STOCKHOLM: Singapura dan Sweden mengesahkan komitmen pada 20 Oktober untuk mempererat kerjasama dalam bidang tenaga, khususnya dalam peralihan kepada tenaga bersih.

Institusi pendidikan dari kedua-dua negara itu turut bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang seperti penyelidikan dasar awam dan pertukaran akademik sempena lawatan negara Presiden Tharman Shanmugaratnam, ke Sweden.

Dalam bidang tenaga, kedua-dua negara berhasrat meneroka peluang kerjasama dalam teknologi baharu seperti hidrogen dan ammonia, selain kesalinghubungan tenaga serantau serta teknologi arus terus voltan tinggi.

Dalam satu kenyataan bersama pada 20 Oktober, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Kementerian Iklim dan Perusahaan Sweden menyatakan kerjasama ini menggabungkan kelebihan Sweden dalam inovasi tenaga dengan kedudukan Singapura sebagai hab tenaga dan inovasi terkemuka.

Tuan Presiden berkata tenaga merupakan contoh baik bagaimana kerjasama dua hala antara kedua-dua negara itu semakin diperkukuh sejak Raja Sweden Carl XVI Gustaf, melawat Singapura pada November 2024.

Semasa jamuan negara yang diadakan bagi menyambut Tuan Presiden, beliau mengetengahkan kerjasama antara agensi dengan syarikat dari kedua-dua negara tersebut dalam menghasilkan penyelesaian penjanaan tenaga rendah karbon.

Ini termasuk loji jana kuasa yang menggunakan ammonia sebagai bahan api.

Tuan Presiden berkata:

“Pengalaman Sweden dalam pengurusan tenaga rentas sempadan dan penyepaduan grid tenaga serantau amat relevan, sedang Asia Tenggara membangunkan Grid Kuasa Asean.”

Pada 20 Oktober, Tuan Presiden mengunjungi Institut Teknologi Diraja di Stockholm, ibu kota Sweden, dan mengikuti perbincangan mengenai penggunaan tenaga untuk menyokong pertumbuhan mampan.

Ia melibatkan wakil syarikat seperti Siemens Energy dan Studsvik.

Dalam perbincangan itu, Timbalan Perdana Menteri Sweden, Cik Ebba Busch, berkata tenaga, termasuk tenaga hidro dan nuklear, menjadi tunjang perkembangan ekonomi negara Nordic itu.

Walaupun Sweden dan Singapura menghadapi cabaran berbeza, kedua-dua negara itu mempunyai tekad sama untuk menanganinya melalui kerjasama, kata Cik Busch, yang juga Menteri Tenaga.

Di universiti tersebut, Tuan Presiden dan Raja Gustaf menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Institut Teknologi Diraja dengan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP) bagi meneroka peluang dalam program pembangunan keupayaan bagi pemimpin sektor awam.

Perjanjian itu akan menyaksikan kedua-dua institusi itu bekerjasama dalam lawatan sambil belajar selama seminggu ke Stockholm, sebagai sebahagian daripada program pengurusan kanan LKYSPP.

LKYSPP dalam satu kenyataan berkata:

“Perjanjian ini mencerminkan kepentingan yang semakin meningkat untuk melengkapkan pemimpin sektor awam dengan pemahaman tentang bagaimana teknologi, inovasi dan strategi perindustrian saling berkait rapat dengan dasar awam.

“Ini merupakan bidang di mana Singapura dan Sweden mempunyai rekod pencapaian kukuh.”

Secara berasingan, LKYSPP dan Sekolah Ekonomi Stockholm turut menandatangani perjanjian bagi meneroka kerjasama lebih erat dalam bidang kepentingan bersama.

Ini termasuk penganjuran forum berkala yang menghimpunkan pakar akademik, pegawai awam, pemimpin industri dan wakil masyarakat sivil dari negara Asean dan Nordic bagi membincangkan cabaran dasar yang dikongsi bersama.

LKYSPP berkata kerjasama itu tepat pada masanya, menyusuli penubuhan program Sarjana Dasar Awam baharu oleh Sekolah Ekonomi Stockholm, yang menawarkan “peluang semula jadi untuk menjalin kerjasama” antara kedua-dua institusi itu.

Lawatan Tuan Presiden ke Sekolah Ekonomi Stockholm dan Institut Teknologi Diraja berlangsung pada hari keempat lawatan negara beliau ke Sweden selama lima hari.

Semasa berucap di Sekolah Ekonomi Stockholm di Sweden pada 20 Oktober, Tuan Presiden turut menyampaikan kuliah yang bertajuk ‘Di Antara Dunia Unipolar Dan Multipolar: Merapatkan Jurang’ atau ‘‘Between Unipolar And Multipolar Worlds:  Bridging The Gap’.

Dalam kuliahnya, Tuan Presiden berkata perintah dunia unipolar (hanya ada satu kuasa utama) yang dipimpin oleh Amerika telah berlalu, namun perintah multipolar (melibatkan pelbagai negara) yang stabil masih belum muncul.

Dalam pada itu, beliau menyeru negara-negara pelbagai saiz untuk membentuk gabungan bagi menangani cabaran bersamam termasuk perubahan iklim, kesiapsiagaan menghadapi pandemik, dan risiko yang ditimbulkan oleh kecerdasan buatan (AI), sambil mengekalkan hubungan ekonomi antara kuasa-kuasa besar.

Tuan Presiden turut menyatakan bahawa pihak yang berperanan sebagai ‘pembina jambatan’ juga diperlukan untuk memacu pembaharuan dalam institusi antarabangsa, serta membangunkan peraturan dan norma baharu bagi ekonomi dunia yang kini semakin dibentuk oleh perdagangan digital dan AI.

Semasa di Sweden, Tuan Presiden juga bertemu anggota Parlimen Sweden, dikenali sebagai Riksdag, pada 19 Oktober, termasuk pertemuan dengan Speaker Parlimen, Encik Andreas Norlen.

Mereka saling bertukar pandangan mengenai perkembangan di Eropah dan rantau Asia-Pasifik, serta bersetuju tentang peri pentingnya Singapura dan Sweden bekerjasama untuk mempertahankan sistem pelbagai hala berasaskan peraturan.

Tuan Presiden turut bertemu Perdana Menteri Sweden, Encik Ulf Kristersson.

Kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan sejagat serta membincangkan bagaimana kedua-dua negara boleh bekerjasama untuk memperkukuh kerjasama antara Asean, Sweden dengan Kesatuan Eropah (EU).

Ini termasuk proses menetapkan peraturan bagi menggalakkan perdagangan digital.

Tuan Presiden turut bertemu pemimpin pembangkang Sweden, Cik Magdalena Andersson, dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan sedunia.

Semasa jamuan negara yang dianjurkan oleh Raja dan Permaisuri Sweden, Tuan Presiden melahirkan kekagumannya terhadap Sweden, termasuk “kepakaran mendalam negara itu dalam pelbagai bidang, budaya syarikat pemula (start-up) yang dinamik serta jumlah syarikat unicorn yang luar biasa, di samping mengekalkan nilai kesaksamaan dalam masyarakat”.

Syarikat unicorn merujuk kepada syarikat pemula yang mempunyai penilaian lebih AS$1 bilion ($1.28 bilion).

Beliau turut mengetengahkan peranan membina Sweden dalam ehwal antarabangsa, usaha pemeliharaan alam sekitar serta komitmen rakyatnya dalam menyokong usaha kemanusiaan di luar negara.

“Seperti masyarakat lain, Sweden juga mempunyai cabaran sosial yang sedang ditangani melalui usaha besar.

“Namun, terdapat pelbagai perkara yang boleh dipelajari daripada Sweden – memerhatikan pendekatan yang telah diuji di sana, dan berkongsi daripada pengalaman kami di Singapura,” ujar Tuan Presiden.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti