Salah satu peningkatan yang dilaksanakan oleh Perdaus dalam menerima zakat sumbangan masyarakat ialah dengan membangunkan kurikulum literasi Al-Qur’an yang lebih tersusun dan berkesan.
Peningkatan kurikulum ini bermula sejak kira-kira dua tahun dahulu, dengan terbentuknya unit baru, kurikulum dan piawaian mutu, di bawah jabatan pendidikan Islamnya, Imad Perdaus.
Ketua Imad Perdaus, Ustazah Farhana Abdul Hamid, menjelaskan kepentingan membentuk kurikulum baru ini dalam mengajar abjad Arab, di mana landskap pendidikan literasi Al-Qur’an di Singapura dan Malaysia sering menggunakan sistem yang lebih dikenali seperti sistem Iqra’, Tilawati, Barqi, dan selanjutnya.
“Kami dapati kaedah konvensional dalam mendidik pelajar mengenal huruf dan makhraj abjad Arab mencabar. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai keperluan pelajar yang berlainan. Dalam pengalaman kami, kemajuan pelajar dalam kelancaran mengaji tidak begitu memuaskan. Oleh itu, kami membangunkan Inspire Me Qur’an (IMQ), dengan pendekatan yang cukup segar,” jelas Ustazah Farhana.
Menurutnya, keutamaan diberikan kepada memastikan pelajar merasakan pembelajaran huruf Arab sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan menarik. Justeru, IMQ memperkenalkan huruf-huruf bukan mengikut urutan abjad tradisional, sebaliknya berdasarkan tahap kemudahan sebutan yang sesuai untuk anak-anak kecil.
Setiap huruf dan makhraj (tempat keluar suara) pula dikaitkan dengan ilustrasi atau senario yang sering dialami kanak-kanak. Contohnya, huruf ‘lam’ yang berbaris atas berbunyi “la” dan dikaitkan dengan nyanyian “Lalala” agar mudah diingati dan kemudian disebut secara tepat.
IMQ dibangunkan oleh tenaga mengajar dan kurikulum Perdaus, Ustazah Azlinah Abdul Aziz. Ia kini dilancarkan pada peringkat tadika, rendah dan menengah Madrasah Perdaus, madrasah mingguan Perdaus di Bedok dan Bukit Batok.
Walaupun program perintis ini agak baru dan masih terhad dalam jangkauannya kepada setiap peringkat pelajar di Imad Perdaus, IMQ sudah pun menunjukkan tanda-tanda potensi untuk cemerlang.
“Asatizah telah menyatakan bahawa kemajuan pelajar kini lebih baik, berbanding kaedah sebelumnya. IMQ juga lebih diterima oleh pelajar, termasuk beberapa pelajar kami yang mempunyai autisme ringan. Malah, asatizah kami memberitahu mereka menggunakan kaedah IMQ di kelas mengaji di luar Imad Perdaus,” ujar Ustazah Farhana.
Sebagai sebuah badan amal dan dakwah yang sederhana yang memberi tumpuan kepada pendidikan, Perdaus menerima derma dan zakat daripada masyarakat. Zakat pula diperuntukkan kepada beberapa golongan asnaf yang berkelayakan seperti Fi Sabilillah, Gharimin, ‘Amil, Fakir dan Riqab.
SEKILAS
Cara Menderma
1. Anda boleh menderma melalui PayNow di S64SS0031JQRB (sila WhatsApp ke talian 8127-3729 untuk resit).
2. Untuk menderma melalui dalam talian, anda juga boleh ke https://swiy.co/blessedbonds
Cara Tunai Zakat Harta
1. Melalui dalam talian di https://swiy.io/pdszkt
2. Di pejabat Imad Perdaus dengan membuat janji temu dahulu:
– Bedok: Blok 125, Bedok North Road, #01-115, Singapura 460125. Telefon: 6513 2315.
– Bukit Batok: Blok 364, Bukit Batok Street 31, #01-259, Singapura 650264. Telefon: 6513 2300.
3. Melalui khidmat “Amil Mobile” iaitu khidmat bergerak bagi memungut bayaran zakat di rumah bagi jumlah $500 ke atas, bagi kemudahan penyumbang zakat atau penderma. Sila buat janji temu dengan Ustaz Raja di talian 8127-3729.
* Ikuti perkembangan kempen Blessed Bonds di Facebook.com/perdaus.org; Instagram.com/perdaussg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg