Perdaus kini dipimpin presiden baru, Encik Muhammad Hafiz Noorahman, yang akan menyandang jawatan itu sehingga 2025, menyusuli Mesyuarat Agung Tahunan Perdaus ke-59 pada 4 November.
Encik Hafiz, 41 tahun, tidak asing lagi dengan Perdaus. Sebelum ini, beliau menyandang jawatan Naib Presiden II sepanjang penggal 2021-2023, dan mula berkhidmat di persatuan itu sebagai seorang sukarelawan ketika berusia 18 tahun.
Di samping itu, Encik Hafiz berkhidmat di Perdaus dalam pelbagai jawatan sepanjang dua dekad lalu, termasuk menyertai pelbagai misi kemanusiaan di bawah badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief seperti usaha bantuan banjir di Johor dan misi bantuan tsunami di Banda Aceh.
Encik Hafiz juga mempunyai pengalaman luas dalam usaha mendampingi belia. Beliau membantu dalam pembangunan pelajar di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah selama lima tahun, membantu memacu program pembangunan watak dan kepimpinan.
Beliau juga membimbing pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di ruang belia Yayasan Mendaki di ITE Kolej West dan ITE Kolej Central selama empat tahun, membantu pelajar menemui potensi mereka dan menyediakan mereka untuk cabaran masa depan.
Pada masa ini, Encik Hafiz turut menyandang jawatan Anggota Majlis di Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) bagi penggal 2022-2024, serta berkhidmat sebagai Perunding Perkhidmatan Kewangan di MFA Group, membantu individu dan keluarga mendapat perlindungan melalui pelaburan yang baik.
Mengulas tentang jawatan barunya, Encik Hafiz berkata: “Pelantikan ini amat merendahkan hati saya, seorang sukarelawan Perdaus yang berkhidmat sejak sekian lama, dan amat mengharukan memandangkan ia menjelang ulang tahun ke-60 Perdaus pada 2024.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan jawatankuasa, pengurusan dan kakitangan Perdaus untuk membantu memajukan misi Perdaus bagi membangunkan pembuat perubahan untuk masyarakat.”
Selain Encik Hafiz, jawatankuasa Perdaus bagi penggal 2023-2025 juga termasuk Naib Presiden I, Ustaz Mohammad Taufiq Mohamed Ismail; Naib Presiden II, Encik Muhammad Hairudin Abdul Hamid; Setiausaha Kehormat, Cik Nazlin Mustaffa; Penolong Setiausaha I, Encik Mohamed Jauhari Mohamed Arsad; Penolong Setiausaha II, Ustazah Zarina Begam Abdul Razak; Bendahari Kehormat, Encik Mohd Azhar Khalid; Penolong Bendahari, Encik Mohammed Farhan Mohammed Tayib; dan enam Anggota Majlis — Encik Khidhir Mohd Razali, Encik Muhammad Hafiz Osni, Cik Nur Arina Mohd Adom, Cik Nur Zakiah Sidek, Cik Rohaya Abdul Rasid, dan Encik Safarin Amerudin.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu, Perdaus menyatakan barisan pemimpin barunya mempunyai pelbagai kepakaran dan pengalaman daripada sektor swasta, masyarakat dan awam.
Ditubuhkan pada 1964, Perdaus, sebuah pertubuhan kebajikan sukarela (VWO) Muslim, mempunyai sejarah hampir enam dekad dalam menyediakan perkhidmatan pembangunan pendidikan dan kepimpinan kepada masyarakat. Ia didaftar di bawah Akta Pertubuhan dan Akta Amal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg