Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergas: Pencipta kandungan mistik, paranormal perlu tanggungjawab; dikhuatiri sesatkan masyarakat

Paparan perkara terlarang boleh buka ruang kepada kesesatan
Aug 21, 2025 | 2:39 PM
Soutudeen, Dyn Norahim, Minyak Dagu
Tangkap layar video ‘Temu bual Eksklusif: Pembuat Minyak Dagu - Misi Gelap’ pada 13 Ogos yang dihasilkan Soutudeen. Video tersebut menimbulkan pandangan bercampur baur daripada netizen. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE SOUTUDEEN

Kandungan yang menyentuh isu sihir, kegiatan paranormal atau amalan ghaib perlu dihadapi dengan berhati-hati dan tidak wajar dijadikan bahan hiburan atau bagi tujuan meraih perhatian kerana ia boleh membawa kepada kekeliruan dan normalisasi perbuatan salah.

Demikian ditekankan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dalam jawapannya kepada Berita Harian (BH) pada 21 Ogos, menyusuli perkongsian kandungan media sosial sebegitu yang dilihat meningkat dalam media sosial sejak kebelakangan ini.

Dalam pertanyaan kepada Pergas, BH juga merujuk kepada vodcast hasil Soutudeen bertajuk ‘Pembuat Minyak Dagu’, yang tular di media sosial baru-baru ini, mencetuskan pandangan bercampur baur daripada netizen.

Berdasarkan tinjauan BH, walau ada yang memandang perkongsian tersebut sebagai sesuatu yang berpendidikan, ada yang mengutuknya kerana percaya bahawa ia mengelirukan masyarakat.

Sementara video yang tular di TikTok Soutudeen hanya menunjukkan video singkat mengenai ‘Cara buat minyak pengasih’, vodcast tersebut telah menerbitkan versi penuh di saluran YouTube yang panjangnya sekitar 51 minit.

Ia termasuk sesi perbincangan di mana mereka mengupas isu minyak pengasih dan berkongsi pandangan peribadi masing-masing.

Pergas, dalam responsnya yang tidak merujuk secara khusus kepada pencipta kandungan tertentu, berkata:

“Media sosial kini menjadi wadah utama penyebaran maklumat.

“Namun, umat Islam perlu berwaspada apabila berkongsi isu-isu tertentu, khususnya yang melibatkan ritual atau amalan yang dilarang dalam Islam.

“Paparan terhadap perkara terlarang boleh memberi kesan besar, antaranya membuka ruang kepada kesesatan, normalisasi perbuatan salah, serta menjadikan masyarakat kurang peka terhadap larangan agama.

“Lebih membimbangkan, kandungan berkaitan unsur mistik atau kegiatan paranormal berpotensi menjerumuskan kepada syirik.

“Justeru, penjelasan tentang bahayanya perlu diketengahkan dengan berpandukan pandangan agama agar masyarakat lebih jelas dalam menjauhinya.

“Janganlah kerana ingin meraih perhatian, kita akhirnya menambah mudarat dengan mendorong orang lain mencuba perkara yang berbahaya.”

Dalam membincangkan isu agama yang lazimnya sensitif, Pergas berkata pencipta kandungan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan mesej yang disampaikan jelas serta bermanfaat.

Perkongsian yang tidak berhati-hati boleh menimbulkan kekeliruan atau membawa kepada kesesatan, tambahnya.

Dalam membuat perkongsian, Pergas menggesa agar prinsip kesederhanaan menjadi panduan mengimbangi antara kreativiti dengan tanggungjawab. 

Kesederhanaan, tambah Pergas, bermaksud menjelaskan bahaya sesuatu amalan dengan sewajarnya tanpa mensensasikannya.

Tujuan harus untuk mendidik masyarakat, bukan menakut-nakutkan atau mengeksploitasi rasa ingin tahu.

“Matlamat utama dalam berkongsi ilmu agama ialah memberi pencerahan kepada masyarakat, bukan mencetuskan kontroversi.

“Jika sesuatu amalan itu bercanggah dengan Islam, penjelasan sewajarnya perlu disampaikan agar masyarakat jelas kedudukannya menurut syarak,” tambahnya.

Dalam dunia digital yang terbuka luas, Pergas berkata ilmu yang disampaikan tanpa tanggungjawab boleh menyesatkan, melalaikan, bahkan menampilkan sesuatu yang haram dalam bentuk yang kelihatan indah.

Oleh itu, setiap kandungan perlu disemak dari sudut ketepatan, integriti dan manfaatnya agar benar-benar membawa kebaikan bersama, tegasnya.

Dihubungi BH, personaliti tempatan, Encik Ahmad Sodiqin Norahim, atau lebih dikenali sebagai Dyn Norahim yang mencipta kandungan Soutudeen, enggan mengulas lanjut tetapi berkata pihaknya akan menghentikan siri vodcast ‘Misi Gelap’ – mengetengahkan isu berhubung alam ghaib dan dunia mistik – menjelang hujung bulan ini.

Sebagai ganti, mereka akan hasilkan siri baru ‘TheWeeklyDeenShow’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg