Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Percubaan TTSH, Institut Neurosains, beri harapan pesakit lumpuh kembali ‘berjalan’

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Percubaan TTSH, Institut Neurosains, beri harapan pesakit lumpuh kembali ‘berjalan’

Peserta percubaan terima bantuan alat elektrod yang dipasang di tulang belakang bagi membolehkan mereka menggerakkan bahagian tubuh yang hilang keupayaan
Nov 29, 2023 | 05:30 AM



Dua lelaki lumpuh dari bawah dada sejak sekurang-kurangnya lima tahun lalu dek kemalangan, kini berupaya ‘berjalan’ selepas menjalani satu percubaan bermatlamat mengembalikan fungsi pergerakan kepada pesakit yang hilang sepenuhnya fungsi pergerakan ekoran kecederaan pada saraf tunjang (SCI).

Encik Sam Subian, 49 tahun, dan Encik Asyraf Ghazali, 28 tahun, telah menyertai percubaan dijalankan bersama Institut Neurosains Kebangsaan (NNI), Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A * STAR) itu sejak awal 2023.


Kini, mereka berupaya menggerakkan jari kaki, buku lali, serta bangun dari kerusi dan berjalan dengan penyeliaan dengan bantuan satu implan yang dipasang di tulang belakang.

Percubaan dinamakan Pemulihan Fungsi Rehabilitasi menerusi Perangsang Epidural Tulang Belakang atau ‘Restores’, mula merekrut peserta sejak Disember 2022.







Ia melibatkan penggunaan sejenis alat elektrod – atau pengalir elektrik – yang dipasang di permukaan tulang belakang peserta menerusi pembedahan yang kemudian diikuti rawatan pemulihan berlangsung beberapa bulan.

Saiz alat itu, persis jari kecil, berfungsi memberangsangkan isyarat daripada otak dan menyalurkannya kepada saraf tunjang pesakit supaya mereka dapat menggerakkan bahagian tubuh yang hilang keupayaan itu.







Hasil fasa pertama percubaan itu – yang disokong geran Majlis Kajian Perubatan Nasional (NMRC) dan Program Inovasi Kesihatan Ng Teng Fong – diumumkan satu pasukan terdiri daripada pakar TTSH, NNI dan A * STAR dalam satu sidang akhbar pada Selasa.

“Saya seolah tidak percaya pertama kali saya menggerakkan jari kaki saya pada awal fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan itu,” kata Encik Asyraf, seorang penasihat kewangan yang hadir pada sidang itu.


Beliau, yang sudah berumahtangga, terbabit dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan motosikal sewaktu menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada 2018. Beliau menyertai percubaan itu pada Januari 2023.


“Apabila doktor sebelum ini memberitahu bahawa saya sudah tidak boleh berjalan, seluruh zaman belia saya seolah telah dirampas,” keluhnya ketika ditemui.


“Namun apabila saya dapat tahu tentang percubaan ini awal tahun ini, tanpa ragu-ragu saya ucapkan ‘ya’ kepada doktor, sebab saya mahu lihat perubahan dalam hidup saya.”


Encik Asyraf, peserta kedua percubaan itu, yang lumpuh selama lima tahun, mula berjalan dengan bantuan penyeliaan pada Ogos.

Peserta pertama, Encik Sam, yang lumpuh selama enam tahun selepas terjatuh ketika mengendalikan seekor kuda, menyertai percubaan itu pada Disember 2022 dan mula berjalan dengan penyeliaan pada September 2023.







Percubaan Restores itu melibatkan peserta yang diklasifikasikan gred Asia ‘A’ iaitu pesakit yang mengalami kehilangan keupayaan dan deria di bawah bahagian tubuh yang mengalami kecederaan.

Antara kriteria yang ditetapkan pasukan itu ialah jenis kecederaan yang dialami peserta, dan pembedahan yang pernah dilalui terdahulu yang sepatutnya tidak akan menimbulkan sebarang komplikasi apabila menjalankan pembedahan ini, kata penyelidik utama percubaan Restores, Dr Wan Kai Rui.


Peserta juga perlu sedia menjalani proses pemulihan intensif dan antara lain mempunyai komitmen untuk menghadiri latihan pemulihan itu, selain mempunyai sokongan yang baik daripada keluarga, tambah Profesor Madya Dr Wee Seng Kwee, ketua pakar fisioterapi kanan, TTSH.


Percubaan itu bermula dengan proses prahabilitasi – pesakit diperlukan jalani terapi dua kali seminggu dalam tempoh sebulan melibatkan sut bantuan pergerakan atau ‘exoskeleton’, dan fisioterapi.

Kemudian pesakit akan jalani pembedahan bagi memasukkan alat elektrod itu di tulang belakang mereka.







Selepas berehat sebulan pasca pembedahan, pesakit akan jalani latihan pemulihan pergerakan sekitar lima hingga tujuh bulan, melibatkan latihan menguatkan otot, pergerakan asas seperti duduk dan berdiri, dan berjalan.

Semasa menjalankan latihan pemulihan itu, para doktor akan hidupkan alat elektrod itu menerusi satu peranti digital berbentuk tablet, yang boleh mengubah kuasa alat itu menurut kesesuaian pesakit berdasarkan tugas atau pergerakan yang hendak dilakukan mereka.

Sedang itu berlaku, peranti itu akan menjejak pergerakan peserta menerusi kaedah komputer dan akan mempertingkat lagi kaedah itu menerusi teknologi kecerdasan buatan atau AI.







Kecederaan SCI melibatkan 40 hingga 80 kes dalam setiap satu juta orang dewasa muda seluruh dunia dan NNI dan TTSH menerima sekitar 100 kes SCI baru setiap tahun di sini, kata Dr Wan, yang juga pakar runding Jabatan Pembedahan otak, NNI.


Seramai 94.4 peratus pesakit SCI tidak akan meraih sebarang perubahan neurologikal lima tahun selepas ditimpa kecederaan itu.


Sementara itu, kaedah rawatan serupa ini telah dijalankan di luar negeri khususnya, di Amerika Syarikat dan di Switzerland yang pernah diterbit dalam jurnal sains, namun terdapat beberapa negara lain yang telah berbuat demikian tetapi belum menerbitkan keputusan mereka, katanya.


Dr Wan Kai Rui, penyelidik utama percubaan Restores berkata, matlamat lanjut pasukannya adalah untuk berusaha mencapai pemulihan deria dan beliau sedang bekerjasama dengan beberapa rakan industri untuk berbuat demikian.

“Pada tahap ini kami telah mencapai pemulihan pergerakan, namun pemulihan deria juga penting sebab meskipun mereka (peserta) boleh berjalan, ia tidak selamat sepenuh bagi mereka kerana mereka tidak berupaya rasa lantai dan permukaannya semasa berjalan,” katanya.

Dr Wan juga berkata, pasukannya bakal menerima seorang lagi peserta wanita dalam masa kelak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >