Apabila menyedari beliau sebenarnya seorang anak angkat pada usia 14 tahun, Ustazah Iffah Diyanah Jamil dirundung kesedihan, kekeliruan, dan kehilangan identiti.
Ia mencetuskan pergolakan emosi mendalam dan rasa terpinggir, sekali gus menjejas hubungan beliau dengan ibu bapa angkatnya.
Dengan sokongan kesihatan mental terhad ketika itu, lulusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu mengalihkan perhatian kepada pelajaran, sukan, dan kerja sukarela sebagai cara menangani emosinya.
“Saya menyalurkan kebanyakan tenaga negatif itu ke dalam pelajaran, kerja sukarela dan juga tumpukan perhatian kepada sukan. Meskipun prestasi saya di sekolah jatuh, saya bertekad memastikan ia tidak merosot ke tahap terbawah.
“Kerja sukarela adalah satu lagi cara saya menanganinya. Sejak kecil, keluarga saya selalu terlibat dalam kerja sukarela, dan ia menjadi sebahagian daripada kehidupan kami. Jadi, kerja sukarela benar-benar membantu saya melupakan perkara negatif seketika,” ujar beliau.
Dengan iltizam membantu orang lain, Ustazah Iffah menyertai program Asatizah Solace Care pada 2020, yang menawarkan sokongan emosi dan rohani secara percuma.
Beliau, yang kini berusia 32 tahun, adalah antara 35 sukarelawan yang diberi penghargaan kerana sumbangan mereka dalam pelbagai projek Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas). Mereka dirai dalam sebuah majlis jamuan tengah hari di Red Velvet Ballroom di Hotel Village pada 7 November.
Diadakan di Red Velvet Ballroom, Aras 5, Hotel Village, beliau bersama 34 sukarelawan lain diberi pengiktirafan dalam upacara tersebut.
Selain Asatizah Solace Care, mereka terdiri daripada inisiatif Pergas lain, seperti inisiatif ruang hijau ‘Pergas Green Space’ dan ‘Projek Teman’. sebagai program susulan secara bulanan bagi ‘Asatizah Turun Padang’.
Turut hadir adalah Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi, dan Masyaikh Pergas, Ustaz Abdul Manaf Rahmat.
Mengenai perkhidmatannya kepada klien wanita, Ustazah Iffah berkongsi bahawa masalah yang diluahkan mereka pelbagai. Ia termasuk masalah hubungan suami isteri, kesedihan mendalam akibat kehilangan orang tersayang, dan pekerjaan.
“Ada antara mereka tidak sampai ke tahap murung, tetapi berasa sedih dan ingin mencari cara mengharungi perasaan sedemikian.
“Jika kami mendapati klien memerlukan bantuan lebih khusus, kami akan merujuk mereka kepada sumber relevan,” kata Ustazah Iffah.
Demi memastikan beliau dapat memberikan nasihat dan sokongan bernas, Ustazah Iffah kini mengikuti kursus Diploma Psikologi Islam dan Kaunseling (DPIK) secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.
Menurut Pergas, sekitar 144 individu berjaya dibimbing menerusi Asatizah Solace Care.
Dalam ucapannya, presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid, berkata: “Sukarelawan adalah tulang belakang kami dalam memacu kemajuan. Disebabkan pertubuhan kami agak kecil, kami memerlukan bantuan sebanyak mungkin yang kami boleh dapat. Hari ini, saya sangat gembira melihat kepelbagaian dari segi golongan umur sukarelawan.
“Mereka mahu menyumbang dan melakukan sesuatu untuk masyarakat. Mereka selalu ingin tahu tentang peluang baru untuk menyumbang. Ia adalah sangat menggalakkan, dan saya harap ia berterusan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg