dalam perbualan podcast” sambil mengetengahkan idea baru seperti guru robot pada SG100 dan alat mencegah barah yang memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI).

“Pelajar-pelajar telah membuktikan bahawa bahasa Melayu amat ‘hidup’, dinamik, dan boleh digunakan dengan cara yang sangat kreatif,” kata Encik Nazry.

Sebelum menghasilkan podcast sendiri, pelajar dan guru menghadiri webinar dan bengkel pada Ogos untuk mempelajari teknik menghasilkan podcast daripada pakar BH.

Podcast mereka dinilai dari aspek penggunaan bahasa, isi kandung dan penyampaian serta kreativiti.

Juara bagi podcast terbaik bagi kategori sekolah rendah ialah ‘Springkast’ dari Sekolah Rendah West Spring.

Podcast mereka mengetengahkan topik seperti penggunaan bahasa Melayu di rumah, perubahan bahasa Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional.

Nadya Raessa Mohamad Rusly, 10 tahun, berkata pengalaman di pertandingan itu membantu dia dan rakan-rakan bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih lancar dan yakin.

“Saya juga suka yang kami boleh meluahkan perasaan dan pengalaman melalui podcast,” tambahnya.

Naib juara ialah ‘Rasa Kita’ dari Sekolah Rendah Teck Whye, manakala ‘Jom Heboh’ daripada Sekolah Rendah Rivervale di tempat ketiga.

Pemenang kategori sekolah menengah pula ialah ‘Mess’ dari Sekolah Menengah Bukit Batok, yang berbincang tentang harapan untuk aspek seni, kepimpinan dan bahasa pada SG100, serta bagaimana harapan tersebut boleh direalisasikan.

Anggota kumpulan ‘Mess’, Nur Syaza Farisah Mohd Sulaiman, 15 tahun, berkata: “Sebenarnya kami gementar kerana podcast merupakan pengalaman yang baru untuk kami… kami terkejut tetapi bangga dinamakan juara.”

Kemenangan kumpulan ‘Mess’ lebih manis kerana mereka terpaksa membuat 20 percubaan sebelum menghasilkan rakaman podcast yang diharapkan.

Naib juara bagi kategori sekolah menengah adalah ‘Bunga-bunga Suara’ dari Sekolah menengah Manjusri, manakala tempat ketiga dimenangi oleh ‘Geng Orkids’ dari Sekolah Menengah Orchid Park.

Pemenang setiap kategori membawa pulang trofi, sijil dan baucar tunai bernilai $500.

Naib juara mendapat sijil dan baucar tunai $300, manakala pemenang tempat ketiga dapat mendapat sijil dan baucar tunai $200.

Podcast terbaik juga akan disertakan dalam media sosial BH dan Gen G.

Para pelajar juga berpeluang mengasah skil temuramah dengan bertanya soalan kepada pengasas dan ketua pegawai eksekutif SGFR, Encik Mohamed Haikkel Firdaus.

Selain itu, anugerah juga diberikan kepada Hos Terbaik yang dimenangi oleh Richelle Callista Tandiono untuk kategori sekolah menengah dan Ryhan Humaidi Rose Hamdi bagi kategori sekolah rendah pula.

Mereka berdua membawa pulang mikrofon podcast dan sijil.

Cikgu Latifah Mohamedzen daripada Sekolah Menengah Bukit Batok menghargai pertandingan podcast tersebut kerana ia “memberi wadah yang autentik” bagi pelajar mempelajari bahawa bahasa Melayu boleh digunakan dalam konteks formal dan santai.

Cikgu Nor Hidayah Abdul Rahman dari Sekolah Rendah West Spring pula mengalu-alukan podcast sebagai “langkah pertama untuk menggalakkan pelajar menggunakan bahasa Melayu dengan cara lebih menarik”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg