Sebuah seminar yang mendedahkan dan mengupas ciri-ciri akidah sesat serta amalan khurafat, termasuk kejadian sebenar, akan dianjurkan oleh Perdaus.
Bertajuk Jejak Noktah Hitam, seminar itu akan memperjelas akidah Islam yang sebenar dengan mengemukakan dalil daripada Al-Quran, hadis dan pendapat ulama.
Ia akan diadakan pada 20 Oktober dari 9 pagi hingga 2 petang di Pusat Perdaus iServe, di Blok 361 Bukit Batok Street 31 #01-467. Bayarannya $50 seorang.
Seminar itu akan dikendalikan oleh naib setiausaha kehormat, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang, menurut Perdaus dalam satu kenyataan.
Ustaz Bahrul-Ulum akan juga berkongsi kajian kes dan kisah sebenar melalui pengalaman dan kajian peribadi beliau.
“Saya sudah terlibat dalam bidang ini selama 30 tahun, kerana minat saya dalam bidang ini, yang membawa saya mengkaji tentang pengajaran sesat, bomoh dan silat kebatinan, yang ada juga tersebar di Malaysia dan Indonesia,” ujarnya, yang pernah mengendalikan kursus tentang ruqyah, iaitu rawatan menggunakan ayat Al-Qur’an serta doa.
Seminar itu menggunakan buku Noktah Hitam: Ajaran Sesat di Singapura, tulisan Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan, sebagai rujukan. Buku itu mendokumentasi sejarah dan perkembangan ajaran sesat sebagai bahan pendidikan buat masyarakat menapis pengajaran tidak sesuai sebagai Muslim.
Ia diterbitkan pada 2001 hasil kerjasama Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Perdaus.
Menurut Ustaz Dr Muhammad Haniff, ia juga ditulis untuk mendokumentasikan usaha pembasmian ajaran sesat oleh Allahyarham Ustaz Embek Ali.
Ustaz Dr Muhammad Haniff seorang zamil penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dan juga pembangun dan penceramah siri ‘Tafsir Kontemporari’ di Perdaus.
Allahyarham Ustaz Embek antara pemimpin masyarakat yang membanteras ajaran sesat di Singapura pada 1960-an hingga 1990-an melalui Perdaus.
Menurut Perdaus, walaupun buku itu diterbitkan lebih 20 tahun lalu ia tetap relevan kerana ia membincangkan kandungan ajaran sesat, yang kebiasaannya hampir sama dalam semua ajaran sesat, walaupun nama kumpulan atau ketuanya berbeza.
“Oleh sebab itu, buku ini masih relevan kerana ia menjadi panduan bagi masyarakat untuk mencegah ajaran sesat yang masih tumbuh dek cendawan selepas hujan,” ujar Ustaz Bahrul-Ulum.
Ustaz Dr Muhammad Haniff berkata: “Walaupun dari segi pengajaran sesat tradisional tidak banyak berubah, suatu perubahan besar ialah kemunculan kumpulan seperti Jemaah Islamiah (JI) dan IS sebagai ajaran sesat yang amat berbahaya dan mengancam keselamatan negara.”
Harapan Ustaz Bahrul-Ulum tentang seminar ini ialah ia dapat memperkasa peserta supaya mereka dapat menilai sesuatu ajaran sama ada ia benar atau sesat.
“Saya harap ia menjadi benteng kukuh bagi diri peserta dan dapat membendung akidah mereka daripada unsur-unsur syirik dan sesat,” ujarnya.
Oleh kerana seminar ini dianggap sebagai pengantar dan mukadimah, Ustaz Bahrul-Ulum cukup teruja dengan pelan selanjutnya.
“Buku Noktah Hitam sendiri ini lebih 500 muka surat. Jika ada sambutan, mungkin saya kupas satu persatu dalam kursus khas dengan lebih terperinci,” kata beliu.
Untuk pertanyaan, sila hubungi Ustaz Raja di 8127-3729. Sila lungsur ke swiy.co/alimaqidah untuk mendaftar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg