Jurulatih sementara pasukan Singa, Gavin Lee, telah menamakan skuad menarik, yang boleh dikatakan salah satu barisan terkuat yang dipilih daripada kumpulan pemain semasa.
Pemilihannya mencerminkan matlamat jelas – mempersiap pemainnya menjelang kelayakan penting menentang India pada 9 dan 14 Oktober dalam usaha Singa mencatat sejarah dengan melayakkan diri buat kali pertama ke Piala Asia 2027.
Skuad yang dinamakan Lee itu menampilkan gabungan pemain berpengalaman dan muda yang seimbang, dengan pemain senior seperti, Izwan Mahbud dan Safuwan Baharudin, bakal berganding bahu dengan bakat baru seperti, Jared Gallagher, yang menantikan peluang mencipta nama di persada antarabangsa.
Pasukan bekas ketua jurulatih BG Tampines Rovers itu terlebih dahulu berpeluang menguji persiapan – apabila menentang dua lawan serantau, Malaysia pada 4 September di Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur, dan Myanmar lima hari kemudian di Stadium Negara pada 9 September.
Tujuh pemain yang kini beraksi di Thailand turut tersenarai, termasuk Jordan Emaviwe, Kyoga Nakamura, adik-beradik – Ryhan Stewart dan Harhys Stewart, serta tiga beradik Fandi – Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi turut memperkukuhkan skuad dengan pengalaman luar negara.
Walaupun kapten, Hariss Harun, tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, beliau tetap akan bersama pasukan sebagai pembimbing dan pemberi semangat dari luar padang.
Kepulangan semula beberapa nama seperti, Nazrul Nazari, Ryaan Sanizal dan Joel Chew, dijangka memberi kesan positif, manakala kemunculan semula penyerang, Shawal Anuar, selepas tidak tersenarai dalam skuad Jun lalu memberikan suntikan yang diharap-harapkan di bahagian hadapan.
Gandingan penyerang utama, Ikhsan dan Shawal, dianggap sebagai gabungan paling berkesan ketika ini.
Namun, pemilihan penyerang Sailors, Abdul Rasaq Akeem, dan bukannya pemain sayap Balestier Khalsa, Ignatius Ang, menimbulkan beberapa pertanyaan.
Pada musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2024-25, penyerang Sailors itu hanya berjaya menjaringkan dua gol dalam 19 perlawanan, manakala Ang berjaya menjaringkan 10 gol dalam 27 perlawanan.
Mungkin Rasaq dipilih untuk kekuatannya, berbanding dengan Ang yang lebih dikenali dengan kepantasannya.
Barisan pertahanan pula diketuai oleh Safuwan Baharudin, pemain paling berpengalaman dalam skuad dengan 124 penampilan antarabangsa – hampir dua kali ganda lebih banyak daripada rakan sepasukannya Nazrul Nazari yang mempunyai 68 penampilan.
Panggilan Nazrul kembali ke skuad nasional memberikan keyakinan kerana beliau telah mempamerkan prestasi yang cemerlang sejauh ini, terutama sekali semasa perlawanan Geylang International menentang Tampines pada 24 Ogos.
Safuwan masih menjadi tonggak utama dalam sistem pertahanan, tetapi beliau juga dikelilingi dengan pemain lebih muda seperti Amirul Adli, Irfan Najeeb , Ryaan Sanizal dan sekian lama tidak beraksi, Irfan.
Pemain-pemain ini semua dianggap sebagai pengganti apabila pemain pertahanan berusia 33 tahun itu bersara pada masa depan.
Bahagian tengah pula menyaksikan persaingan sihat selepas beberapa pemain liga tempatan menunjukkan prestasi cemerlang dalam SPL.
Farhan Zulkifli, sebagai contoh, menarik perhatian dengan aksi matang ketika menentang Lion City Sailors – satu petanda jelas bahawa bakat tempatan makin menyerlah.
Ini memberi lebih banyak pilihan taktikal buat Lee dalam merencana formasi dan strategi pasukan.
Menurut Lee, tumpuan ketika ini adalah kepada membina keserasian dan kefahaman taktikal pasukan.
“Latihan berjalan dengan baik dan penuh fokus. Dengan kehadiran semula pemain-pemain dari luar negara dan yang kekal bersama skuad sebelum ini, kita ada keseimbangan pengalaman dan tenaga muda,” katanya.
“Dua perlawanan ujian ini memberi kami peluang untuk menyelaraskan objektif, di dalam dan luar padang, sebelum kelayakan penting Oktober nanti.
“Persaingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sangat sengit, dan itu sesuatu yang positif untuk prestasi pasukan.”
Dalam masa terhad bagi pasukan antarabangsa persiapkan diri, setiap minit di padang latihan dan perlawanan menjadi persiapan yang amat berharga.
Saya jangkakan aksi menentang Malaysia akan digunakan Lee untuk mencuba beberapa gabungan dan taktik yang berbeza, manakala pada perlawanan kedua menentang Myanmar kami bakal melihat gabungan pemain yang terbaik.
Adik-beradik Stewart, yang kini beraksi di Liga 1 Thai, turut berkongsi rasa teruja mereka menjelang aksi September.
“Ini dua perlawanan yang sukar. Semua pemain sangat teruja dan bersedia.
“Kami menunjukkan prestasi baik ketika menentang Bangladesh sebelum ini, dan kami mahu teruskan momentum itu dalam perlawanan akan datang,” ujar Harhys.
Skuad ini, dengan keseimbangan yang semakin ketara antara pengalaman dan potensi muda, memberi harapan kepada penyokong tempatan bahawa era baru bola sepak Singapura sedang mula terbentuk.
Dengan barisan utama hampir lengkap, momentum positif, dan matlamat yang jelas, Singapura telah meletakkan diri mereka di dalam keadaan terbaik untuk mencipta detik bersejarah dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg