Umumnya, peranan asatizah yang mendidik, mengasuh dan menyampaikan ilmu, sering kali terlepas pandang di mata masyarakat.
Jasa mereka membekalkan ilmu demi membangun akhlak dan jiwa Muslimin dan Muslimah amatlah besar.
Tanpa jemu, golongan asatizah gigih membimbing pelajar daripada yang kecil hingga dewasa mengenal huruf dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
Mereka banyak mengorbankan masa peribadi untuk menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat dan juga syarahan, atau di mana-mana sahaja khidmat mereka diperlukan.
Semakin golongan asatizah ini ditelan usia, semakin terbatas langkah mereka untuk menyebarkan ilmu.
Masalah kesihatan yang menjejas tubuh turut menjadi penghalang bagi mereka kekal aktif.
Namun, pernahkah kita bertanya, siapakah pula yang menjaga kebajikan guru-guru agama ini pada saat usia mereka semakin lanjut?
Mereka mendidik, membimbing, dan membentuk generasi demi generasi.
Namun, di sebalik pengorbanan mereka, pernahkah kita bertanya siapakah yang memastikan kebajikan mereka terjaga?
Salah seorang tokoh yang telah menumpukan hidupnya untuk menyebar ilmu dan berkhidmat kepada masyarakat ialah Ustaz Mokson Mahori, 74 tahun.
Lulusan daripada Universiti Al-Azhar, Mesir itu mula berkhidmat sebagai guru di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Ustaz Mokson kemudian menyandang jawatan mudir madrasah tersebut.
Atas didikan dan bimbingannya, ribuan pelajar meraih ilmu yang bermanfaat dan menerapkannya ke dalam kehidupan harian mereka.
Ustaz Mokson juga berkhidmat sebagai naib kadi.
Beliau sering menekankan kepada bakal mempelai tentang ilmu agama dan bersiap siaga untuk menjadi contoh teladan kepada anak-anak.
Ia adalah asas dalam membina rumah tangga yang bahagia dan sejahtera.
Namun, peranan beliau tidak berhenti di situ.
Ustaz Mokson turut memainkan peranan penting di dalam Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) satu ketika dahulu.
Beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi Pergas dan memperjuangkan nasib, kebajikan dan pembangunan profesional asatizah.
Ustaz Mokson percaya bahawa asatizah harus sentiasa ‘dinaik taraf’ atau bergerak ke depan.
Ini demi memastikan generasi muda terus mendapat sumber rujukan yang boleh dipercayai.
Walaupun sudah bersara, Ustaz Mokson masih terus menyumbang sebagai penasihat di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP). Ini bagi memastikan masyarakat Islam sentiasa mendapat bimbingan agama bermutu tinggi.
Bagi Ustaz Mokson, Pergas bukan hanya sebuah pertubuhan, bahkan badan yang menjaga kebajikan dan kemaslahatan mereka yang telah lama berkhidmat kepada ummah.
Beliau yakin dengan menyokong Pergas, bererti seseorang itu mampu meneruskan warisan ilmu agama, menjaga golongan asatizah yang telah banyak berjasa, dan memastikan Islam terus berkembang dalam masyarakat.
Tugas asatizah adalah membimbing daripada generasi kepada generasi secara berterusan tentang Islam.
Pergas berperanan menjaga warisan ini.
Kebajikan mereka harus terjaga di samping menggilap potensi asatizah agar mereka dapat terus berkhidmat dengan cemerlang.
Demi memastikan kebajikan asatizah yang uzur serta lanjut usia terjaga serta pembangunan profesional mereka terpelihara, sudah pasti ia memerlukan pembiayaan.
Oleh yang demikian, Pergas menyeru agar masyarakat Islam di sini, bersedia menyalurkan zakat mereka kepada pertubuhan tersebut.
Penyaluran zakat boleh dilakukan melalui:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa Maybank 04144000871.
2. PayNow ke UEN: S57SS0012G871.
3. Untuk pembayaran secara dalam talian, sila layari laman web, pergas.org.sg/product/zakat
4. Melalui wang tunai, NETS atau cek di kaunter zakat di Pergas.
* Pergas terletak di Wisma Indah, 448 Changi Road, #03-01, Singapura 419975. Kunjungi pejabatnya dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang, atau Sabtu dan Ahad dari 9 pagi hingga 9 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg