Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis lapor kes jangkitan virus ternakan Shamonda kepada manusia
Perancis lapor kes jangkitan virus ternakan Shamonda kepada manusia
PARIS: Perancis melaporkan kes jangkitan virus Shamonda pertama dalam kalangan manusia pada 22 Oktober.
Penyakit yang biasanya ditemui pada haiwan ternakan itu melibatkan seorang pesakit yang kemudian meninggal dunia.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa pada peringkat ini, tiada risiko terhadap orang awam.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), virus Shamonda disebarkan melalui gigitan agas dan lazimnya ditemui pada lembu; ia juga pernah dikesan pada kuda, alpaka, biri-biri, dan kambing.
Dalam satu kenyataan, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) yang berpangkalan di Stockholm menyatakan bahawa pihaknya sedang memantau keadaan tersebut dengan teliti, susulan pengumuman pihak berkuasa Perancis mengenai kes jangkitan virus Shamonda pertama melibatkan manusia.
“ECDC sedang berhubung dengan pihak berkuasa Perancis serta rakan-rakan kongsi Eropah untuk menyiasat kemungkinan implikasi terhadap kesihatan awam.”
Menurut pengumuman pihak Perancis, hipotesis utama ialah pesakit tersebut dijangkiti di bahagian timur Perancis, tempat virus itu telah tersebar dalam kalangan haiwan pada musim bunga dan musim panas ini.
“Berdasarkan pengetahuan sedia ada mengenai virus ini, tiada risiko kesihatan terhadap orang awam dikenal pasti setakat ini,” tambah kenyataan itu.
ECDC menyatakan bahawa pesakit tersebut meninggal dunia pada awal Oktober, dan menambah bahawa mangsa sedang menerima rawatan bagi penyakit serius yang menyebabkan beliau lebih mudah dijangkiti berbanding orang awam.
“Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada virus tersebut menjadi punca atau menyumbang kepada kematian pesakit, serta bagaimana jangkitan itu berlaku,” katanya.
Menurut WOAH, pada masa ini tiada vaksin yang tersedia secara komersial untuk melawan virus Shamonda. – Reuters.