Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) telah melantik Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid sebagai Presiden baru persatuan itu.
Beliau menggantikan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, yang menyandang jawatan itu sejak 2002, menurut kenyataan Pergas menyusuli Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu pada Ahad.
Selain Ustaz Muhammad Tarmizi, seramai 13 asatizah lain telah dipilih menganggotai Majlis Tertinggi Pergas (MTP) 2023-2025 dalam mesyuarat tersebut. Antara mereka ialah Ustaz Dr Firdaus Yahya dan Ustaz Mohamad Nasrullah Refa’ie Mohamad Refa’ie.
Sebagai presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi berharap dapat meningkatkan lagi usaha baik yang dijalankan Pergas sejauh ini dan merancang memperkenal lebih banyak program baru.
Dalam ucapannya yang disampaikan dalam bentuk video semasa AGM Pergas itu, Ustaz Muhammad Tarmizi turut mengulangi pentingnya langkah memperkasa asatizah supaya mereka dapat menyebarkan pengetahuan dan kearifan mereka kepada masyarakat lebih meluas dengan lebih berkesan.
Beliau tidak hadir AGM itu secara fizikal kerana sudah berangkat untuk menunaikan ibadah haji.
Pergas turut melahirkan penghargaan kepada Ustaz Hasbi atas sumbangan dan bimbingannya selama ini, hingga membawa banyak pencapaian.
Ini termasuk sumbangannya dalam langkah pemerintah membenarkan pekerja penjagaan kesihatan memakai tudung di tempat kerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg