Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih banyak keluarga hemat berbelanja, bijak tangani kos sara hidup
Lebih banyak keluarga hemat berbelanja, bijak tangani kos sara hidup
Jurulatih keluarga: Antara strategi keluarga termasuk kurangkan belanja tidak perlu, kongsi sumber dengan jiran dan tangguh pembelian besar demi pendidikan anak
Lebih banyak keluarga hemat berbelanja, bijak tangani kos sara hidup
Lebih banyak keluarga di Singapura kini berbelanja secara berhemat serta membuat penyesuaian dalam perbelanjaan bulanan mereka bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
Ini lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga sesetengah barangan dapur, bil api air dan minyak petrol di samping perbelanjaan penjagaan anak, menurut beberapa jurulatih keluarga dan pusat khidmat keluarga yang dihubungi Berita Minggu (BM).
Keadaan ini berlaku berikutan krisis Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran pada 28 Februari, serta penutupan Selat Hormuz pada 2 Mac, yang menjejas ekonomi sejagat serta harga minyak, sekali gus memberi tekanan kepada harga barangan.
Ketika dihubungi BM, beberapa jurulatih keluarga daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), AMP Singapura dan PPIS, berkata semakin banyak keluarga kini lebih peka tentang kewangan dan mengurangkan perbelanjaan tidak diperlukan serta menilai semula perbelanjaan besar bagi mengurangkan kesan kenaikan harga.
“Kami melihat keluarga membuat pelbagai penyesuaian sebagai tindak balas terhadap peningkatan kos, walaupun bagi banyak isi rumah berpendapatan rendah, mereka sudah pun berbelanja dengan sangat minimum sebelum kenaikan harga baru-baru ini.
“Sebaliknya, apa yang kami lihat ialah keluarga berusaha memperluas sumber yang terhad pada jangkauan lebih jauh.
“Contohnya, bergantung lebih kepada sokongan masyarakat, mendapatkan bantuan lebih awal untuk keperluan asas, menangguhkan pembelian jika boleh, atau mengambil kerja tambahan dan peluang pendapatan tidak formal untuk menguruskan perbelanjaan harian,” kongsi Ketua Pusat Khidmat Keluarga PPIS (Timur), Cik Noor Aaqilah Abdul Latiff, semasa dihubungi BM.
Satu trend yang semakin ketara merentasi pelbagai kumpulan pendapatan ialah ibu bapa sanggup mengorbankan keselesaan peribadi demi mengekalkan kestabilan dan peluang bagi anak mereka.
Beberapa keluarga yang ditinjau BM berkata mereka mengurangkan makan di luar, membawa bekal ke tempat kerja dan menilai semula perbelanjaan besar seperti pengangkutan peribadi demi mengekalkan pembayaran yuran tuisyen dan program pengayaan anak mereka.
Misalnya, pasangan suami isteri, Cik Noor Shaheerah Sudan, 40 tahun, dan Encik Muhammad Faizal Abdullah, 38 tahun, merancang menjual kereta dan beralih kepada motosikal supaya dapat terus menampung yuran tuisyen bulanan bernilai lebih $1,300 bagi tiga anak remaja mereka.
Sementara itu, Cik Siti Aini Ahad, seorang suri rumah berusia 38 tahun, berkata memandangkan beliau mempunyai anak kecil berumur dua tahun bermakna sebahagian besar perbelanjaannya adalah untuk keperluan anaknya itu seperti lampin.
Ini menyebabkan beliau bergantung sepenuhnya kepada promosi, menggunakan semula bahan keperluan untuk tempoh lebih lama dan menumpukan kepada penyediaan hidangan ringkas bagi mengelakkan pembaziran makanan.
Berdasarkan pemerhatian dan interaksi dengan keluarga, jurulatih keluarga daripada MSF, Cik Nurdalila Mohd Sinari, berkata huraian kreatif yang diambil segelintir keluarga untuk menghadapi kenaikan harga termasuk berkongsi sumber.
“Keluarga menjadi lebih kreatif dan berorientasikan masyarakat dengan berkongsi sumber, menukar barangan terpakai, serta membeli secara pukal barangan keperluan harian untuk memaksimumkan setiap dolar yang dibelanjakan,” jelas beliau.
Namun, antara pendekatan yang membantu keluarga yang pernah dibimbing Cik Nurdalila ialah memberi tumpuan kepada keperluan segera terlebih dahulu.
Menurutnya, banyak keluarga cuba mengawal setiap perbelanjaan, namun adalah lebih bermanfaat untuk memperuntukkan perbelanjaan asas seperti bil api air, makanan dan keperluan persekolahan terlebih dahulu sebelum merancang penggunaan baki bajet yang ada.
“Sebagai pelengkap, saya juga menggalakkan keluarga mengamalkan tabiat menyusun bajet yang lebih kecil dan mudah diurus, seperti menyediakan bajet mingguan dan menjejak perbelanjaan berulang.
“Langkah kecil ini dapat mengurangkan tekanan serta meningkatkan kejelasan dalam pengurusan kewangan,” ujar Cik Nurdalila.
Secara keseluruhan, jurulatih keluarga berkata keluarga boleh lebih bersedia menghadapi tekanan kewangan ini dengan menjejak perbelanjaan isi rumah secara konsisten, mengekalkan komunikasi terbuka dalam keluarga mengenai keadaan kewangan mereka, serta mendapatkan bantuan lebih awal.
Sejajar dengan ini, AMP menegaskan pengurusan belanjawan yang berkesan bukan sekadar mengurangkan perbelanjaan, sebaliknya keluarga perlu terlebih dahulu memahami ke mana wang mereka dibelanjakan sebelum mengenal pasti bahagian yang boleh disesuaikan.
“Menyusun bajet mungkin kedengaran mudah, namun banyak keluarga tidak menjejak ke mana wang mereka dibelanjakan.
“Oleh itu, mengenal pasti bahagian perbelanjaan yang boleh diselaraskan adalah penting bagi membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup dengan lebih baik,” kata Ketua Jabatan Perkhidmatan Keluarga AMP, Cik Nur Fariza Ahmad Razif.
Dalam pada itu, Cik Noor Aqilah turut menekankan tekanan kewangan berpanjangan boleh menjejas lebih daripada sekadar keadaan kewangan isi rumah.
Cik Noor Aaqilah berkata pencari nafkah mungkin mengalami keletihan dan tekanan emosi kerana perlu bekerja lebih lama atau mengambil pekerjaan tambahan bagi mengekalkan taraf hidup keluarga mereka.
“Dalam jangka panjang, tekanan kewangan yang berpanjangan boleh menjejas kesejahteraan emosi serta dinamika keluarga,” katanya.
Pada masa yang sama, banyak keluarga terus menunjukkan daya tahan dan kebijaksanaan dalam mengurus kehidupan meskipun berdepan cabaran.
Terdapat mereka yang memanfaatkan skim bantuan yang tersedia, termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), dermasiswa, program bantuan makanan dan bantuan berasaskan masyarakat.
Namun, pakar turut menegaskan berdikari tidak bermakna keluarga perlu menghadapi kesukaran secara bersendirian.
“Mengetahui bila untuk mendapatkan bantuan juga merupakan satu kekuatan,” kata Cik Nurdalila sambil menambah sokongan masyarakat dan program berteraskan keluarga diwujudkan bagi melengkapi usaha sesebuah keluarga itu sendiri ketika melalui tempoh sukar.
Sedang tekanan kos sara hidup terus berlarutan, banyak keluarga masih mengharungi pelbagai pengorbanan secara senyap demi mengekalkan kestabilan, maruah dan peluang lebih baik buat generasi akan datang.
“
“Kami melihat keluarga membuat pelbagai penyesuaian sebagai tindak balas terhadap peningkatan kos, walaupun bagi banyak isi rumah berpendapatan rendah, mereka sudah pun berbelanja dengan sangat minimum sebelum kenaikan harga baru-baru ini.”“
“Menyusun bajet mungkin kedengaran mudah, namun banyak keluarga tidak menjejak ke mana wang mereka dibelanjakan. Oleh itu, mengenal pasti bahagian perbelanjaan yang boleh diselaraskan adalah penting bagi membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup dengan lebih baik.”“
“Keluarga menjadi lebih kreatif dan berorientasikan masyarakat dengan berkongsi sumber, menukar barangan terpakai, serta membeli secara pukal barangan keperluan harian untuk memaksimumkan setiap dolar yang dibelanjakan.”