Topik diikuti
Pergi ke BHkuPergas: Bincang terbuka isu pengantunan seksual, penderaan rohani demi lindungi kanak-kanak
Kes gangguan seksual oleh individu yang menyamar sebagai guru agama terhadap dua beradik bawah umur pada 17 Ogos lalu menegaskan keperluan untuk masyarakat berbincang secara terbuka mengenai pengantunan seksual dan penderaan rohani.
Demikian dikongsi Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dalam satu kenyataan di Facebook pada 20 Ogos.
Pergas menjelaskan bahawa penderaan rohani berlaku apabila seseorang menggunakan autoriti agama, bahasa, pegangan atau hubungan keagamaan untuk memanipulasi, mengeksploitasi, mengintimidasi atau membungkam orang lain.
Penderaan pengantunan seksual biasanya berlaku secara beransur-ansur melalui ungkapan kasih sayang, pemberian hadiah dan kebergantungan emosi yang membina kepercayaan kanak-kanak sebelum batasan dilanggar, tambahnya.
“Apabila kita gagal mengenali corak-corak ini, menjadi semakin sukar untuk kita menyedari apabila batasan tersebut mula dikaburkan,” kata Pergas.
Badan agama itu berkata demikian susulan seorang ‘pempengaruh agama’ yang dikenakan hukuman penjara 27 tahun dan 10 bulan, serta 24 sebatan, pada 17 Ogos kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki bawah umur antara 2023 dengan 2024.
Pergas menegaskan bahawa individu tersebut tidak mempunyai sebarang kedudukan rasmi sebagai asatizah – dia tidak diiktiraf dan tidak dibenarkan untuk mengajar.
Ia menyifatkan kes tersebut sebagai “satu pengkhianatan yang amat berat terhadap para mangsa, dan terhadap kepercayaan masyarakat kita kepada sesiapa sahaja yang mendakwa memegang tanggungjawab sebagai pembimbing agama.”
“Pergas amat terganggu dengan kes terkini yang melibatkan seorang pelaku yang menyamar sebagai guru agama.
“Kami menyampaikan simpati yang mendalam kepada para mangsa serta keluarga mereka, dan kami menghargai keberanian yang diperlukan untuk membolehkan perkara ini terdedah,” kongsi Pergas.
Pergas turut menggesa orang ramai agar menghormati privasi, maruah, serta keluarga mereka tanpa sebarang spekulasi.
Sebagai badan profesional yang mewakili asatizah di Singapura, Pergas menambah bahawa ia menetapkan standard tinggi untuk pihak mereka dan anggotanya demi melindungi anak-anak yang diamanahkan kepada pendidik agama, serta memberi keyakinan kepada ibu bapa.
“Autoriti agama sekali-kali tidak boleh dijadikan pelindung bagi sebarang bentuk penderaan.
“Ruang keagamaan seperti masjid dan madrasah sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat untuk anak-anak kita, bukannya tempat yang paling berisiko,” tambah Pergas.
Dengan pengetahuan agama kini semakin mudah dicapai secara dalam talian, pembelajaran atau bimbingan agama kini boleh didapatkan dengan mudah, sering kali daripada mereka yang langsung tidak mempunyai pengiktirafan rasmi.
Namun, Pergas memberikan peringatan bahawa walaupun kemudahan tersebut mendekatkan ramai orang dengan agama, petah bercakap tidak boleh lagi dikelirukan sebagai autoriti – sama ada daripada suara yang meyakinkan di alam maya, mahupun mereka yang kelihatan begitu yakin dan berilmu ketika bersemuka.
“Ia menjadi tanggungjawab bersama ibu bapa, pendidik, dan masyarakat untuk membina pengetahuan dalam membezakan antara akses dengan ilmu, kemesraan dengan autoriti, serta populariti dengan kelayakan,” ujar Pergas.
Komitmen Pergas adalah untuk memperkukuh standard perlindungan dan latihan perlindungan kanak-kanak dalam pengiktirafan asatizah, tambahnya.
Selain itu, mereka akan bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan pihak pengurusan masjid bagi memperketat pengawasan guru agama dan menyediakan saluran aduan yang jelas.
Mereka juga akan memberikan bimbingan berterusan kepada ibu bapa dan guru, serta menawarkan ruang sokongan rohani dan emosi menerusi platform Asatizah Solace Care.
Pergas juga menasihati ibu bapa dan penjaga untuk menyemak pengiktirafan guru melalui Direktori Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) berbanding bergantung pada media sosial atau reputasi semata-mata, sebelum menyerahkan anak mereka kepada guru atau mentor agama.
Mereka juga perlu berwaspada terhadap individu berprofil awam yang menggunakan pengaruh media sosial untuk mendekati kanak-kanak tanpa pengawasan.
Persekitaran pembelajaran yang terbuka juga harus dipilih dan dipantau dengan baik, serta sentiasa berbual secara kerap dengan anak bagi memastikan mereka berani bersuara tentang sebarang perkara yang membuatkan mereka tidak selesa.
“Autoriti agama adalah satu amanah, dan melindungi golongan yang mudah terdedah kepada bahaya, terutamanya anak-anak kita, merupakan sebahagian daripada amanah tersebut.
“Perkara ini sepatutnya mendorong renungan mendalam tentang bagaimana kepercayaan agama dibina, bagaimana autoriti dijalankan, bagaimana batasan dipelihara, dan bagaimana sistem kita boleh diperkukuh.
“Kepercayaan tidak boleh sekali-kali disalah ertikan sebagai kekebalan daripada semakan,” kata Pergas.
Tambahnya, tanggungjawab masyarakat adalah untuk mewujudkan persekitaran selamat yang menghormati mangsa, memperkasakan keberanian bersuara, dan memastikan kebertanggungjawaban para pemimpin agama.
Pergas juga mengalu-alukan masyarakat untuk terus menyokong institusi keagamaan dan masjid bagi memastikan ruang tersebut kekal selamat untuk semua.
“Kami menggalakkan sesiapa sahaja yang mempunyai keraguan tentang tingkah laku seseorang guru agama, sama ada diiktiraf atau tidak, untuk tampil dan menghubungi MUIS atau Pergas secara terus.
“Bersuara bukanlah satu pengkhianatan terhadap kepercayaan. Ia adalah cara kepercayaan itu dilindungi,” ujar Pergas.
