Lembut tutur katanya, tenang wajahnya, anggun penampilannya dan tulus budi pekertinya – itulah Puan Noor Aishah Mohammad Salim.
Mantan Wanita Pertama Singapura ini bukan sahaja menyinari Istana, malah menawan hati rakyat dengan keikhlasan dan dedikasinya.
Di sebalik sikap pemalu dan ketidakupayaannya berbahasa Inggeris dengan fasih, isteri Presiden pertama Singapura, Encik Yusof Ishak, yang dilahirkan di Selangor pada 21 Mei 1933, menunjukkan kematangan melangkaui usianya.
Beliau dewasa di Pulau Pinang ketika era Pendudukan Jepun dan tidak berpeluang menikmati pendidikan formal dan sebaliknya, membangun kemahiran praktikal seperti memasak dan menjahit, untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga.
Beliau mendirikan rumah tangga pada usia remaja 16 tahun, bersama Allahyarham Yusof, yang ketika itu merupakan pengarah urusan dan pengasas bersama akhbar Utusan Melayu.
Jarak usia antara mereka 23 tahun.
Pasangan ini kemudian berhijrah ke Singapura dan membina hidup bersama tiga anak mereka.
Kini, Singapura telah kehilangan wanita yang pernah menjadi tulang belakang Allahyarham Yusof, apabila beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar Singapura (SGH) pada 4.28 pagi, kerana radang paru-paru.
Puan Noor Aishah, 91 tahun, bergelar Wanita Pertama antara 1959 dengan 1970.
Pemergian permata negara ini ditangisi dan dikenang ramai dek sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat sejak wajah beliau mula muncul di khalayak ramai pada hujung 1950-an.
Pada ketika itu, suaminya menggalas peranan sebagai Yang Dipertuan Negara Singapura dari 1959 hingga 1965, dan kemudian sebagai Presiden pertama Singapura dari 1965 hingga 1970, sebelum menghembuskan nafasnya pada 23 November tahun tersebut (1970).
Puan Noor Aishah dibesarkan dan diasuh oleh ibu bapa angkatnya, Encik Mohammad Salim Jusoh, yang dilahirkan dengan nama Barney Perkins dan Cik Fatimah Ali.
Sewaktu berumah tangga, Encik Yusof merupakan wartawan berprinsip dan berjiwa besar.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Anak lelaki mereka, Haji Dr Imran, 65 tahun, seorang doktor perubatan mendirikan rumahtangga dengan Cik Zarina Mohamed.
Anak perempuan mereka, Cik Zuriana, 62 tahun, kini tinggal di Brunei bersuamikan seorang diplomat, Encik Abdul Majid Rahim; manakala seorang lagi anak perempuan mereka, Cik Orkid Kamariah, 66 tahun, mengikut suaminya, Encik Mohd Ali Mohd Rozy seorang pegawai kastam, berhijrah ke Malaysia.
Puan Noor Aishah mula menjadi tumpuan apabila suaminya bergelar Presiden pertama SIngapura.
Gerak-gerinya mula diperhatikan orang ramai.
Melangkah ke dalam dunia yang asing baginya – sebuah kehidupan penuh tanggungjawab rasmi dan perhatian masyarakat – tanpa buku panduan yang dapat membimbingnya memainkan peranan sebagai isteri kepada Presiden pertama Singapura, Puan Noor Aishah bertekad mempertingkat diri agar dapat memenuhi tuntutan peranan itu dan berkhidmat kepada warga Singapura.
Beliau mendapatkan seorang guru untuk mengajarnya bahasa Inggeris.
Dalam tempoh yang singkat, Puan Noor Aishah mula berkomunikasi dengan lebih lancar, bukan sekadar dalam perbualan seharian, malah majlis rasmi.
Beliau juga menganjurkan majlis resepsi untuk melawat orang kenamaan dan terlibat dalam pelbagai pertubuhan sukarelawan dan aktiviti masyarakat.
Beliau merupakan tokoh utama dalam gerakan Pandu Puteri di Singapura, bahkan menjadi Presiden Asia pertamanya pada 1959 sebelum bergelar penaung gerakan ini.
Puan Noor Aishah tidak hanya belajar untuk menyesuaikan diri.
Beliau turut mencorakkan peranannya dengan identiti tersendiri.
Beliau memastikan pinggan mangkuk dan sudu garpu di Istana – semuanya dihiasi dengan lambang British – diganti.
Istana yang dahulunya diwarisi dengan tradisi kolonial berubah wajah, menjadi lebih mesra dan berjiwa tempatan.
Bukan sekadar menghiasi ruang, beliau juga menyuntik jiwa ke dalamnya, dengan melakar menu jamuan dan mengajar tukang masak cara memasak, menggantikan menu Inggeris tradisional mereka dengan hidangan Asia seperti rendang sebagai ganti daging panggang, epok-epok dan bukannya pai daging.
Beliau sendiri sebagai tukang masak yang sangat masyhur menetapkan piawaian yang paling tepat untuk makanan yang dihidangkan kepada tetamu Istana.
Dalam masa setahun, gaya kolonial Istana yang terasa seperti tertumpu pada golongan elit bertukar menjadi suasana persahabatan masyarakat Asia yang lebih mesra.
Di sebalik peranannya sebagai seorang nenek yang kerap mengunjungi cucunya, Puan Noor Aishah juga menemui hobi dalam dunia seni.
Menerusi kunjungan seperti itulah, nenek 10 orang cucu itu mempunyai keahlian baru dalam membuat bunga hiasan dan seni lukis.
Kemampuan Puan Noor Aishah dalam dua bidang ini dapat dirasakan, apabila dinding rumahnya dihiasi dengan beberapa lukisan hasil karyanya sendiri.
Di luar Istana, Puan Noor Aishah bukan sekadar mendampingi suaminya dalam majlis rasmi, tetapi juga aktif dalam pelbagai usaha kebajikan.
Malah, beliau memang terkenal kerana kegigihannya dalam kerja kemasyarakatan dan menjadi penaung beberapa pertubuhan, termasuk Palang Merah Singapura, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persatuan Kanak-Kanak, Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Cacat Penglihatan Singapura Persatuan Spastik, dan Persatuan Cacat Pendengaran.
Beliau membantu PPIS dan Pandu Puteri mendapatkan tanah untuk ibu pejabat mereka dengan menulis surat sokongan kepada pemerintah.
Pada 1959, beliau mencipta sejarah apabila dilantik sebagai wanita Asia pertama yang menjadi Presiden Persatuan Pandu Puteri Singapura.
Lima tahun kemudian, pada 1964, pemerintah menganugerahkannya Pingat Bakti Cemerlang sebagai pengiktirafan atas dedikasi beliau dalam kerja kebajikan sosial.
Pada 1965, beliau terus diberi penghormatan apabila dilantik sebagai penaung pergerakan Pandu Puteri Singapura, memperkukuh lagi peranannya dalam membimbing dan memberi inspirasi kepada generasi muda.
Beliau tidak hanya menjadi individu kenamaan simbolik di sini, tetapi turut turun padang, membantu mendapatkan dana ketika pertubuhan itu menghadapi kekangan kewangan.
Bahkan, beliau memainkan peranan penting dalam mendapatkan sebidang tanah di Clemenceau untuk dijadikan ibu pejabat persatuan tersebut pada tahun 1960-an.
Sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan usaha gigihnya, pada 1970, Persatuan Pandu Puteri Singapura menganugerahkan beliau dengan Anugerah Daun Laurel, penghormatan tertinggi yang diberikan kepada individu yang telah memberi sumbangan luar biasa kepada pergerakan itu.
Sehingga hari ini, Anugerah Puan Noor Aishah terus diberikan setiap tahun kepada unit Pandu Puteri (Peringkat Sekolah Rendah dan Menengah) cemerlang sebagai penghormatan atas legasi beliau.
Namun, kegigihan Puan Noor Aishah yang menyentuh hati ramai rakyat terserlah sepanjang 11 tahun beliau memegang peranan sebagai Wanita Pertama Singapura.
Apabila suaminya, Allahyarham Yusof meninggal dunia pada November 1970, beliau jarang tampil di khalayak ramai.
Namun, di sebalik dirinya menyepikan diri, beliau terus dikenali kerana kegigihannya dalam kerja-kerja kebajikan, walaupun tidak lagi aktif seperti sebelumnya.
Selepas pemergian suaminya pada 1970, Parlimen mengundi untuk membayar Puan Noor Aishah pencen seumur hidup, yang pertama dan satu-satunya Wanita Pertama yang dihormati dan dihargai.
Pada Rapat Hari Kebangsaan 2014, Perdana Menteri Singapura ketika itu, Encik Lee Hsien Loong mengumumkan tiga penghormatan bagi Allahyarham Yusof.
Ini termasuk pembinaan sebuah masjid di Woodlands yang dinamakan sempena Allahyarham; Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) yang dinamakan Iseas-Institut Yusof Ishak; dan sebuah Kerusi Profesor Yusof Ishak dalam Sains Sosial yang diwujudkan di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Pada Julai 2017, Encik Lee melancarkan buku Puan Noor Aishah: Singapore’s First Lady .
Buku bahasa Inggeris setebal 186 halaman itu merakam detik kehidupan Puan Noor Aishah – sejak beliau lahir dan membesar hingga mendirikan rumahtangga bersama Allahyarham, peranannya menjadi isteri seorang ketua negara dan kehidupan setelah suaminya meninggal dunia.
Ia ditulis cendekiawan undang-undang dan ahli sejarah, Dr Kevin Y L Tan, dan diterbitkan Straits Times Press.
Pada Mac 2018, Puan Noor Aishah diberi penghormatan disertakan dalam Dewan Termasyhur Wanita Singapura (SWHF).
Beliau disampaikan dengan piala SWHF oleh Presiden ketika itu, Puan Halimah Yacob.
Dewan Termasyhur Wanita Singapura dilancar Majlis Perwakilan Wanita Singapura (SCWO), pada 2014 untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian serta sumbangan wanita Singapura.
Puan Noor Aishah bukan sekadar seorang Wanita Pertama yang menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi, tetapi juga seorang insan yang meletakkan nilai kemanusiaan di setiap gerak langkahnya.
Beliau telah membentuk sebuah legasi yang dikenang bukan hanya dalam sejarah negara, tetapi dalam hati rakyat yang pernah merasai sentuhannya.
Mereka yang mengenali beliau tentu masih mengingati senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya, kelembutan tutur katanya, serta keanggunannya menggayakan kebaya yang mempesona.
Pusara Allahyarhamha Noor Aishah disemadikan di Tanah Perkuburan Negara Kranji, bersebelahan pusara suaminya, Allahyarham Yusof.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg