Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergeraq bantu ibu kurang upaya berdikari

Penghidap kencing manis dapat kerusi komod daripada Pergeraq agar mudah bersihkan diri di tandas
Mar 12, 2024 | 5:30 AM
Walaupun kurang upaya, Cik Mardiana Hassan, tetap cekap menjalani kehidupan harian dengan berniaga. Kerusi komod – tandas mudah alih berupa kerusi (tiada dalam foto) – sumbangan Pergeraq turut mempermudahkan hidupnya.
Walaupun kurang upaya, Cik Mardiana Hassan, tetap cekap menjalani kehidupan harian dengan berniaga. Kerusi komod – tandas mudah alih berupa kerusi (tiada dalam foto) – sumbangan Pergeraq turut mempermudahkan hidupnya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Liku-liku kehidupan Cik Mardiana Hassan cukup mencabar.

Ibu tunggal kurang upaya itu juga dikurniakan seorang anak perempuan yang mempunyai masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD).

Anak tunggalnya itu, Nur Amiera D’Laila Dzullkeflee, 15 tahun, kini menuntut di Menengah 3.

Suami Cik Mardiana, Encik Dzullkeflee Karmani, pula meninggal dunia pada 2020 ketika berusia 45 tahun, akibat ulser gastrik.

Cik Mardiana, 46 tahun, sendiri merupakan pesakit kencing manis, dan akibat penyakit yang dihidapi sejak 2008, kededua kakinya terpaksa dipotong.

Walaupun kakinya kudung, Cik Mardiana tetap gigih mencari nafkah untuk keluarganya dengan menjalankan perniagaan dari rumah (HBB) secara dalam talian.

Cik Mardiana yang menggunakan nama ‘Diana Hassan’ di Facebook, merupakan antara penerima bantuan daripada Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq).

Beliau yang juga ahli Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura (KCMS), berkata:

“Saya didapati menghidap kencing manis ketika mengandung... sekitar 2008.

“Pada 2017, kaki kanan perlu dipotong dan diikuti pula kaki kiri pada 2021.

“Sejak amputasi ini, memang kehidupan kami sekeluarga mencabar, mentelah lagi kehilangan suami empat tahun lalu, dan sejak Februari bulan lalu, ayah saya pula telah berpulang.

“Namun, saya perlu kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.”

Cik Mardiana bersyukur Pergeraq menghulur bantuan.

Sejak 2023, beliau telah menerima kerusi komod – tandas mudah alih berupa kerusi untuk pesakit. Kerusi itu merupakan satu keperluan bagi dirinya untuk membersihkan diri, khususnya di dalam kamar mandi.

Beliau juga mengikuti kelas iqra’ anjuran badan tersebut secara percuma.

“Saya amat berterima kasih kepada Pergeraq kerana telah menyumbangkan kerusi komod ini kepada saya sejak tahun lalu (2023). Kerusi ini... merupakan satu keperluan bagi warga kurang upaya seperti saya.

“Saya juga amat bersyukur kerana dapat mengikuti pembelajaran iqra’ bersama Pergeraq melalui Zoom, dua kali seminggu. Bagi saya, ini merupakan saham akhirat, dan sangat tinggi nilainya,” tambahnya dengan hiba.

Semua itu menguatkan semangatnya.

“Saya menyara kehidupan bersama anak perempuan saya, dengan berniaga makanan dari rumah, secara kecil-kecilan. Alhamdulillah. Saya menggunakan platform media sosial dan kini telah pun mempunyai pelanggan tetap dan ramai yang menyokong,” ujar Cik Mardiana.

HULUR BANTUAN

Anda boleh menghulurkan bantuan kepada Pergeraq melalui:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 017-903204-0. WhatsApp di talian 9030-7057 untuk mendapatkan untuk. Tulis nama anda / zakat atau derma.

2. PayNow kepada UEN T06SS0040C. Di ruang ‘rujukan’ tulis nama anda /zakat atau derma.

3. Untuk keterangan lanjut, lungsuri laman web, pergeraq.sg, atau e-mel kepada pergeragsgp@gmail.com.

4. Pergeraq terletak di 218E, Changi Road, #03-10, Bangunan PKMS, Singapura 419737.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg