Permintaan tinggi sajian kunafa hari ini mendorong ramai penjual mengambil langkah kreatif.
Daripada menawarkan kunafa dengan pelbagai jenis perisa sehingga memasarkannya secara agresif dan menarik melalui media sosial.
Sejak Februari 2024, kunafa mula mendapat perhatian apabila seorang pempengaruh Dubai berasal dari Russia, Cik Maria Vehera, menikmati juadah itu – dalam bentuk sekeping coklat – lalu dimuat naik ke wadah sosial TikTok.
Hasilnya – video itu ditonton sebanyak 75 juta kali di serata dunia, meledakkan populariti sajian itu!
Pencipta sajian itu, Cik Sarah Hamoudi, 38 tahun, seorang warga Britain asal Mesir yang menginap di Dubai, dilaporkan telah mengilhamkan sajian itu pada 2021 semasa beliau ‘mengidam’ ketika hamil.
Namun begitu, penjualan awalnya kurang memberangsangkan, hanya beberapa keping dijual sehari.
Kini, beliau mengeluarkan sehingga 500 keping sajian itu sehari, namun penjualannya masih terhad kepada salah satu syarikat khidmat penghantaran sahaja.
Ini menyebabkan ramai yang telah mencuba membuat sendiri produk itu di rumah, dan khabarnya timbul pula pasaran gelap yang menjual sajian sedemikian dengan harga yang melambung tinggi.
Di Singapura, penjual semula kunafa meletakkan harga setinggi $59 untuk sekeping coklat jenama Fix. Harga asalnya sekitar $26 sekeping.
Beberapa perniagaan juga telah beralih arah dan tidak mahu melepaskan peluang menjual produk berkaitan kunafa.
Contohnya, gerai Terang Bulan di Wisma Geylang Serai yang menjual kudapan asli Indonesia dan sekarang menawarkan martabak manis berperisa coklat kunafa, serta kedai kek Julie Bakes yang terkenal dengan rekaan keknya juga tidak mahu ketinggalan.
Pengarah penganjur acara MakBesar Pte Ltd, Cik Haryani Othman, berkata trend membuat manisan yang diinspirasikan daripada kunafa tular sejak 2023.
“Trend selalunya mempunyai jangka hayat lebih kurang dua tahun tetapi jika peniaga bijak mengolah produk dan sering memperbaikinya, ditambah pula dengan idea pemasaran yang baik, trend itu boleh bertahan lama,” kata Cik Haryani.
Dalam lawatan Berita Minggu (BM) baru-baru ini ke kedai kek Julie Bakes di Bussorah Street, terdapat enam jenis produk terbaru yang berkaitan kunafa termasuk dua kek, roti kroisan, biskut dan berbagai lagi.
“Bila coklat dari Dubai mula tular, saya terpaksa cepat berfikir bagaimana hendak mengambil kesempatan dan manfaatkan trend ini, dan yang pertama saya ciptakan ialah kek coklat pistasio kunafa,” kata Cik Juliana Jahayer, 52 tahun, pemilik Julie Bakes.
Peniaga Roti Gendang Sg yang pada mulanya menjual snek dari Anambas, Indonesia, juga memanfaatkan trend ini dan sekarang menjadi pengedar eksklusif coklat kunafa yang mereka dapatkan dari sebuah kafe di Kuala Lumpur, hasil rekaan seorang cef dari Syria.
“Produk itu mendapat sambutan baik sejak dibawa masuk ke sini dan coklat-coklat itu selalunya laris terjual dalam semua acara yang kami sertai,” kata Cik Nur Zihan Mohd Rozaimi, 38 tahun, dengan pemilik bersama @rotigendangsg ini akur bahawa peranan yang dimainkan pempengaruh juga telah membantu dalam mempromosikan produk-produk baru di pasaran.
Pempengaruh makanan tempatan dengan pengikut lebih 75,000 di Instagram, Cik Diah Mastura, 43 tahun, atau lebih dikenali sebagai @Etrangle, berkata sejak kebelakangan ini beliau telah mendapat tawaran untuk ‘merasa’ lebih 20 produk berkaitan kunafa.
“Ada bermacam produk dalam pasaran sekarang dan saya telah diberikan kunafa asli, coklat kunafa, kunafa tapak kuda, kek kunafa dan yang terbaru ialah kunafa martabak manis,” kata Cik Diah.
Menyentuh tentang coklat jenama Fix yang tular dari Dubai, beliau berkata permintaan yang tinggi menjadi pendorong peniaga dari rumah untuk menghasilkan produk itu sendiri dan menjualnya pada harga yang jauh lebih berpatutan.
“Saya perhatikan banyak makanan tular berasal dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru, dan cepat menular ke Singapura. Bila satu produk menjadi popular, dengan cepat mesti ada yang lain turut serta menjual produk yang serupa seperti yang pernah terjadi dengan basque burnt cheesecake, tauhu bergedel, buko, sushi bakes dan sebagainya.”
Peniaga Modern Warung yang sudah mula menjual basque burnt cheesecake atau kek keju hangus yang pernah tular sejak empat tahun lalu, kini tidak melepaskan peluang dan turut menawarkan variasi kunafa pistasio pada kek kejunya. Beliau juga menjual brownie yang turut dipelbagaikan dengan perisa kunafa pistasio.
“Sambutan untuk perisa coklat pistasio memang ada walaupun saya menjual kek dan brownie, dan semasa sambutan Hari Guru baru-baru ini, kami banyak menerima tempahan untuk perisa itu,” kata Cik Hajar Ibrahim, 36 tahun, pemilik Modern Warung.
Harga yang dikenakan bagi sekeping coklat kunafa ini tetap tinggi walaupun dihasilkan di Singapura.
Seorang lagi peniaga yang telah meraih keuntungan besar melalui trend coklat kunafa ialah Cik Farelynn Syazwani, 30 tahun, yang menjual sekeping coklat itu pada harga $25.
“Saya rasa harga yang kami letak adalah munasabah memandangkan mutu coklat dan bahan-bahan premium yang kami gunakan. Membuat coklat dalam cuaca Singapura juga mencabar, dan saya bukan bekerja dari kilang, tapi di rumah,” kata Cik Farelynn.
Melungsur wadah Instagram dan TikTok, BM dapat merasakan ‘bahang’ kunafa di mana-mana yang menjadi manisan ‘hangat’ diburu orang ramai – tidak kiralah jika mereka perlu beratur panjang berjam-jam atau mengeluarkan lebih wang semata-mata untuk menjamu kunafa idaman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg