Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perdaya mangsa sebagai ‘perekrut’: Lelaki dijel tipu lebih $32,000

Dec 30, 2024 | 8:12 PM
Pada 30 Disember, Lim Yi Xiang, 29 tahun, dijatuhi hukuman penjara satu tahun dua minggu selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu melibatkan $31,570.
Pada 30 Disember, Lim Yi Xiang, 29 tahun, dijatuhi hukuman penjara satu tahun dua minggu selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu melibatkan $31,570. - Foto PIXABAY

Seorang lelaki telah menipu dua individu lebih $32,000 dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa dia sedang membantu merekrut kakitangan dan mendapatkan geran pemerintah.

Secara berasingan, Lim Yi Xiang, 29 tahun, juga telah menipu dua individu lain sebanyak $680 dalam urusan jual beli basikal elektrik dan topi keledar menerusi platform dalam talian Carousell.

Lim ditangkap pada 2022 tetapi melarikan diri pada 2023, sebelum ditangkap semula pada 25 Jun.

Pada 30 Disember, Lim, dijatuhi hukuman penjara satu tahun dua minggu selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu melibatkan $31,570.

Jumlah baki yang ditipu telah dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan, lapor The Straits Times (ST).

Salah seorang mangsa Lim, dikenali sebagai V1 dalam dokumen mahkamah, telah ditipu $31,020 secara keseluruhan.

Pada 2019, V1, pengarah Acteco Trading menyiarkan iklan dalam talian untuk mencari empat pekerja, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Teo Siu Ming.

Lim, ketika itu merupakan subejen jualan bagi Weistum Advisory, menghubungi V1 dan menawarkan untuk membantu beliau merekrut kakitangan dan mendapatkan dua geran pemerintah – Program Percubaan Kerjaya (Career Trial) dan Program Penempatan Kerja dan Latihan Yang Dipertingkat (P-MAX).

Lim berkata untuk mendapatkan geran Program Percubaan Kerjaya berjumlah $28,800, V1 hanya perlu menyemak bahan kursus yang disediakan oleh Weistum, membayar $4,640 untuk perekrutan dan 30 peratus daripada geran tersebut kepada Weistum.

Selepas V1 bersetuju, Lim memberinya kontrak dengan tandatangan pengarah Weistum, yang telah dipalsukan dengan menggantikan nombor akaun syarikat dengan nombor peribadinya.

V1 menandatangani kontrak itu dan memindahkan $12,590 kepada Lim antara November 2019 dengan Mac 2020, bersama dua pembayaran tunai berasingan berjumlah $690.

Bagi geran P-MAX, Lim mendakwa Acteco akan menerima geran $30,000 selepas menghantar kakitangannya untuk menjalani kursus dan meminta $17,740 bagi ‘khidmatnya’.

V1 memindahkan $14,940 kepada Lim dan membayar $2,800 secara tunai.

Apabila perkhidmatan yang dijanjikan tidak diterima, V1 menghubungi Weistum pada 7 Januari 2021 dan diberitahu bahawa yuran sebenar Program Percubaan Kerjaya hanya $2,880 semasa permohonan dan $2,880 lagi selepas kelulusan, serta tiada caj dikenakan bagi P-MAX kata DPP Teo.

Menggunakan cara penipuan yang sama, Lim berjaya menipu mangsa lain, V2, sebanyak $1,080.

Pengarah Weistum membuat laporan polis pada 27 Januari 2021.

Lim tidak memulangkan wang V1 dan V4, dan dokumen mahkamah tidak memperincikan jika dia memulangkan wang V2 dan V3.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg