Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencipta kandungan digital bantu masjid hasilkan karya kreatif berunsur Islam

Masjid Alkaff Kampung Melayu mahu perkukuh penyampaian dakwah, menarik minat masyarakat, khususnya golongan belia, agar kekal relevan
Jun 27, 2025 | 5:30 AM
masjid alkaff kampung melayu, Muis, acara, raffles city
Encik Mahy Umar (berdiri), merakam video semasa acara anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Atrium, Raffles City, pada 2024, dengan sokongan Masjid Alkaff Kampung Melayu. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Teknologi canggih tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan harian. Ini termasuk masjid-masjid yang menggunakan wadah media sosial menerusi kandungan video Islam yang tepat dan menarik perhatian ramai.

Salah seorang yang telah berkecimpung lebih 11 tahun dalam penghasilan video ialah Eksekutif Kanan, Media dan Acara di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mahy Umar.

Lulusan Diploma Media Baharu daripada Politeknik Republic (RP) itu sudah bertugas lebih setahun dan menghasilkan kandungan kreatif serta video untuk memperkukuh penyampaian dakwah serta menarik minat masyarakat, khususnya golongan belia.

“Saya merancang, menghasilkan dan mengurus kandungan video dan fotografi di laman media sosial seperti di Instagram, Facebook dan TikTok.

“Ini termasuk menguruskan penggambaran, penyuntingan serta penulisan skrip bagi menyampaikan mesej dakwah dan program masjid dengan cara kreatif dan relevan kepada masyarakat, terutamanya golongan muda.

“Saya juga merancang dan melaksanakan acara masjid bersama anggota masjid dan sukarelawan lain untuk mengumpul dana bagi projek peningkatan masjid ini,” jelas Encik Mahy.

Encik Mahy mula dikenali netizen menerusi video pengumuman ‘Solat Raya’ yang kreatif dan tular di media sosial.

“Idea untuk video itu datang secara spontan. Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Sambil itu saya menelusuri media sosial dan terlihat sebuah video ‘AI’, atau kecerdasan buatan, dari Malaysia yang menarik perhatian saya. Gaya penyampaiannya unik. Lalu timbul inspirasi mahu cuba pendekatan serupa untuk Masjid Alkaff Kampung Melayu.

“Saya berfikir bagaimana mahu sampaikan mesej ringkas secara kreatif. Saya juga buat kajian tentang minat penonton. Selepas beberapa percubaan, terhasillah video ‘Solat Raya’. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang sangat baik,” ujarnya.

Video dengan gaya penyampaian yang segar dan relevan dengan trend semasa itu tular dan mendapat respons menggalakkan.

Secara tidak langsung, ia menarik perhatian umum kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu serta projek menaik taraf yang sedang berjalan lancar.

Video tersebut adalah titik permulaan untuk menjadikan mesej-mesej masjid lebih mesra dan mudah diakses oleh masyarakat, khususnya golongan muda.

Di sebalik tugas yang dilakukannya kini, ia bagai ‘penghijrahan diri’ kepada Encik Mahy.

“Secara peribadi, peralihannya adalah daripada menghasilkan video biasa kepada pencipta kandungan yang memberi impak dan membawa mesej dakwah.

“Jika dulu, saya tumpukan kepada aspek teknikal dan kreativiti. Kini, tanggungjawab saya menyampaikan nilai Islam dengan cara yang relevan, beretika dan menyentuh hati. Ia transformasi yang mengajar saya bukan sekadar pencipta kandungan, malah penyampai nilai,” ujarnya.

Bagi projek naik taraf Masjid Alkaff Kampung Melayu, tugas Encik Mahy bukan hanya pada aspek promosi video, bahkan memberi kesedaran dan rasa kepunyaan dalam kalangan masyarakat.

“Secara fizikal, saya pastikan maklumat tentang perkembangan projek ini disampaikan dengan jelas dan menarik melalui video, grafik, serta kempen digital yang mudah difahami oleh pelbagai lapisan jemaah.

“Secara spiritual pula, tugas ini satu amanah demi membantu dan menjelaskan bahawa projek naik taraf bukan hanya peningkatan bangunan, malah memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat ilmu, ibadah dan masyarakat.

“Kandungan yang saya hasilkan bertujuan menyemai harapan, menggalakkan sokongan dan menanam rasa cinta terhadap rumah Allah ini,” ujarnya.

Bersempena Tahun Baru Hijrah, Encik Mahy berharap Masjid Alkaff Kampung Melayu dan masyarakat sekelilingnya diberikan kekuatan dan semangat agar terus berusaha memperbaiki diri dari segi rohani dan jasmani.

“Semoga Masjid Alkaff Kampung Melayu terus menjadi pusat masyarakat, sumber inspirasi dan penghubung erat antara generasi muda dengan yang tua.

“Saya juga berharap agar projek naik taraf dan projek-projek lain masjid berjalan lancar, memberi manfaat besar kepada semua, memperkukuh ikatan ummah dan menyemai kasih sayang dalam kalangan masyarakat.

“Kepada jemaah muda dan generasi digital, saya menyeru supaya jangan takut berkongsi bakat dan kreativiti anda bersama masjid.

“Masjid bukan hanya tempat beribadah; ia ruang membina masyarakat yang hidup dan relevan dengan zaman.

“Gunakan kemahiran digital, seni, dan idea segar anda untuk menyampaikan mesej yang bermakna dan memberi impak positif kepada masyarakat,” tambah Encik Mahy.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg