Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dedikasi mantan wartawan sukan BH Sani Ali dikenang; liputan badminton diingati

Nov 11, 2025 | 5:19 PM
Mohd Sani Ali
Jenazah mantan wartawan dan penulis sukan Berita Harian, Allahyarham Mohd Sani Ali, diusung oleh keluarga, sahabat handai dan kenalan kerja, termasuk mantan Editor Berita Harian, Encik Yatiman Yusof (belakang, kanan). - Foto BH oleh RUBIAH MOHD

Mantan wartawan sukan Berita Harian (BH), Encik Mohd Sani Ali, disifatkan sebagai pakar dalam menghasilkan liputan badminton di dalam dan luar negara, yang mampu membawa pembaca membayangkan suasana sengit dan penuh warna-warni di gelanggang sukan bulu tangkis itu.

Sebagai suami dan ayah, beliau dikenang sebagai seorang yang penuh keprihatinan dan kasih sayang meski tegas dan pendiam.

Allahyarham Mohd Sani menghembuskan nafas terakhirnya di rumahnya di Bedok Reservoir pada 10 November, pada usia 75 tahun kerana komplikasi penyakit jantung dan pneumonia.

“Selepas beberapa kali diserang penyakit jantung, pada 2022 beliau dilanda radang paru-paru dan dari situ, kesihatannya semakin merosot,” kata isterinya, Cik Armila @ Teo Bee Hong, 70 tahun, yang juga pernah bekerja di SPH sebagai pengurus jualan pengiklanan di Jabatan Cats Classified.

Anak bongsu arwah, Cik Fa’izah Mohd Sani, 37 tahun, yang kini berkhidmat sebagai Penerbit Podcast untuk akhbar The Straits Times (ST) di SPH Media, menggambarkan bapanya sebagai seorang yang pendiam tetapi tegas.

“Kasih sayangnya ditunjukkan melalui perbuatan, bukan kata-kata. Hanya apabila beliau semakin lemah, barulah beliau mula meluahkan kasih sayangnya secara lebih terbuka, menunjukkan penghargaan atas apa yang kami lakukan untuknya.

“Agak ironik memandangkan beliau seorang wartawan yang sepatutnya mudah meluahkan kata-kata,” jelas Cik Fa’izah.

Menurut Cik Fa’izah lagi, bapanya mengalami serangan jantung pertama pada 1989, disusuli dengan serangan kedua pada 1993.

Susulan kejadian itu, beliau menjalani pembedahan pintasan tiga saluran arteri tersumbat atau ‘triple bypass’.

“Saya akan rindu berkongsi cerita tentang kerja dengannya kerana kami berdua karyawan media dari SPH.

“Saya juga akan rindu membeli makanan kegemarannya seperti lauk daging kicap dari kafeteria SPH,” tambahnya.

Dalam pada itu, ramai kenalan wartawan mengingati Allahyarham Mohd Sani sebagai wartawan yang gigih, rajin dan berdedikasi dalam tugasnya hingga ke detik persaraan.

Mantan Editor Seksyen (Sukan) BH, Encik Saparin Rasikin, yang bertugas dengannya di Meja Sukan BH selama hampir tiga dekad, menganggap Allahyarham Mohd Sani sebagai wartawan yang sangat berkemampuan dan boleh diharap dalam melaksanakan laporan sukan sebaik mungkin.

“Mohd Sani berpengalaman membuat liputan beberapa acara Sukan SEA di luar negara dan juga menyelia tugas meja sukan apabila saya bercuti atau tidak dapat hadir di pejabat.

“Beliau juga mudah diajak berbincang dalam merancang liputan harian atau liputan khas,” jelas Encik Saparin, yang ketika ini bercuti di Perth, Australia, dan dihubungi menerusi WhatsApp.

Mantan Editor BH, Encik Yatiman Yusof, yang juga mantan Setiausaha Parlimen Kanan, turut ditemui melawat jenazah Allahyarham Mohd Sani di kediamannya di Bedok Reservoir Road, sebelum pengebumiannya pada pagi 11 November.

Kata Encik Yatiman, Allahyarham merupakan wartawan sukan yang sangat berdedikasi dan membanggakan.

“Kesungguhan dan kejituan kerja Allahyarham merupakan contoh yang patut diamalkan oleh ramai wartawan kita hari ini,” ujar Encik Yatiman.

Beliau juga menambah Allahyarham tidak pernah menolak sebarang tugasan, sama ada di dalam atau luar negara.

Dalam Allahyarham menghasilkan liputan sukan, pastinya ramai olahragawan yang mengenali dirinya dan akrab dengannya.

Bintang bola sepak legenda, Fandi Ahmad dan mantan kapten pasukan bola sepak kebangsaan Singapura, Nazri Nasir, menganggap Allahyarham Mohd Sani sebagai seorang yang mesra dan mudah diajak berbual.

“Beliau seorang yang menyenangkan untuk diajak berbual, terutama apabila kami berbincang tentang bola sepak dan pelbagai isu lain,” kata Fandi.

Nazri, yang kini menjalani latihan bersama pasukan Ventforet Kofu di Jepun, pula berkata: “Saya masih ingat selain wartawan sukan, beliau juga sangat mahir dalam urutan refleksologi kaki dan pernah memberikan saya urutan sebelum ini.

“Apabila saya menerima mesej dari kumpulan bekas pemain kebangsaan tentang pemergiannya, saya benar-benar terkejut.”

Allahyarham Mohd Sani memulakan kerjayanya di SPH Media sebagai pustakawan di Perpustakaan ST pada 1970 sebelum menyertai BH sebagai wartawan pada 1992.

Beliau berkhidmat lebih kurang 40 tahun di SPH sebelum bersara.

Selain seorang balu dan dua anak perempuan, beliau turut meninggalkan lima cucu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg