Unit dengan dedikasi baru terdiri daripada anggota polis biasa dan anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), akan ditubuhkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk memerangi jenayah siber menjelang akhir 2024.
Sel Ops Siber (COC) akan menawarkan vokasi baru, PNSF Siber, kepada NSF yang mempunyai bakat siber untuk menyelaras tindak balas risikan, penyiasatan, operasi dan gangguan terhadap kes jenayah siber yang memerlukan intervensi masa nyata.
Ia adalah sebahagian daripada usaha SPF dalam meningkatkan keupayaannya dalam menangani penipuan atau ‘scam’ dan aktiviti siber yang berbahaya, kata polis.
Selain itu, orang ramai juga boleh memainkan peranan dalam memerangi jenayah siber.
Mereka boleh menjadi sukarelawan dengan dua skim baru SPF – Cyber Guardians on Watch (CGW) dan Cyber Crime Prevention Ambassadors (CPA) – yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, semasa Seminar Pelan Kerja Polis (PWS) 2024 di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), pada 24 Mei.
PNSF Siber akan diaktifkan sebagai pengendali jenayah siber yang melaksanakan peranan seperti memburu ancaman dan gangguan penipuan.
Menurut Encik Heng, yang pernah bertugas sebagai pegawai polis selama 15 tahun, vokasi itu membolehkan SPF menggunakan dan memanfaatkan kepakaran NSF dengan lebih baik.
Para NSF boleh membantu dalam mengesan jenayah siber dan penipuan.
“Saya berharap pengalaman ini akan menjadi bermakna kepada NSF dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mengasah kepakaran mereka dalam bidang itu,” tambah beliau.
Butiran lanjut mengenai vokasi tersebut akan dikongsi pada Ogos.
Menurut SPF, ancaman siber sentiasa berkembang, canggih dan rumit.
Oleh itu, SPF bekerjasama dan menggalak masyarakat membina sebuah rangkaian untuk memerangi jenayah siber dengan berkesan. Usaha ini termasuk pengenalan CGW dan CPA.
Bagi mereka yang ingin lebih terlibat dalam membantu memerangi jenayah siber, program CPA Siber menyediakan ruang dan peluang kepada anggota masyarakat mengambil peranan lebih aktif untuk menjaga alam siber.
CPA Siber akan menjalani latihan formal mengenai landskap dinamik trend jenayah dalam talian terkini untuk melibatkan dan mendidik masyarakat mengenai langkah pencegahan jenayah siber.
CGW Siber pula adalah program dengan ahli boleh mendaftar untuk menerima kemas kini tentang trend penipuan dan jenayah siber terkini melalui aplikasi Police@SG, kemudian berkongsi maklumat tersebut dengan orang ramai.
Ahli CGW Siber juga akan dilatih untuk menjadi mata dan telinga di alam siber dan melaporkan aktiviti yang mencurigakan berkaitan dengan jenayah siber, kata SPF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg