Projek ‘Giftback’ Madrasah Wak Tanjong: Santuni keluarga memerlukan
Projek ‘Giftback’ Madrasah Wak Tanjong: Santuni keluarga memerlukan
Umat Islam sentiasa digalakkan memperbanyakkan amal kebaikan, khususnya sepanjang bulan Ramadan, kerana janji ganjaran pahala yang berlipat ganda bagi setiap amalan soleh.
Mengambil kesempatan bulan mulia ini, Persatuan Pelajar Madrasah Wak Tanjong Al Islamiah (Itmawat) telah menganjurkan acara ‘Giftback 2026’.
Acara murni ini merupakan daya usaha pelajar untuk menyantuni golongan kurang berkemampuan dengan mengagihkan bahan makanan asas kepada keluarga memerlukan.
Bagi menjayakan projek kali ini, Itmawat bekerjasama dengan USIMsg dan Masjid Angullia, yang berperanan mengenal pasti keluarga penerima bantuan. Perancangan rapi bermula akhir Disember 2025, manakala usaha pengumpulan dana giat dilaksanakan sejak awal 2026.
Setelah berjaya mengumpul dana secukupnya daripada sumbangan orang ramai dan waris pelajar, acara ‘Giftback’ telah berlangsung dengan jayanya pada Sabtu, 7 Mac lalu.
Kira-kira 50 pelajar peringkat prauniversiti di Madrasah Wak Tanjong terlibat secara langsung. Mereka membeli barangan keperluan asas, menyusunnya di dalam beg sumbangan, sebelum mengagihkannya ke rumah-rumah keluarga yang disenaraikan.
Proses pengagihan itu hanya makan masa kurang dua jam. Alhamdulillah, hampir 100 keluarga menerima manfaat daripada projek kebajikan ini.
Selain menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, projek ini turut membuka peluang keemasan kepada pelajar menyumbang bakti kepada masyarakat. Melalui penglibatan ini, pelajar dapat menyemai nilai-nilai murni seperti ihsan, keprihatinan, kasih sayang, kesyukuran, dan semangat khidmat masyarakat yang tinggi.
Pada masa sama, dua usaha ini secara tidak langsung menjadi medan bagi pelajar menonjolkan dan mengasah bakat kepimpinan dalam menguruskan sesuatu projek. Pengalaman berharga ini penting sebagai bekalan kerana mereka merupakan pewaris yang bakal memimpin masyarakat pada masa hadapan.
Penulis merupakan mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
SEKILAS:
1. Anda boleh menderma dengan menggunakan PayNow ke UEN: S55MM0002D, atau hantarkan cek atas nama ‘Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah’.
2. Hubungi talian 6741-0131, e-mel kepada mwti@mwti.edu.sg atau lungsuri laman https://mwti.edu.sg/ramadan-2026 untuk maklumat lanjut.
3. Kunjungi Facebook@MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah untuk mengikuti perkembangan terbaru madrasah.
4. Langsung ke pejabat madrasah di alamat 589 Sims Avenue, Singapura 387600. Waktu operasi, Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 4 petang. Pada Sabtu, 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Ahad (Tutup).


