Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeranan kaum Adam dalam semai keyakinan anak perempuan ceburi Stem
Kegagalan dalam peperiksaan mata pelajaran Matematik ketika berada di Darjah 4 boleh sahaja menggugat keyakinan Cik Siti Mariam Ahmad.
Namun, keteguhan yang disertai galakan bapanya ketika itu bukan sahaja membantu beliau bangkit daripada kegagalan, malah menjadi titik tolak kepada cara beliau melihat kegagalan dan membina kerjaya selama 34 tahun dalam bidang kejuruteraan, mikroelektronik, analisis data dan pengurusan rantaian bekalan.
“Saya sangka dia (bapa) akan marah saya, tetapi tidak. Dia duduk bersama saya dan bertanya dengan lembut, ‘Adakah kamu sudah menghafal jadual waktu kamu?’ Soalan yang ringkas, tetapi kesannya besar kerana dia tidak memarahi saya.
“Sebaliknya, ia menjadi dorongan untuk saya tidak takut dan memahami bahawa saya boleh mengatasi apa sahaja walaupun hampir gagal,” ujarnya ketika ditemu bual Berita Harian (BH).
Tindak balas bapanya mengajar Cik Siti Mariam bahawa kegagalan tidak semestinya menentukan hala tuju seseorang, sebaliknya boleh menjadi pengajaran untuk memperbaiki diri dan mencuba sekali lagi.
“Pada ketika itu, bapa saya benar-benar cuba menunjukkan kepada saya bahawa ini adalah satu kegagalan, tetapi kamu sentiasa boleh mencuba sedaya upaya lagi.
“Kemudian, kamu buat penambahbaikan, dan ternyata saya mendapat keputusan yang lebih baik pada akhir tahun.
“Ini memberi saya dorongan bahawa setiap kegagalan boleh membawa kepada kejayaan, asalkan kita belajar daripadanya dan memperbaiki diri,” cerita beliau.
Pegangan itu terus dibawa Cik Siti Mariam, 56 tahun, dalam membesarkan tiga anaknya yang kini berusia 23, 26 dan 30 tahun.
Bagi beliau, mengiktiraf usaha anak, meskipun hasilnya tidak selalu seperti yang diharapkan, penting dalam menyemai keyakinan dan mendorong mereka untuk terus berusaha.
Pengalaman Cik Siti Mariam sendiri tentang bagaimana sokongan seorang bapa dapat menjadi titik tolak dalam membina keyakinan seorang anak perempuan turut membentuk pendekatannya sebagai pembimbing.
Menerusi United Women Singapore (UWS), beliau telah membimbing lebih 50 wanita muda sepanjang empat tahun lalu, dengan berkongsi pengalaman sendiri bagi menggalakkan mereka menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).
Daripada sesi bimbingan itu, beliau mendapati sesetengah wanita muda yang dibimbingnya berasa suara mereka tidak dipandang serius, manakala yang lain sudah terpengaruh dengan tanggapan bahawa Stem adalah bidang ‘hanya untuk lelaki’.
“Kadangkala, wanita mungkin berasakan kata-kata mereka tidak diberi keutamaan yang sama. Dengan tanggapan yang sudah sedia ada ini, apatah lagi bagi wanita muda yang ingin menceburi Stem?
“Pemikiran bahawa bidang Stem ‘hanya untuk lelaki’ ini bergabung untuk menghalang mereka daripada menceburinya,” ujar Cik Siti Mariam.
Pengalaman tersebut, menurutnya, menunjukkan bahawa usaha merapatkan jurang penyertaan wanita dalam Stem tidak boleh digalas oleh wanita sahaja.
Pandangan itu turut dikongsi Ahli Lembaga Pengarah UWS, Cik Georgette Tan, yang menekankan pentingnya sokongan kaum Adam sebagai sekutu dalam membina keyakinan wanita muda dan membuka ruang kepada mereka untuk menceburi bidang Stem.
“Penting untuk anak-anak perempuan ini melihat sokongan daripada bapa, bapa saudara, mahupun datuk di rumah. Hakikatnya, kita tidak boleh melakukan ini sendirian,” tegas beliau.
Di STMicroelectronics, tempat Cik Siti Mariam bekerja, jurutera lelaki turut menyertai acara ‘STEM Fest’ anjuran UWS yang bertujuan menggalak wanita muda mempertimbangkan bidang Stem.
Bagi Cik Siti Mariam, penglibatan mereka menunjukkan bahawa usaha mewujudkan persekitaran yang mengalu-alukan wanita dalam bidang tersebut bukan tanggungjawab wanita semata-mata.
Beliau juga membantu menjalankan latihan untuk menepis sebarang tanggapan salah yang wujud dalam syarikatnya, mencerminkan kepercayaannya bahawa sokongan perlu melangkaui sekadar menggalak wanita muda untuk memulakan langkah dalam bidang Stem.
